Mah Sing bangun M Minori GDV RM469 juta

Mah Sing bangun M Minori GDV RM469 juta

LOKASI projek pembangunan M Minori yang akan dibangunkan oleh Mah Sing Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad memperoleh tanah pegangan bebas baharu di Mukim Tebrau, Johor Bahru berkeluasan 6.938 ekar dengan harga RM39.29 juta untuk pembangunan M Minori dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM469 juta.

Berdasarkan rancangan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, M Minori akan dibangunkan menjadi pembangunan bercampur terdiri daripada tiga blok suite servis dengan unit satu, dua atau tiga bilik tidur.

Binaan indikatif antara 550 kaki persegi hingga 880 kaki persegi itu bakal dijual dengan harga mampu milik bermula daripada RM260,000.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, M Minori yang diinspirasikan oleh minimalis Jepun menyasarkan pembeli daripada golongan muda yang mencari persekitaran lebih selesa dan selamat dengan harga mampu milik.

“M Minori berada di tengah-tengah komuniti Austin yang mapan, bermaksud pembeli akan mendapat akses institusi pendidikan dengan mudah, pusat perubatan, pusat membeli-belah dan banyak lagi.

“Cadangan pembangunan bercampur ini turut menampilkan beberapa lot peruncitan kedai makanan dan minuman. Ini menandakan perjanjian tanah pertama Mah Sing pada 2022 dan digalakkan oleh kejayaan M-siri iaitu pangsapuri mampu milik di pusat bandar

“Kumpulan akan terus mencari tanah yang sama untuk membangunkan rumah mampu milik, mengutamakan tanah yang boleh menjana pulangan dengan kecekapan pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

M Minori dijangka memanfaatkan tadahan sasaran yang besar kerana ia berada dalam sekitar kawasan kejiranan matang seperti Taman Seri Austin, Taman Setia Indah, Taman Daya, Taman Mount Austin, Bandar Dato’ Onn dan Taman Desa Tebrau.

Ia mudah diakses melalui lebuh raya kerana terletak hanya lima kilometer (km) dari persimpangan Lebuh Raya Utara-Selatan, lapan km dari Persimpangan Lebuh Raya Pasir Gudang dan 13 km dari Lebuh Raya Pertukaran Senai-Desaru.

Pengambilalihan M Minori sangat sesuai dengan strategi kumpulan dalam menawarkan rumah harga mampu milik di lokasi strategik dengan sambungan yang baik dan kemudahan sedia.

M Minori dikelilingi oleh 11 institusi pengajian, termasuk Fairview International School Johor, KPJ International College, Sunway College Johor Bahru, Sekolah Antarabangsa Austin Heights, Sekolah Islam Antarabangsa Gunung Safa, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah Hashim, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 1 & 2, Sekolah Kebangsaan Taman Daya 1 & 2 dan Sekolah Agama Taman Daya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×