PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan beberapa pemimpin UMNO mengkritik ‘formula’ yang dibentangkannya berhubung krisis bekalan makanan tidak sedikit pun menggentarkannya.
Sebaliknya, beliau menganggap pemimpin UMNO hanya tahu mengkritik dan tidak boleh menerima jalan penyelesaian yang diutarakannya.
“Setiap kali saya bersuara, satu-satunya jawapan yang datang dari pimpinan UMNO ialah kononnya saya hanya tahu membentangkan formula-formula. Mereka memberi contoh bagaimana kononnya formula-formula ini tidak dapat dilaksanakan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.
“Apabila mereka cukup takut dengan ‘formula-formula’ saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara.
“Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa, mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, UMNO kalah dalam PRU14 atas dua sebab utama iaitu skandal rasuah terbesar dunia 1MDB dan segala dasar UMNO seperti pemotongan subsidi, pengenalan cukai-cukai baru seperti GST, rasuah dan sebagainya yang tidak dapat dipertahankan apabila berdepan dengan pelbagai lontaran idea dari pembangkang.
“Sebab itu, pimpinan UMNO akan cuba memperlekehkan sebarang idea penyelesaian dari pihak lawan kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak ada idea. Lebih banyak mereka cuba memperlekehkan idea saya, lebih jelas ketakutan mereka.
“Pimpinan UMNO juga lupa bahawa sedang mereka cuba memperlekehkan idea saya, rakyat sebenarnya tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh tiga kerajaan berturut-turut diperjuangkan oleh saya sejak 2013 semasa Najib Razak gigih mahu menghapuskan subsidi,” katanya.
Sedangkan, beliau berkata, formulanya tetap diguna dipakai oleh Perdana Menteri dari UMNO sendiri.
“Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat dari harga petrol yang naik mendadak (seperti di zaman Najib), formula itu dibawa oleh saya. Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang.
“Saya yakin rakyat menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula. Formula bermula dari idea dan formula yang dilaksanakan dengan baik akan menghasilkan penyelesaian. Tanpa idea dan formula, tidak akan ada penyelesaian,” katanya.
Sebab itu, katanya, kenyataan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak sedikit pun menjawab bantahan terhadap penubuhan lebih banyak lembaga yang dianggapnya menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat.
Malah, beliau berpandangan, kenyataan itu juga bercanggah dengan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baru dilantik, Isham Jalil yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan UMNO sekarang sudah pun melaksanakan dasar stok penimbal dengan mengimport ayam sejak beberapa minggu lepas.
“Presiden UMNO mengatakan idea saya (agar kerajaan membina stok penimbal) hanyalah formula yang tidak boleh dilaksanakan, tetapi orang kanannya yang baru dilantik menjadi ahli MKT pula menyebut idea itu telah pun dipakai oleh UMNO.
“Jadi yang mana satu, idea saya untuk membina stok penimbal tidak boleh dilaksanakan, atau UMNO lebih dahulu memikirkan idea stok penimbal ini?” soalnya.
Justeru, beliau akan terus mengutarakan formula-formula untuk dipertimbangkan rakyat setiap dua ke tiga hari untuk membawa kembali persaingan politik Malaysia kepada persaingan idea.
“Saya nasihatkan Zahid Hamidi dan UMNO mencari jawapan lain untuk berdepan dengan saya kerana jawapan “UMNO ada penyelesaian bukan formula” ini telah ditolak rakyat dalam PRU14 yang lepas,” katanya. – UTUSAN











