PRU15: Perlukah rakyat dicabar? - Utusan Malaysia

PRU15: Perlukah rakyat dicabar?

TERSERAH kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai sendiri apa yang mampu dilihat dan mampu dinikmati hasil kemajuan yang dibawa kerajaan Pas Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATA orang tua-tua, bila ayam mula berkokok, itu tandanya hari menghampiri siang. Barangkali kata kiasan ini sesuai dikaitkan dengan suasana yang dikatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir.

Pihak-pihak tertentu di sesetengah negeri semakin ‘galak’ mengatur pendekatan publisiti untuk menawan hati rakyat meskipun sekian lama memerintah negeri, namun tidak banyak kemajuan yang dibawa kepada rakyat.

Para pemimpin sudah mula kerap turun padang. Mengusung pelan pembangunan kononnya bagi menggambarkan ada perancangan untuk membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat. Memberi ucapan di sana sini. Setiap gerak seboleh-bolehnya dipastikan ada liputan media.

Malah, ada suara-suara lantang ‘mencabar rakyat’ sama ada rakyat mampu mencari tokoh-tokoh tertentu yang layak memegang jawatan Menteri Besar atau apakah rakyat mampu memilih mana-mana parti yang boleh membekalkan air bersih dan mencukupi kepada rakyat? Dalam kata lain, mampukah rakyat mencari pengganti kerajaan yang sedia ada ketika ini?

Dari sudut psikologi, sikap gelabah dan suka mencabar pihak lain biasanya dikaitkan dengan orang yang takut pada bayang-bayang sendiri, yakni mereka yang sedar akan kelemahan dan kepincangan sendiri.

Lalu, mereka mencari pelbagai alasan dan kaedah, kalau-kalau dapat mempengaruhi semula keyakinan orang lain. Menarik keyakinan tidak boleh dipaksa. Keyakinan datang dengan sendiri ekoran terbina daya kekuatan bersama contoh yang terbukti di depan mata.

Ada pihak semacam enggan berpegang pada hakikat bahawa, tiada yang lebih meyakinkan umum terhadap sesuatu kejayaan atau kelebihan selain dari membuktikan segalanya melalui apa mampu dilihat dan dirasai.

Sikap suka mencabar mempamerkan sifat angkuh dan takbur, seolah-olah mengagumi kekuatan yang dimiliki sambil memperlekeh atau meremehkan pihak lain. Sedangkan Islam tidak menggalakkan umatnya bersifat suka mencemuh, banyak berprasangka, mencela dan mengejek-ngejek pihak lain.

Dalam al-Quran surah Al-Hujurat ayat 11, Allah SWT berfirman: “Wahai manusia yang beriman! Janganlah suatu kaum (lelaki) mencemuh kaum lelaki yang lain, kerana boleh jadi mereka (yang dicemuh) lebih baik daripada mereka (yang mencemuh) dan jangan pula perempuan-perempuan mencemuh perempuan lain, kerana boleh jadi perempuan (yang dicemuh) lebih baik daripada perempuan (yang mencemuh).

“Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain dan janganlah memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka itulah orang yang zalim”.

PRAGMATIK

Tidak perlu mencemuh atau mengejek. Dalam konteks pemerintahan negeri. Terserahlah kepada kebijaksanaan rakyat untuk mereka menilai sendiri apa yang mampu dilihat dan mampu dinikmati hasil pendekatan pembangunan dan kemajuan yang dibawakan kepada mereka.

Sesebuah restoran dikunjungi ramai pelanggan jika menepati kepuasan dicari. Paling utama ialah keenakan (mutu) masakan, selain layanan mesra dan harga berpatutan. Persekitarannya pula perlu bersih dan kondusif. Demikian halnya dengan cita rasa dan harapan rakyat terhadap mutu tadbir urus sesebuah negeri.

Biar kenyataan memberi jawapan. Tidak payah pemimpin politik bercakap retorik, ditambah pula dengan kaitan agama kononnya hanya perjuangan mereka sahaja yang betul dan mengikut lunas-lunas Islam. Apa yang dicakap perlu seiring dengan apa yang dibuat (should walk the talk).

Jadi, rakyat tidak perlu dicabar atau diajar. Pengalaman lalu cukup mengajar mereka tentang makna janji dan harapan. Misalnya, mereka kini tentu lebih berhati-hati dengan sekadar menyaksikan majlis perletakan batu asas, namun akhirnya tiada apa yang terlaksana.

Bagaimanapun, trend sudah banyak berubah. Suara-suara dari akar umbi menzahirkan harapan untuk memilih sebuah kerajaan yang benar-benar pragmatik dan berupaya untuk membawa kemajuan negeri dan rakyat.

Bagi rakyat Kelantan, mereka terharu dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di istiadat pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, yang mahu melihat negeri itu dibangun dan dimajukan dengan sebaiknya. Potensi Kelantan untuk maju membangun memang terbuka. Banyak sumber yang boleh dimajukan.

Baginda menyebut beberapa projek utama secara spesifik yang perlu dibangunkan seperti Pelabuhan Tok Bali, Projek Empangan Lebir, Kompleks Sukan Bukit Merbau dan beberapa lagi. Memberi gambaran bahawa baginda sendiri tidak sabar mahu melihat Kelantan berkembang maju.

Selain sumber alam, sumber tenaga manusia juga banyak terdapat dalam kalangan rakyat Kelantan. Mereka terkenal rajin, gigih dan kreatif. Institusi-institusi pengajian tinggi yang ada di sekitar Kelantan membantu melahirkan ramai modal insan tempatan bagi menjana pembangunan di negeri itu.

Tanah ladang dan sawah masih luas terbentang. Kelantan dengan mudah boleh dijadikan negeri pengeluar produk makanan terpenting negara. Apa yang perlu ada ialah perancangan rapi serta upaya tadbir urus yang efisien.

Pembangunan tidak terlaksana tanpa pendekatan yang cekap dan bijaksana. Sudah terang lagi bersuluh, segala kenyataan sudah bersimpuh, hanya mengharap niat yang ampuh, carilah pohon rendang tempat berteduh. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×