KATA bestari, ‘kita jarang menghargai sesuatu sehinggalah kita kehilangannya’.
Kebenaran kata-kata itu mungkin dapat dihubungkan dengan reaksi spontan kita, rakyat secara umumnya, terhadap keputusan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak masak berkemasan botol dan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam baru-baru ini.
Masing-masing segera meneka apa yang akan berlaku; harga minyak masak dalam botol yang akan menjadi lebih mahal, manakala harga ayam dan telur ayam juga akan melonjak naik. Ketika itu barulah kita menyedari besarnya peranan subsidi yang selama ini kita nikmati tanpa kita hargai.
Penstrukturan semula subsidi bukanlah langkah yang popular. Kerajaan menyedari hakikat itu. Jadi langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang 23 Jun lepas bukanlah dibuat secara suka-suka.
Pelbagai perkiraan telah dibuat terutama bagaimana subsidi yang bersifat pukal itu gagal mencapai matlamatnya berikutan berlakunya manipulasi atau salah guna. Selain itu, ia bertujuan memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.
Perkara yang kurang dipedulikan umum ialah hakikat bahawa kerajaan sebenarnya tidak menghentikan terus subsidi-subsidi tersebut, sebaliknya mengubah sifatnya daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar melalui penambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi ketua isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.
Sementara ahli-ahli ekonomi melihat pemansuhan itu sebagai langkah jangka panjang yang wajar untuk kesejahteraan ekonomi negara, wujud kelompok-kelompok lain yang menjadikannya sebagai peluang untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.
Mereka pantas berusaha membina persepsi seolah-olah kerajaan tidak mempunyai empati kerana menambahkan lagi beban ke pundak rakyat yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
Memburukkan lagi keadaan apabila tersebar berita bahawa kerajaan merancang untuk menghapuskan subsidi-subsidi lain termasuk subsidi diesel dan petrol RON95 selain kenaikan tarif elektrik. Campur baur antara berita dan khabar angin itu disebarkan oleh penunggang-penunggang politik itu tidaklah lain selain daripada bertujuan memperleceh keupayaan dan kewibawaan kerajaan.
Mereka seboleh-bolehnya mahu rakyat percaya bahawa Malaysia kini sedang berdepan dengan masalah inflasi yang luar biasa. Malah, kalau boleh mereka mahu memberi gambaran seolah-olah hanya Malaysia sahaja satu-satunya negara di dunia yang berdepan dengan kemelut itu.
INFLASI
Realitinya Malaysia hanyalah salah sebuah daripada sekian banyak negara yang berdepan dengan gelombang inflasi. Malah, jika dibandingkan dengan kebanyakan negara, kadar inflasi di Malaysia jauh masih rendah dan terkawal.
Pada Mei lalu, Amerika Syarikat mencatatkan kadar inflasi 8.6 peratus, iaitu yang tertinggi sejak Disember 1981. Pada bulan sama, United Kingdom mencatatkan kadar 9.10 peratus, Korea Selatan 5.4 peratus, Singapura 3.6 peratus, Indonesia 3.55 peratus, Filipina 5.4 peratus, Kanada 7.7 peratus, India 7.04 peratus, Pakistan 13.8 peratus, sekadar menyebut beberapa contoh.
Di Malaysia kadar dicatatkan hanya 2.2 peratus. Ia bukan sahaja seiring dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus, tetapi juga mengesahkan bahawa negara masih berada dalam kategori inflasi ringan (creepy inflation).
Fenomena inflasi global ini adalah sesuatu yang telah dijangka apabila ekonomi mula dibuka selepas ditutup hampir dua tahun akibat Covid-19. Ia menjadi dorongan kepada peningkatan permintaan secara mendadak sehingga mendorong titik tengah atau equilibrium beralih ke atas yang menandakan kenaikan harga.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh faktor-faktor geopolitik, terbaharu peperangan antara Russia dan Ukraine. Kenaikan harga minyak mentah global, walaupun menambah pendapatan negara, di sisi yang lain ibarat menambah garam ke atas luka.
Dengan faktor-faktor yang disebut itu, tanpa pengurusan ekonomi yang cekap, negara mudah tercampak ke kancah inflasi yang serius. Tetapi di Malaysia kerajaan tidak membiarkan perkara itu berlaku. Inflasi berjaya diperlahankan dengan pemberian dan penyaluran subsidi. Untuk rekod terdapat tiga bentuk subsidi yang diberikan iaitu subsidi barang, subsidi tunai dan subsidi pukal.
Termasuk dalam subsidi barang ialah subsidi benih, subsidi harga dan pengeluaran padi, subsidi baja padi huma dan subsidi diesel untuk nelayan, manakala subsidi tunai pula termasuk BKM, ePemula, subsidi pembelian kerusi keselamatan, Pas MyRail5, My50 dan Bantuan Awal Persekolahan.
Kedua-dua subsidi ini – barang dan tunai – diberikan terus kepada golongan sasar. Ini berbeza dengan subsidi pukal yang walaupun diberikan kepada golongan sasar, yakni semua rakyat, namun golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara pun akan menikmatinya apabila mereka membeli sesuatu barangan yang disubsidikan.
Kerajaan berbelanja besar bagi tujuan subsidi. Berdasarkan perkembangan semasa, unjuran subsidi kepenggunaan itu telah melonjak kepada RM77.3 bilion tahun ini, menjadikannya paling tinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.
Angka itu menjadi bukti yang cukup nyata bahawa kerajaan telah, sedang dan akan terus melakukan segala yang terbaik bagi meringankan beban rakyat.
Terkini keputusan Perdana Menteri untuk tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik, bil air dan meletakkan had harga ayam sekali lagi membuktikan bahawa PM adalah seorang yang tegas dan berani dalam membela rakyat.
Sebuah kerajaan yang bersikap tidak peduli rakyat tentunya tidak akan mengambil tindakan seperti itu, dan sepantas itu. – UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.










