Mundurkah negara kalau guna bahasa kebangsaan? - Utusan Malaysia

Mundurkah negara kalau guna bahasa kebangsaan?

TIDAK ada sebuah negara di dunia yang akan jatuh mundur kerana memperjuangkan bahasa kebangsaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa sewajarnya disokong dan bukannya ditepis begitu sahaja.

Kita perlu sedar bahawa kerajaan berusaha untuk menghidupkan kembali pusaka bangsa, di samping mendukung apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Tanpa mengira bangsa, agama atau ideologi politik, kita sebagai rakyat seharusnya berbangga dan menyokong kuat perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengangkat bahasa kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Hujahan bernas Tan Sri Dr. Rais Yatim, seorang negarawan dan pejuang tersohor bahasa Melayu, iaitu tidak ada sebuah negara di dunia yang akan jatuh mundur kerana memperjuangkan bahasa kebangsaannya sememangnya tepat sekali.

Berdasarkan Perkara 152, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara tercinta ini. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan kaum Melayu, tetapi dari segi kesahan dan moral, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi hak semua rakyat.

Sama ada orang Melayu ataupun bukan Melayu, mereka haruslah mengutamakan dan mendahulukan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi, lebih-lebih lagi urusan rasmi.

Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris yang digunakan dalam kalangan rakyat dengan meluasnya akibat daripada kesan penjajahan British sekian lama dan juga sebagai bahasa ilmu atau komersial dewasa ini.

Namun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangi kedudukan dan peranan bahasa kebangsaan. Sebaliknya, rakyat perlu yakin bahawa bahasa Melayu mempunyai kemampuan jitu untuk menjadi bahasa ilmu dan komersial sekiranya kerajaan dan rakyat mengutamakan penggunaannya baik dalam urusan seharian mahupun di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, masih wujud segelintir pihak yang menyangkal dan mencurigai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi sehinggakan mendakwa kononnya penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa akan merencatkan dan meranapkan pembangunan serta kemajuan ekonomi negara yang terbina sejak merdeka.

Malah ada yang mengkritik pedas usaha pihak-pihak yang berusaha mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa sebagai ‘orang gila.’ Persoalannya, adakah penggunaan bahasa kebangsaan boleh memundurkan pembangunan ekonomi sesebuah negara?

Pada hari ini, kita dapat melihat negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Russia, China, Jerman, Finland, Perancis dan Belanda masih terus mencipta pelbagai kejayaan sehingga muncul sebagai jaguh ekonomi. Adakah mereka berjaya disebabkan penggunaan bahasa Inggeris yang bukannya bahasa kebangsaan mereka? Sudah tentunya tidak sama sekali.

Negara-negara tersebut tetap mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing dan menggunakannya secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, baik di peringkat nasional mahupun global.

Bagi rakyat negara-negara ini, bahasa kebangsaan dilihat sebagai penyuntik semangat untuk mereka terus berusaha dan bekerja keras sehingga maju mengatasi negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komersial.

ASET TAMBAHAN

Justeru, dakwaan kononnya penggunaan bahasa Melayu akan menghalang pembangunan ekonomi negara adalah tidak berasas, malah tidak masuk akal sama sekali.

Namun begitu, dalam keghairahan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN, penggunaan bahasa Inggeris tidak seharusnya ditolak sama sekali. Peluang mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain harus diteruskan kerana mempelajari pelbagai bahasa adalah aset tambahan.

Pada masa sama, kerajaan serta pihak yang terlibat dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu harus memastikan untuk tidak mengaitkan bahasa Melayu yang sudah diterima dan diakui sebagai bahasa kebangsaan dengan sesuatu kaum, kebudayaan serta kepercayaan agama.

Perlu sedar bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah hak dan pusaka nasional rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Apa yang penting dan diperlukan pada ketika ini adalah rakyat perlu rasa bangga serta yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan malah sebagai bahasa ilmu.

Pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan, sains, sosial dan sebagainya perlu menghasilkan buku dalam bahasa Melayu untuk dijadikan sumber pendidikan dan rujukan di negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus mempertingkatkan peranannya dalam penghasilan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu untuk pembacaan orang ramai.

Apakah kita sudah lupa sejarah, al-Andalusia yang wujud sekitar abad ketujuh hingga ke-14 telah menghasilkan banyak karya sains dan teknologi dalam bahasa mereka terutama bidang trigonometri, astronomi, pembedahan, farmalogi dan agronomi sebelum penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu?

Sehubungan ini, pegawai kerajaan serta diplomat sebagai barisan hadapan yang bertugas di luar negara perlulah mengutamakan penggunaan bahasa Melayu bersama-sama bahasa Inggeris dalam urusan rasmi untuk menarik perhatian orang luar terhadap bahasa Melayu.

Apakah kerajaan yang berhasrat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik di peringkat antarabangsa akan menyediakan dan menempatkan pegawai-pegawai yang mahir dalam bahasa Melayu serta Inggeris di pejabat-pejabat kerajaan di luar negara?

Apakah kerajaan bersedia melalui paradigma baharu seiring hasrat kepimpinan kerajaan dalam usaha pelantikan pegawai-pegawai diplomat serta kakitangan yang bertugas di luar negara mewakili kerajaan Malaysia dalam menjayakan usaha pemartabatan bahasa Melayu?

Pendek kata, usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN akan berjaya sekiranya rakyat mengubah set minda mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sambil kerajaan mengambil daya usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi serta ilmu seiring peredaran masa dan keperluan zaman. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×