MOMENTUM pemulihan global kini berdepan cabaran tersendiri apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan.
Apabila permintaan melebihi penawaran dan pengeluar tidak mampu memenuhi permintaan, maka berlaku peningkatan harga. Ini menjadi punca utama inflasi yang kini menjadi ancaman utama kepada hampir semua negara.
Untuk mengekang inflasi daripada mencengkam kehidupan rakyat, pelbagai strategi berbeza dilaksanakan. Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebagai senjata utama antiinflasi.
Kadar faedah yang tinggi akan memperlahankan pertumbuhan permintaan, sekali gus mengurangkan kenaikan harga barangan.
Bank Negara Malaysia (BNM) agak berkeberatan untuk menaikkan kadar faedah seperti dilakukan AS kerana ia mempunyai kesan sampingan seperti kenaikan bayaran balik pinjaman yang terpaksa ditanggung oleh para peminjam.
Sebaliknya, kerajaan lebih cenderung meneruskan pemberian subsidi sebagai senjata utama menangani tekanan inflasi. Namun, pemberian subsidi juga mempunyai kesan tersendiri kerana ia menyebabkan kerajaan terpaksa mencari sumber kewangan untuk membiayainya.
Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jumlah keseluruhan perbelanjaan subsidi kerajaan untuk 2022 bakal mencecah RM71 bilion, berbanding RM15.5 bilion pada 2021. Antara subsidi utama adalah petrol (RM30 bilion) dan minyak masak (RM4 bilion).
Apabila harga pasaran petrol RON97 tidak bersubsidi meningkat, golongan berpendapatan tinggi (T20) yang memiliki kenderaan mewah beralih kepada RON95.
Menurut Pengerusi Persatuan Peniaga Petroleum Shell Malaysia (SPDAM), Datuk Abdul Wahid Bidin, permintaan untuk RON97 mula merosot apabila harganya mencecah RM4 seliter.
Pada awal Jun 2022, jualan RON97 merosot sehingga 65 peratus. Ini bermakna golongan T20 turut menikmati subsidi yang asalnya disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurut kajian oleh BNM, pada 2014, 42 peratus subsidi petrol dinikmati oleh golongan T20 dan hanya empat peratus yang sampai kepada golongan B40.
PANIK
Ketirisan juga berlaku dalam kes minyak masak bersubsidi. Walaupun keperluan untuk minyak masak bersubsidi adalah 55,000 tan metrik sebulan, namun kerajaan memperuntukkan 60,000 tan metrik sebulan.
Harga bersubsidi adalah RM2.50 sekilogram (kg) berbanding RM9 harga pasaran. Namun, disebabkan kekurangan pemantauan dan saringan, sesiapa sahaja bebas untuk membeli minyak masak bersubsidi termasuk golongan berpendapatan tinggi.
Akibatnya, jumlah 60,000 tan metrik sebulan masih tidak memadai, lalu wujud spekulasi kononnya bekalan tidak mencukupi sekali gus menyebabkan pembelian panik.
Sumber ketirisan kedua berlaku akibat perbuatan menyeludup minyak masak ke negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Jenayah penyeludupan ini menyebabkan negara mengalami kerugian dan kehilangan hasil.
Sempadan negara yang luas dari hutan terpencil sehingga lautan terbuka menyebabkan usaha membanteras penyeludupan oleh agensi penguatkuasaan dan rondaan sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menjadi kurang berkesan.
Bank Dunia meramalkan peningkatan berterusan harga barangan asas seperti petrol dan bahan makanan lain. Ini bermakna tekanan berterusan ke atas kedudukan fiskal kerajaan.
Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi menegaskan, pendapatan negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus menguncup dari 21 peratus pada 2012 kepada 14.3 peratus (2022).
Untuk menanganinya, kerajaan dicadang melaksanakan serampang dua mata iaitu menambah sumber pendapatan seperti pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan meningkatkan keberkesanan perbelanjaan terutama subsidi.
Sebab itulah kerajaan memulakan langkah menyusun semula sistem subsidi bagi mengatasi ketirisan berlarutan ini. Amatlah tidak munasabah jika golongan T20 terus menikmati subsidi yang asalnya disasarkan untuk golongan B40 terutama kumpulan miskin tegar.
Bukan sahaja akan memburukkan kedudukan fiskal kerajaan, malah dari sudut sosioekonomi terus melebarkan jurang pendapatan dan kekayaan antara golongan mampu dan tidak mampu.
Penstrukturan semula subsidi sebegini sudah tentulah sesuatu yang tidak popular dan pahit untuk ditelan. Inilah sentimen ditunjukkan oleh banyak pihak pada beberapa hari lepas sewaktu kerajaan mengumumkan penamatan subsidi minyak masak berbotol.
Subsidi khas ini sebenarnya diperkenalkan pada Ogos 2021 sebagai inisiatif tambahan untuk membantu Keluarga Malaysia mengharungi pandemik Covid-19.
Kajian semula subsidi amatlah kritikal demi kelangsungan kewangan kerajaan bagi memastikan keupayaan untuk terus memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ini menuntut pengorbanan kecil semua pihak, demi faedah jangka panjang.
Kerajaan juga masih menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi seperti dalam kes minyak masak di mana subsidi untuk minyak masak berpaket masih dikekalkan.
Namun, kita berharap kerajaan terus bertegas memikirkan strategi menambah baik sistem subsidi agar tiada lagi ketirisan. – UTUSAN
PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.











