GUA MUSANG: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut menjalankan siasatan sehingga ke lubang cacing terhadap syarikat yang didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri kayu balak bernilai kira-kira RM5 juta dari kompartment 25, Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, siasatan tidak hanya terarah di kawasan Nenggiri malah lokasi lain yang turut didakwa berlaku kecurian.
Menurut beliau, hal ini bagi memastikan kegiatan haram itu dapat dibanteras sepenuhnya demi masa depan generasi akan datang.
“Selain memberi kelulusan, penguatkuasaan penting dilakukan bertujuan melindungi khazanah hutan negara.
“Kita tidak mahu tuduhan liar yang membabitkan beberapa pemimpin dijadikan spekulasi untuk menjatuhkan dan memberikan gambaran yang tidak baik kepada kepimpinan kerajaan negeri Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan, namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn. Bhd.
Beliau turut mendakwa, wujud kes kecurian balak di kawasan bersebelahan, iaitu kompartmen 25, yang membabitkan anggaran kerugian kira-kira RM5 juta.
Mengulas mengenai kecurian balak, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sudah membuka kertas siasatan berkait isu kecurian balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri pada awal bulan ini.
Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, sebaik sahaja siasatan itu selesai perkara tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










