Ka Siong : ‘Kita bukan jual kerusi dekat pasar malam’ - Utusan Malaysia

Ka Siong : ‘Kita bukan jual kerusi dekat pasar malam’

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebarang keputusan mengenai isu agihan kerusi termasuk kerusi Parti Gerakan yang kini kosong akan diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan ke arah itu, sekali gus tidak boleh membuat andaian 11 kerusi yang ditandingi

Gerakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diserahkan kepada parti gabungan BN (Friends of BN).

“Apa juga sekalipun, Dewan Tertinggi Barisan Nasional perlu bincang dan duduk semeja untuk memutuskan perkara itu, setakat ini belum ada perbincangan ke arah itu. Ini tradisi, kita akan balik kepada mekanisme asal untuk dalam keluarga BN.

“Kita bukan macam pasar malam nak jual kerusi, kita ini sesama parti komponen dah muktamadkan, baru kita umum,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua kerusi yang dahulunya ditandingi oleh Gerakan ketika bersama BN akan diteliti untuk ditandingi oleh Friends of BN dan parti komponen gabungan itu.

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu masih di peringkat rundingan bagi memastikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diisi oleh calon selayaknya untuk BN menang pada PRU15.

Kenyataan itu kemudiannya disambut Makkal Sakti dan KIMMA dengan kedua-dua parti tersebut yakin mampu memenangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran sebelum ini berkata, mereka sudah bersedia untuk ‘ke hadapan’ setelah lapan PRU bekerja keras di belakang tabir memenangkan calon yang ditampilkan daripada UMNO dan parti komponennya, MIC dan MCA.

“Bagi pihak saya, kami mengalu-alukan keputusan tersebut, tetapi masa yang sama, kami akan buat kajian sama ada kerusi yang diberi itu sesuai untuk kami bertanding atau tidak. Dan kita sudah banyak kali give, sekarang masa untuk kami take pula” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Gerakan yang diketuai Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai membuat keputusan keluar daripada BN untuk menjadi parti bebas, namun kini menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×