Kajian haiwan menerusi mitos, mistik dan sejarah - Utusan Malaysia

Kajian haiwan menerusi mitos, mistik dan sejarah

BUKU Dunia Haiwan di Alam Melayu: Mitos, Mistik dan Sejarah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU orang Melayu dalam bidang haiwan sangat tinggi dan cukup luar biasa.

Ia dibuktikan dalam buku Dunia Haiwan di Alam Melayu: Mitos, Mistik dan Sejarah tulisan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Azharudin Mohamed Dali.

Beliau menggabungkan mitos, mistik dan sejarah dalam membicarakan empat jenis haiwan iaitu gajah, harimau, buaya dan kuda yang sememangnya mempunyai kaitan dengan ekonomi dan sosiobudaya orang Melayu.

Kuda disifatkan haiwan yang mempunyai kaitan dengan Islam. Walaupun unta ditunggangi oleh Nabi SAW tetapi kuda dibawa nabi ketika berperang serta sahabat baginda, malah turut menjelajah dengan menunggang kuda Arab.

Dua perkara yang menjadi pendorong dan asbab penulis menerokai dunia haiwan kerana seorang rakannya juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berminat terhadap buaya selain mendapati kurangnya pengkaji sejarah tempatan yang menulis buku tentang haiwan.

“Bila buat penyelidikan saya dapati kebanyakan penulisan buku berkaitan haiwan ditulis orang luar atau pengkaji Barat. Kurang pengkaji sejarah tempatan menulis buku tentang haiwan melainkan individu itu bekerja dalam bidang perhilitan dan sebagainya.

“Maka, banyak kelompangan yang berlaku sedangkan terdapat pelbagai bahan di arkib dan tulisan ditinggalkan sebelum ini,” katanya pada program Bicara Buku bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada situlah beliau menanam minat menulis tentang haiwan. Buku ini juga membawa masyarakat meneroka haiwan dalam pendekatan sejarah. Katanya, sejak abad ke-15 dan 16, flora dan fauna sangat penting dalam pelbagai perkara termasuk perubatan.

“Sepertimana pengkaji ingin mengetahui flora dan fauna sesuatu tempat, begitu juga masyarakat Melayu terdahulu. Namun bezanya, dalam sejarah konvensional yang bergantung kepada dokumen sangat sukar membuktikan secara sahih sesuatu peristiwa mitos dan mistik,” katanya.

Jelasnya, orang Melayu sangat kaya dengan ilmu sehinggakan mempunyai pawang yang mampu berkomunikasi dan memahami binatang.

“Pawang Melayu mahir ‘berbahasa’ dengan haiwan tertentu. Kita ada pawang harimau yang tidak tahu ilmu buaya. Ada pawang buaya tidak tahu tentang ilmu gajah. Pawang ini boleh berkomunikasi dan bercakap dengan haiwan. Contohnya, pawang buaya boleh memanggil buaya naik ke darat.

“Dalam kajian, saya berjumpa dengan pawang buaya di Taiping, Perak iaitu Allahyarham Pak Lang yang memberitahu, ilmu dimiliki itu diperturunkan daripada datuk dan neneknya maka dia mempelajari ilmu itu,” katanya.

Mengapa empat jenis haiwan sahaja dikaji oleh Azharudin? Rungkai pembacaan seterusnya dalam buku ini bagi mengetahui lebih lanjut mengenai empat jenis haiwan dan kaitannya dengan mitos, mistik dan sejarah di Alam Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×