SEJAK kebelakangan ini, serangan ke atas kegagalan kerajaan Pas Kelantan dilancarkan oleh gerakan Save Kelantan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Melihat kepada perkembangan dan sambutan diberikan, Save Kelantan semakin mendapat perhatian daripada segenap golongan rakyat Kelantan sendiri mahupun yang tinggal di luar negeri itu.
Ini bermakna Save Kelantan sangat berimpak tinggi dan mampu memberikan kesan kepada kedudukan Pas di negeri berkenaan. Antara isu-isu yang dilontarkan adalah pembalakan di hutan simpan dara sehinggalah masalah bekalan air. Isu pembalakan dan pembersihan hutan yang dijalankan di Kelantan memberikan kesan kepada pencemaran air sungai bermula dari hulu sungai. Impak pembalakan dan pembersihan hutan yang tidak terurus ini juga memberikan kesan kepada kawasan tadahan air dan pengaliran keluar tanah-tanih hutan ke dalam Sungai Kelantan.
Amat menarik apabila kelihatan kerajaan negeri kurang berkesan dalam menangani setiap isu yang dibangkitkan oleh Save Kelantan. Bermula dengan isu air yang bukan sahaja dihadapi oleh semua lapisan rakyat Kelantan, malahan memberi kesan kepada aktiviti pelancongan di negeri tersebut. Rata-ratanya kawasan yang sering menjadi tumpuan pelancong juga tidak terurus dan sering kali menghadapi masalah bekalan air.
Isu air yang berlaku di Kelantan bukan sahaja menjejaskan pengguna domestik tetapi turut memberi implikasi ke atas pelbagai isu berkaitan. Terbaharu, apa yang berlaku semasa kebakaran di Berek 12, Kota Bharu pada 29 April lalu telah memusnahkan enam buah rumah kerana api tidak dapat dikawal berpunca daripada ketiadaan bekalan air. Menurut penduduk setempat, kawasan Berek 12 yang berada di tengah-tengah bandar Kota Bharu sudah 11 hari tiada bekalan air, ditambah pula berlaku kebakaran sudah tentu menyukarkan pihak bomba memadamkan api.
Tragedi ini sebenarnya boleh dielakkan tetapi kerana tekanan rendah dan ketiadaan air, maka implikasi yang menerimanya adalah penduduk di negeri berkenaan.
Disebabkan isu bekalan air juga menjejaskan sebahagian kawasan pertanian yang memerlukan terusan air bagi mengusahakan tanah pertanian seperti sawah padi dan sebagainya. Boleh dikatakan tanah pertanian sawah padi di negeri lain boleh diusahakan sebanyak tiga atau empat kali setahun. Namun, majoriti tanah sawah padi di Kelantan hanya boleh diusahakan kurang dari tiga kali setahun.
TANGKI AIR
Aspek bekalan air di Kelantan hanya meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kepenggunaan air oleh penduduk negeri itu. Ini bermakna kegagalan kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan air bersih dan terawat adalah jauh sekali daripada piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar.
Pertukaran paip air bukan jalan penyelesaian terbaik jika kerajaan negeri menginginkan liputan luas bekalan air mencapai 95 peratus dengan bekalan air terawat dan bersih. Cadangan penambahan RM11.6 juta untuk membina tangki air bagi menampung kekurangan air di sebahagian kawasan terjejas adalah satu pembaziran. Kelantan bukanlah sebuah negeri yang mempunyai krisis air seperti negeri-negeri lain. Sebenarnya bekalan air di Kelantan adalah mencukupi jika penjagaan hutan dan kawasan tadahan air terurus.
Isu selain krisis air adalah isu pekerjaan untuk anak-anak muda bergraduan. Boleh dilihat kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak swasta adalah kategori separa kemahiran buruh atau hanya memerlukan kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Amat susah untuk anak-anak muda bergraduan mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan akademik dengan gaji ditawarkan.
Masa kini dilihat banyak pekerjaan yang ditawarkan adakalanya lebih rendah gaji daripada kelayakan akademik disebabkan ketiadaan kemasukan pelaburan berteknologi tinggi. Banyak kawasan industri kelihatan kurang berfungsi dan memainkan peranan penting dalam menjana pekerjaan berpendapatan tinggi. Ini menyebabkan ramai anak muda yang mempunyai ijazah sarjana ke atas sukar mendapatkan pekerjaan mengikut bidang pengkhususan.
Disebabkan itu, majoriti anak-anak Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri berkenaan untuk mencari pekerjaan selama berdekad-dekad lamanya. Kelantan akhirnya kehilangan bakat pengurusan anak-anak muda untuk membangunkan negeri tersebut. Situasi ini sebenarnya memberi kesan kepada jangka masa panjang iaitu Kelantan telah ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur dan bakat daya saing yang menyebabkan negeri itu berada dalam stigma kemiskinan dan ketinggalan.
Situasi gejala sosial juga semakin hari semakin tidak terkawal sama ada dari segi polemik isu dadah sehinggalah isu kehidupan anak-anak terabai disebabkan perceraian dan keluarga bermasalah. Hampir segenap kampung dan taman perumahan sudah pasti mempunyai masalah dadah dalam kalangan anak-anak mukim mereka. Ketagihan pil kuda, ketum dan arak yang diperoleh dari sempadan negara telah menjerumus sebahagian anak muda yang datang dari keluarga bermasalah.
Majoriti keluarga bermasalah ini berpunca daripada kemiskinan dan ketidakupayaan penjagaan ketua keluarga. Rata-rata rakyat negeri berkenaan berpendapat bahawa kerajaan Pas Kelantan kurang berkesan dalam menguruskan gejala sosial yang semakin meningkat dan tidak terkawal.
Kini Pas adalah sebahagian daripada kerajaan Pusat tetapi ramai bertanya akan kefungsian kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu yang selama ini menyelimuti rakyat Kelantan. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










