Pilih menganggur atau gaji rendah?

Pilih menganggur atau gaji rendah?

GOLONGAN graduan kini sedang berhadapan kesukaran memperoleh peluang pekerjaan tetap terutama yang setara dengan kelayakan mereka. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA kelompok terjejas teruk akibat serangan wabak Covid-19 yang disusuli pula dengan kemelesetan ekonomi ialah golongan graduan khususnya yang lulus universiti pada 2019 hingga sekarang. Mereka sedang bergelut dan berhadapan detik kesukaran untuk memperoleh peluang pekerjaan tetap terutama yang setara dengan kelayakan. Akibatnya, ramai yang masih menganggur di samping terpaksa menceburi pelbagai pekerjaan berbentuk sementara dan sambilan termasuk dengan kadar gaji rendah demi meneruskan survival dan kelangsungan hidup masing-masing.

Hakikatnya, kita perlu akui walaupun semua sektor ekonomi mula beroperasi secara sepenuhnya, namun peluang pekerjaan yang ada untuk golongan graduan masih terhad dan tidak dapat menampung jumlah permintaan. Situasi ketidakseimbangan dalam pasaran kerja seperti ini berlaku apabila penambahan jumlah graduan tidak sejajar dengan kewujudan jawatan baharu.

Keadaan menjadi lebih parah apabila graduan baharu terpaksa pula bersaing dengan golongan tenaga kerja yang hilang pekerjaan semasa pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Orang lama yang secara tiba-tiba diberhentikan kerja apabila majikan terjejas teruk ketika PKP mula berebut kerja dengan golongan graduan sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada majikan. Umum mengetahui, secara logiknya majikan sudah tentu lebih berminat untuk menggaji pekerja yang sudah ada pengalaman dan kemahiran berbanding graduan baharu.

Dalam pada itu, laporan media baru-baru ini menunjukkan graduan wanita lebih sukar dan berhadapan masalah untuk memperoleh pekerjaan berbanding lelaki. Antara lain dilaporkan berpunca daripada sikap majikan yang mengamalkan diskriminasi jantina sehingga mencetuskan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita meningkat 39 peratus meskipun golongan Hawa paling banyak mendominasi bilangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara setiap tahun. Perangkaan semasa menunjukkan 5.83 juta wanita bekerja dalam sektor pekerjaan berbanding 9.13 juta lelaki.

Jelas sekali graduan cukup bergelut untuk mendapatkan kerja tetap khususnya yang sepadan dengan kelayakan serta gaji setimpal. Kita akui kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu para graduan, namun situasi ekonomi negara sangat tidak memihak kepada kita sekali gus merumitkan keadaan.

Justeru, semua pihak perlu sama-sama berganding bahu dan memainkan peranan agar kita dapat membantu para graduan sekali gus menangani masalah pengangguran yang ada. Dalam konteks ini, peranan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah sangat dituntut supaya dapat mengurangkan beban kerajaan melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat dan negara.

Syarikat-syarikat ini wajar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan graduan baharu melalui sistem peruntukan kuota. Misalnya, setiap pengambilan pekerja baharu perlu diperuntukan sejumlah kuota khas untuk graduan yang baru menamatkan pengajian serta tiada pengalaman. Penyediaan kuota wajib seperti ini akan menyediakan peluang kerja tetap yang lebih meluas kepada graduan.

SAMA TINGGI, SAMA RENDAH

Selain itu, pihak syarikat juga boleh membantu dari segi menawarkan lebih banyak peluang latihan kemahiran dan pengalaman kerja dengan elaun yang menarik sebagai fasa persediaan kepada graduan baharu untuk dijadikan nilai tambah sebelum memasuki pasaran kerja tetap.

Dalam pada itu, tidak boleh lagi ada sebarang elemen diskriminasi baik dari segi jantina, agama mahupun kaum. Semua graduan yang layak perlu diberikan layanan dan peluang sama rata bagi membuktikan kemampuan mereka. Dari segi jantina misalnya, majikan perlu sedar golongan wanita sekarang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Apa yang penting ialah majikan perlu yakin, percaya dan memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kesungguhan serta kemampuan.

Kita juga perlu memberi perhatian terhadap aspek gaji yang ditawarkan kepada graduan kerana rata-rata gaji permulaan lepasan diploma dan ijazah masih rendah berbanding upah kerja sambilan ataupun pendapatan pekerjaan dalam ekonomi gig. Keadaan ini menyebabkan graduan serba salah sama ada mahu bekerja tetap dengan gaji rendah atau bekerja sementara tanpa sebarang ikatan kontrak jangka panjang dengan gaji lebih fleksibel dan lumayan. Isu gaji serta status pekerjaan sangat berkait rapat dengan elemen kos sara hidup yang semakin meningkat dan mencabar terutama di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang.

Diharap kerajaan dapat meneliti keseluruhan ekosistem pasaran buruh terutama dari segi padanan kerja dan gaji kepada graduan supaya negara tidak rugi dari segi kepakaran sumber manusia. Bukankah satu kerugian besar kepada negara apabila kelompok anak muda yang hebat dan berbakat besar dalam pelbagai bidang terpaksa bekerja sementara dalam bidang yang sama sekali lain daripada kelayakan mereka?
Intervensi kerajaan dalam hal ini dilihat sangat penting dan perlu kerana jika masalah kesukaran graduan memperoleh pekerjaan berterusan, kita khuatir ramai yang akan mula kecewa dan putus asa sekali gus angkat kaki untuk berhijrah ke luar negara. Masalah brain drain ini pastinya akan merugikan negara.

Di samping itu, jika isu ini berlarutan, ia turut menjejaskan semangat dan motivasi pelajar yang sedang berada di IPT dan akan tamat tidak lama lagi serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang baru-baru ini yang bercita-cita mahu melanjutkan pengajian ke menara gading kerana masa depan kerjaya mereka tidak terjamin.

Ringkasnya, apa jaminan peluang pekerjaan setelah mereka tamat pengajian kelak?
Justeru, di samping beberapa inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, kita berharap semua pihak akan memikul tanggungjawab untuk bersama-sama membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan graduan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×