Ironi Cina China tekuni bahasa Melayu

Ironi Cina China tekuni bahasa Melayu

ETNIK Cina di Pantai Timur Semenanjung yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu dalam loghat tempatan membolehkan mereka berbicara dengan mendalam tentang kehidupan yang dilalui bersama-sama orang Melayu sebagai bani senegeri. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA begitu teruja apabila diberitahu China amat mementingkan bahasa Melayu. Menerusi penubuhan jurusan pengajian Melayu di belasan universitinya, terdapat ratusan pelajar yang gigih menekuni bahasa negara kita. Sehubungan ini, kerajaan China baru sahaja menambahkan bahasa Melayu di sisi bahasa Inggeris, Jepun dan Korea dalam China Accreditation Test for Translators and Interpreters. Ini memperlihat peri pentingnya bahasa Melayu kepada China yang diakuinya ikut membantu merapatkan hubungan China-Malaysia yang dirintis semula pada 1974 setelah terputus sebelum itu.

Sempena 2022 yang merupakan ulang tahun ke-48 penubuhan semula hubungan diplomatik Malaysia-China, pelbagai rancangan disusun di Malaysia. Antaranya ialah acara persuratan yang mengungkapkan hubungan tamadun Melayu-China bermula lawatan Laksamana Cheng Ho pada abad ke-16 hingga kini.

Sehubungan nilai bahasa Melayu, China mendapatinya tinggi dalam beberapa bidang antaranya perniagaan, pendidikan, penerbitan selain hubungan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, bahasa Melayu bukan sahaja akan terus dipelajari di China tetapi ikut dihayati Cina China.

Melihat kepada komitmen warga China yang gigih menekuni bahasa Melayu, ia ironi sekali apabila dibandingkan dengan etnik Cina Malaysia sebagai warganegara yang perlu dipaksa. Ini kerana mereka liat dalam pengertian tidak suka dan cukup payah menerima bahasa Melayu dalam kehidupan nasional mereka, apatah lagi dalam kehidupan domestik dan komuniti.

Dalam majlis persuratan tersebut yang dianjurkan badan pengembangan bahasa Melayu terulung negara yang ikut dibantu badan budaya Cina tempatan tertentu, ia menampilkan pemuisi Cina dari kedua-dua negara. Berkenaan badan budaya itu, ia diwujudkan antaranya untuk mempromosi pembelajaran bahasa Cina kepada rakyat Malaysia yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Cina. Dengan ini, ia mempercayai interaksi antara semua etnik melalui bahasa Cina sebagai bahasa perhubungan dapat mempertingkat keharmonian sosial yang penting untuk pembangunan negara.

Dalam keadaan bahasa Melayu yang tidak berapa diterima etnik Cina yang nyata terbukti dalam penolakan beberapa aspek penting bahasa Melayu dalam bidang pendidikan dan lain-lain, dicadangkan badan budaya Cina itu juga mempergiat usahanya untuk ikut memupuk nasionalisme linguistik bahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina. Ini penting kerana keterikatan etnik Cina kepada negara ini hendaklah juga terserlah dari segi kebahasaan, iaitu ikut berasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

BENIH INTEGRASI

Oleh itu, pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina tidak boleh lagi terus-terusan bersifat instrumental semata-mata, iaitu untuk hanya memenuhi syarat wajib lulus kerana ia mata pelajaran terutama bagi memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan awam di Malaysia. Dalam hal ini, badan budaya Cina itu hendaklah membantu menanam benih integrasi linguistik pada etnik Cina, yakni untuk berdampingan dengan etnik Melayu dalam usaha mereka mempelajari bahasa negara ini.

Sehubungan ini, etnik Cina tidak boleh lagi selama-lama beretorik sahaja bahawa mereka komited terhadap bahasa Melayu. Ia harus diperlihat secara jelas lagi tegas melalui tindakan sebenar untuk ikut menghayati bahasa Melayu dalam kerangka kenegaraan semasa mereka sibuk mempertingkat kualiti kehidupan dalam bidang ekonomi dan yang lainnya menerusi dedikasi menekuni bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Sebenarnya tidak terdapat banyak usaha sederhana apatah lagi yang bersungguh-sungguh iltizamnya oleh mana-mana pihak, baik kerajaan sendiri mahupun mana-mana pertubuhan Cina untuk menangani masalah tidak mengetahui bahasa Melayu untuk tujuan penguasaan baik terhadapnya. Ini kerana isu kebahasaan ini tidak mahu dianggap penting walaupun ia mempunyai implikasi besar dan langsung pula kepada identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat. Lebih penting lagi ialah ia mempunyai dampak terus kepada perpaduan negara yang harus diakui tidak pun berada pada landasan kesatuan yang baik meskipun sudah 65 tahun penubuhan negara.

Sesungguhnya pengetahuan baik yang akan membawa kepada penguasaan bahasa Melayu yang tinggi adalah ramuan utama untuk memupuk perpaduan negara erat lagi utuh. Ini kerana bahasa mempunyai kuasa penyatuan. Untuk ini berlaku dengan jayanya, ia hendaklah pertama-tamanya mahu diketahui untuk menguasainya. Apabila ini berlaku, etnik Cina bukan sahaja akan bersikap positif terhadap bahasa itu, mereka juga akan bersikap sedemikian kepada komuniti bahasa itu khususnya yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda.

Hal ini sebenarnya dapat dilihat buktinya pada individu atau kelompok etnik Cina tertentu yang cekap berbahasa Melayu. Antaranya etnik Cina Kelantan yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu dan dalam loghat tempatan pula. Ini bukan sahaja membolehkan mereka lancar berkomunikasi dengan etnik Melayu mengenai perkara biasa, kefasihan ini sebenarnya membolehkan mereka berbicara dengan mendalam tentang kehidupan yang dilalui bersama-sama sebagai bani senegeri. Perbicaraan sebeginilah yang mewujudkan persaudaraan Kelantan yang tidak akan tercapai langsung jika etnik Cina Kelantan tidak menguasai bahasa Melayu dan loghat Kelantan pada tahap tinggi. Penguasaan ini didapati mengizinkan mereka menyatakan pandangan rinci, perasaan ikhlas dan segala macam yang lain dengan mangkus sekali untuk bukan sahaja difahami tetapi dipercayai etnik Melayu Kelantan bagi mewujudkan kepercayaan menyaling Cina-Melayu sebagai rukun perpaduan terunggul. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini