Kerajaan rancang tukar hukuman penjara sepanjang hayat

Kerajaan rancang tukar hukuman penjara sepanjang hayat

KERAJAAN merancang untuk memansuhkan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman yang lebih sesuai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemansuhan hu­kuman penjara sepanjang ha­yat kini dalam perancangan ke­rajaan agar digantikan dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menambah, pemansuhan itu merupakan antara syor Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ri­chard Malanjum.

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Jelasnya, buat masa ini pemansuhan hukuman mati mandatori adalah langkah awal kerajaan sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

“Bukan lagi kajian (menghapuskan hukuman penjara sepanjang hayat) tetapi kini dalam perancangan kerajaan apabila ke­rajaan juga secara prinsipnya me­nerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

“Namun fokus kita adalah hu­kuman mati mandatori, yang memerlukan penelitian membabitkan beberapa aspek pindaan undang-undang,” katanya.

Kelmarin, bekas Peguam Ne­gara, Tan Sri Abu Talib Othman mencadangkan hukuman penjara sepanjang hayat perlu dihapuskan dan diganti dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.

Hal ini kerana hukuman se­panjang hayat tiada tarikh bebas melainkan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertuan Ne­geri di mana kesalahan dilakukan.

Selain itu katanya, hukuman tersebut juga tidak lagi sesuai dan melanggar prinsip hak asasi manusia di samping kejam berban­ding hukuman mati mandatori.

Sementara itu, pakar perlem­bagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood memberitahu, nasib pesalah hukuman mati dan penjara bergantung sepenuhnya kepada Lembaga Pengampunan seperti mana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun jelasnya, me­reka berhak dapat hukuman lain setelah Yang di-Pertuan Agong, raja dan Yang Dipertua Nege­ri memberi ampun terhadap ke­sa­lahan dilakukan di dalam Wi­la­yah Persekutuan dan negeri ma­sing-masing di atas nasihat Lembaga Pengampuan.

“Bagi orang kena tuduh membabitkan 11 kesalahan hukuman mati mandatori yang baharu dituduh atau sedang dibicarakan pula, kerajaan perlu mewujudkan satu akta dan mekanisme khusus untuk melihat transisi kepada hukuman gantian lain.

“Soalnya sekarang apa hukuman gantian yang disebutkan Menteri semalam, itu belum di­putuskan kerana kajian khusus akan dilakukan berkaitan cada­ngan hukuman itu,” katanya.

Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori membabitkan 11 kesa­lahan dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.

Terdapat 11 kesalahan hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×