MUKADIMAH
KEJAYAAN skuad bola sepak negara, Harimau Malaya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit masih lagi menjadi buah mulut peminat bola sepak.
Malah, kejayaan besar itu membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan memberi imbuhan sebagai pembakar semangat untuk pasukan bertanding pada Piala Asia nanti.
Bagi legenda Red Giants, KHALID ALI, beliau tiada halangan sekiranya kerajaan mahu memberi imbuhan sebagai sagu hati. Namun tegas beliau, pastikan nilainya berpada.
Sementara itu, bekas pemain tengah pasukan Harimau Malaya, DATUK RAMLAN ASKOLANI melihat pemberian imbuhan dapat meningkatkan moral pemain.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, kedua-dua legenda bola sepak ini yakin pasukan negara mampu pergi jauh.Imbuhan boleh, tapi berpadalah
UTUSAN: Bagaimana prestasi pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan kelayakan Piala Asia?
KHALID: Kita nampak perubahan yang memang baik. Itu tak boleh dinafikan. Mereka bermain begitu semangat dan lain dari sebelum ini. Kita juga tak sangka mereka boleh main dengan baik. Jadi, sebab itu ada imbuhan.
RAMLAN: Prestasi membanggakan, namun perlu peningkatan terutama ketika bermain.
Komen mengenai pengumuman pemberian imbuhan?
KHALID: Jika imbau kembali ketika pasukan bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik pada 1980 hingga sekarang, kami tidak terima sebarang imbuhan daripada kerajaan. Tapi saya lihat usaha kerajaan (beri imbuhan) sebagai pembakar semangat kepada pemain selepas memecahkan rekod untuk layak ke Piala Asia.
Tetapi imbuhan itu biarlah berpada-pada, yang tak berat bagi mengenang jasa mereka. Saya tiada halangan untuk kerajaan beri imbuhan dalam apa jua bentuk sekali pun dan pemain perlu terima dengan hati terbuka.
RAMLAN: Cadangan memberi imbuhan adalah sangat baik dan pastinya Menteri Belia dan Sukan harus selaraskan untuk semua jenis sukan supaya meningkatkan moral setiap mereka yang terlibat.
Tidak terlalu awal pemberian imbuhan itu sedangkan belum menang?
KHALID: Kejayaan layak ke Piala Asia selepas 42 tahun itu adalah pencapaian yang menggembirakan dan membanggakan. Menang Piala Asia itu stage lain.
RAMLAN: Ia sebagai pembakar semangat dan saya percaya Perdana Menteri akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan dahulu. Ia juga perlu diselaraskan untuk semua jenis sukan.
Pelbagai reaksi diterima mengenai perkara ini. Ada yang kata tidak adil kepada sukan lain yang berjaya menempatkan diri di persada dunia. Komen?
KHALID: Kita perlu tahu, bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan peminatnya ramai. Bahkan sejak dahulu lagi, organisasi bola sepak memang akan cari imbuhan jika menang. Sukan lain seperti hoki contohnya, mungkin pentadbirannya tidak berapa prihatin dalam hal ini. Lain organisasi, lainlah cara pentadbiran.
RAMLAN: Ia (imbuhan) sebagai penanda aras untuk meningkatkan moral setiap mereka yang terlibat. Sudah tiba masanya setiap persatuan sukan meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) dan piawaian yang sama seperti dilakukan MSN (Majlis Sukan Negara) supaya memberi motivasi yang baik untuk semua.
Adilkah bola sepak dianggap anak emas negara dengan pelbagai kelebihan diberikan?
KHALID: Sukan ini telah mengeratkan rakyat Malaysia. Kita bergabung menyokong tanpa mengira latar belakang atau agama. Saya tak menentang atau menyokong mana-mana pihak tetapi kita boleh lihat dan saya sendiri terperanjat dengan perubahan permainan yang sangat ketara.
Saya pergi melihat tiga perlawanan, perubahan yang sangat ketara. Kita ada pasukan yang boleh pergi jauh, Cuma dulu-dulu tidak kena cara tetapi sekarang, Pan Gon berjaya tukar corak permainan.
RAMLAN: Sebab memang itu sukan utama di negara kita tapi sudah sampai masanya kita semua tidak memainkan isu dan sentimen sebab sukan lain juga ada pengikut tersendiri.
Contoh, badminton kita bertanding di All England dan Piala Thomas. Kita lihat rakyat bersatu memberikan sokongan di media sosial. Jadi, soal anak emas tidak timbul dan mari kita pupuk semua sukan di Malaysia berpotensi mendapat emas, bukan anak emas.
Selain imbuhan wang, apa lagi bentuk ganjaraan yang boleh diberikan dalam memastikan sukan bola sepak negara terus maju?
KHALID: Imbuhan tak patut diberitahu. Itu adalah tanggungjawab (pemain) untuk naikkan pasukan negara. Kita tak boleh meminta-minta, terpulang kerajaan bagi apa. Sebagai pemain yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan, kena bermain untuk negara. Imbuhan yang diberi kena terima dengan ikhlas.
RAMLAN: Tidak perlu terlalu fikir imbuhan sebaliknya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus menyusun semula jadual dan perbanyakkan perlawanan berkelas A dan antarabangsa.
Di negara luar, pemain bangga mewakili negara masing-masing. Jadi, sudah tiba masanya pemain kita mula rasa sifat sebegitu, bukannya tiga atau empat perlawanan sahaja setahun.
KUTIP PENGALAMAN
Malaysia akan menentang negara-negara gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Nasihat kepada skuad Harimau Malaya?
KHALID: Jangan letak harapan terlalu tinggi kerana mereka akan berjumpa pasukan bertaraf dunia. Jadikan platform ini untuk menggali dan mendapatkan pengalaman dalam membentuk sebuah pasukan yang jitu. Kita sudah nampak pembentukan pasukan, namun perlu lebih bekerja keras dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini untuk letak Harimau Malaya setaraf pasukan handal.
RAMLAN: Saya berharap pemain mendapat peluang untuk beraksi di perlawanan antarabangsa dan persahabatan dengan lebih kerap. Pastikan persembahan pemain sedia ada sentiasa dinilai supaya mereka tidak berada dalam keadaan selesa.
Sejauh mana kemampuan Malaysia dalam Piala Asia?
KHALID: Kemungkinan untuk menang adalah mustahil tetapi boleh dapat pengalaman sangat berharga agar dapat membentuk pasukan yang mantap.
Beri peluang kepada jurulatih, dalam tiga atau empat tahun lagi boleh lihat perubahan. Perlu banyak pembangunan. Jika dilihat cara Pan Gon, tidak berubah seperti ketika mendiang Karl Heinz Weigang menjadi jurulatih terutama dari segi serangan, pertahanan dan posisi bola.
Sekarang kita ada sedikit sahaja pemain yang boleh bermain begitu, Mungkin tempoh ini masa terbaik meramaikan lagi pemain berkualiti.
Kita kena pertahankan imej, bekerja keras dalam pertandingan di Asia Tenggara.
RAMLAN: Nilai semula pemain yang mempunyai minit permainan yang banyak dan dedahkan seberapa banyak pemain berpotensi.-UTUSAN











