Jangan ‘ikat tepi’ martabat bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Jangan ‘ikat tepi’ martabat bahasa Melayu

DENGAN adanya jati diri yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum, tidak akan berlaku sebarang perbuatan jelik merendah-rendahkan bahasa kebangsaan. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“RAKYAT Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara”. Ayat ini merupakan cebisan kecil daripada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, bulan lalu. Walaupun ayatnya pendek dan ringkas, namun ia mengingatkan kita tentang jati diri.

Apabila disentuh tentang jati diri, masih wujud segelintir rakyat yang tidak mengetahui apakah itu jati diri sebenarnya, apatah lagi memahaminya secara mendalam. Ketidakfahaman inilah yang menyebabkan masih ada lagi memandang remeh atau ‘ikat tepi’ terhadap usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu yang giat dijalankan sejak kebelakangan ini.

Boleh dikatakan di Malaysia, istilah jati diri hanya mula diguna pakai sejak beberapa dekad lalu. Maka tidak hairanlah jika pemahaman terhadap konsep jati diri kurang menyerlah dalam kalangan kita. Jika ditanya kepada generasi tua, kemungkinan besar mereka akan terkial-kial untuk menjawab apakah itu jati diri.

Namun pada hari ini, rata-rata generasi muda khususnya yang masih berada di bangku sekolah telah pun didedahkan dengan konsep jati diri. Ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) telah pun mengambil inisiatif untuk menerapkan konsep jati diri dalam sistem pendidikan negara, terutama dalam mata pelajaran Sejarah, baik di peringkat sekolah menengah, mahupun di peringkat sekolah rendah.

Jati diri ditafsirkan sebagai sifat atau ciri unik dan istimewa yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa. Untuk menjelmakan jati diri, komponen-komponen penting yang sedia wujud dalam sosiobudaya seperti adat, bahasa, budaya, agama dan lain-lain yang seangkatannya digunakan untuk mengukuhkan jati diri.

Kita sedia tahu, masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya. Sudah pastinya masing-masing akan memberikan keutamaan yang lebih kepada bahasa masing-masing. Jadi, sememangnya mustahil untuk menyuburkan jati diri sebagai bangsa Malaysia tanpa sebarang elemen penyatuan.

TERPINGGIR
Menyedari kepentingan penyatuan inilah, para negarawan terdahulu bersetuju sebulat suara untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai salah satu identiti Malaysia. Hasilnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 Fasal (1). Pendek kata, bahasa Melayu merupakan simpul jati diri terbaik yang dapat mengikat setiap rakyat Malaysia yang berbeza dalam pelbagai aspek.

Untuk menyemarakkan jati diri, bahasa Melayu perlu disemai sebagai jiwa bangsa Malaysia. Dengan adanya jati diri yang tinggi, maka tidak akan berlaku sebarang perbuatan jelik yang merendah-rendahkan bahasa kebangsaan di negara sendiri.

Dalam masa sama, kita tidak perlu berasa risau dengan mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu maka bahasa ibunda dan bahasa etnik lain akan terpinggir. Ini kerana sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa bahasa-bahasa lain boleh dipelajari dan digunakan dalam komunikasi harian.

Di bawah pimpinan Ismail Sabri, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu buat julung kalinya diadakan dengan kerjasama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Dr. Kamarul Zaman Yusoff. Di samping memartabatkan bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa, simposium ini juga perlu dilihat sebagai satu strategi untuk mengukuhkan nilai jati diri.

Sudah tentunya, pembentangan makalah-makalah berkaitan bahasa Melayu berjaya menyalurkan banyak maklumat penting yang ada kalanya kita sebagai rakyat Malaysia sendiri alpa terhadap peranan bahasa kebangsaan sendiri. Maka, saranan Perdana Menteri untuk menjadikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai agenda tahunan perlu disambut baik.

Untuk memperkasakan lagi simposium ini pada masa hadapan, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan perlu digalakkan. Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sehingga Jun 2022, terdapat hampir 23,814 NGO berbentuk sosial, kebudayaan dan kesenian yang merangkumi semua kaum dan etnik. NGO-NGO ini perlu diberikan pendedahan tentang agenda bahasa Melayu dan pemupukan jati diri.

Maka secara tidak langsung, NGO-NGO ini akan mendukung aspirasi negara dan menjadi saluran penyampai tambahan kepada masyarakat amnya. Melalui cara ini, pencapahan bahasa Melayu dapat dipertingkatkan dengan lebih luas.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×