Adibah Noor, perginya seorang kekanda - Utusan Malaysia

Adibah Noor, perginya seorang kekanda

Allahyarham Adibah Noor meninggal dunia akibat kanser ovari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHILANGAN atau kematian, seringkali dianggap sebagai satu ujian yang paling berat. Terutama, buat orang-orang yang ditinggalkan.

Walaupun semua orang pasti akan menemui ajalnya, akan pergi bertemu Ilahi,tinggal cuma menunggu giliran, tetapi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi akan kehilangan itu terasa begitu sulit sekali.

Mungkin itulah yang dirasakan oleh semua orang yang setia menyayangi Allahyarham Adibah Noor, 50, yang mana kelmarin, dia diberitakan telah pergi dijemput Ilahi.

Ramai melahirkan rasa terkejut, tidak bersedia. Ini kerana rupa-rupanya, selama ini, begitu lama Adibah menyimpan rahsia bahawa dirinya sedang berperang dengan kanser ovari dan sakitnya itu telah berada di tahap empat sebelum dilaporkan menjadi punca kepada kematiannya.

Rupa-rupanya, sebegitu bimbang arwah untuk melihat wajah-wajah rakan industri dalam keadaan sedih atau simpati kepada dirinya. Lalu kerana itulah, dia memilih untuk menyembunyikan sakit yang ditanggung, lebih rela berpura-pura bahawa semua tentang dirinya cuma baik-baik sahaja.

Bagi yang mengenali Adibah, sepanjang hayatnya, dia merupakan seorang wanita yang cukup pemurah dengan senyuman. Paling diingati, tawanya yang sentiasa akan memecah keheningan suasana apabila sama-sama berpeluang berkumpul bersama teman-teman industri seni setiap kalinya.

Jadi, ketika mana dia menyerlahkan kesedihannya? Jawapannya, tidak pernah. Arwah, sebenarnya, bukanlah seorang yang gemar untuk bercerita hal-hal peribadinya semasa hayat.

Malah,sebagaimana yang umum tahu, ketika dia mengalami kesusahan sebelum ini pun, bukanlah dia menjadi pemulanya untuk membuka ruang bicara mengenai hidupnya yang ketika itu sedang diuji dengan masalah kewangan.

Bukan tiada yang tampil ingin membantu, lebih-lebih lagi ketika dia mengalami kesukaran tiada ‘job’ sewaktu itu. Tetapi, untuk semata-mata menerima wang tanpa melakukan pekerjaan, itu bukanlah sesuatu yang disukainya.

Kata Adibah, dia lebih rela bekerja dan mahu bekerja dan hanya itu yang dia mahukan berbanding ingin menyusahkan mana-mana pihak yang melihatnya sebagai seorang wanita yang sedang menagih simpati.

Kuat dan tabahnya seorang Adibah Noor, sedikitpun tidak dia mahu berputus asa meski di dadanya, dia sedang menanggung sejuta emosi dan rasa di balik wajah ceria.

Bukan cuma penyanyi biasa
Memiliki latar belakang sebagai seorang bekas pendidik dan mahir dalam bidang bahasa Inggeris, arwah bagaimanapun lebih cenderung untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni setelah menjadi juara dalam pertandingan Suara 90-an Nescafe sekitar tahun 1996.

Seringkali dalam mana-mana temu bual, dia pasti akan berkata, bidang nyanyian ini sentiasa akan menjadi nombor satu dalam hatinya meski kemudian orang mengenali bakatnya dalam bidang lakonan.

Menyorot kembali, arwah bagaimanapun turut menyerlah dalam bidang lakonan. Sekaligus mengiyakan bahawa dia memang seorang bintang yang berbakat besar.

Antara yang terpalit di jiwa penonton adalah naskhah lakonannya di bawah pengarahan Allahyarham Yasmin Ahmad seperti filem Sepet dan Gubra. Semasa terlibat dalam naskhah itu jugalah ramai dapat menyaksikan keakrabannya dengan arwah Yasmin dan barisan pelakonnya.

Akrabnya mereka, bukan sekadar cuma teman pelakon. Tetapi Adibah bagi aktres Sharifah Amani misalnya, sudah dianggap bak seorang kakak. Malah, Harith Iskander juga menganggap dia umpama seorang adik.

Sikap ramah dan pandai membawa diri juga membuatkan Adibah sentiasa disenangi apabila terlibat dalam mana-mana set penggambaran atau pentas sehingga ramai begitu sayang pada dirinya persis seorang kakak.

Mengapa begitu agaknya? Satu yang harus semua orang tahu, Adibah ketika hayat, tidak pandai bermuka-muka. Apabila dia memberi teguran, memberi pandangan yang serius, dia benar-benar ikhlas dan jujur.

Mungkin dia dilihat sebagai seorang yang lantang, tetapi, suka atau tidak, kata-katanya itu adalah tulus dan barangkali, tidak semua orang boleh menerima sebuah kejujuran.

Itu antara sikap yang menjadikan Adibah istimewa pada kaca mata ramai. Harus diingat, tadi, sudah dikatakan dari awal, dia merupakan bekas guru dan bayang pendidik dalam sentiasa memberikan ilmu dan manfaat kepada orang ramai itu, tidak pernah terpadam dari hatinya.

Harus ditekankan di sini, untuk bertemu dengan insan seni seperti Adibah, barangkali susah.

Maksud di sini adalah persona dan kualitinya dalam kerjaya termasuk personalitinya sebagai seorang individu.

Insan yang boleh menggalas sebagai penyanyi, pelakon, pengacara, guru dan sekali gus sebagai keluarga, tidak semua artis atau selebriti tanah air mampu dilihat seperti itu.

Begitu besar dengan cinta di jiwa, kasih sayang yang dimiliki bukan sahaja terhadap manusia, bahkan ramai juga tahu, Adibah cukup menyayangi puluhan ekor kucing yang dijaganya semasa hayat.

Justeru, pemergiannya nyata begitu dirasai semua. Entah mengapa, rupa-rupanya dalam kelebatan hujan petang Sabtu lalu, ia juga mengiringi khabar pemergian arwah yang pastinya dirindui oleh semua yang mengenali.

Persis bait-bait lirik lagu Terlalu Istimewa, ‘ku pasti kau berbahagia, duduk di samping-Nya, mendengar cerita, segala rahsia’, kerinduan ini mungkin tidak dapat mengembalikan semua kenangan indah bersama Adibah.

Pun begitu, ketahuilah Adibah…semua yang menyayangi dirimu kini sedang sayu dan bersedih, sambil mengendong seribu rasa ralat kerana tidak dapat berbakti buat kali terakhir terhadapmu.

Engkau, dalam sejuta cuma ada satu. Namun, apa daya, Tuhan lebih menyayangimu…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×