Program berhenti merokok secara berkumpulan di tempat kerja sangat berpotensi dalam usaha menggalakkan pekerja menghentikan tabiat yang boleh mengancam kesihatan itu.
Kadar kejayaan berhenti merokok didapati adalah lebih tinggi sekiranya dijalankan secara berkumpulan atau bersama rakan sekerja berbanding cubaan untuk berhenti merokok yang dijalankan secara bersendirian.
Polisi Berhenti Merokok yang mendapat sokongan pihak pengurusan juga boleh mencatat kejayaan yang lebih pantas di samping menyahut seruan kerajaan dan memastikan kesejahteraan pekerja.
Prof. Madya Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Wee Lei Hum berkata, kajian Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat-AIA Vitality, menunjukkan pekerja yang sihat akan meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
“Program berhenti merokok di tempat kerja mampu menyediakan laluan kepada ramai perokok untuk berhenti merokok pada satu masa. Ia juga memberi peluang untuk menyasarkan perokok muda yang secara tradisinya kurang tampil ke klinik untuk mendapatkan rawatan berhenti merokok.
“Sokongan berterusan daripada rakan sekerja juga akan menggalakkan mereka untuk berusaha menghentikan tabiat tidak sihat berkenaan,” katanya pada Syarahan Perdana berjudul, Punca Gagal Berhenti Merokok di UKM, baru-baru ini.
Katanya program itu perlu dijalankan dengan kerjasama unit kesihatan pekerjaan yang akan memberikan sokongan profesional kepada pekerja yang ingin berhenti merokok.
Majikan boleh memberi insentif menarik seperti hadiah percutian, elaun khas dan sebagainya kepada pekerja yang berjaya berhenti merokok untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pekerja.
Dr. Wee yang juga penasihat akademik kepada Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat – AIA Vitalit berkata, hasil tinjauan dalam talian pada tahun 2019 terhadap 230 organisasi yang membabitkan 17,595 pekerja, mendapati kejayaan perniagaan sesebuah organisasi disokong oleh kesihatan pekerja.
“Organisasi di Malaysia dilaporkan kehilangan purata sebanyak 73.1 hari masa bekerja bagi setiap pekerja dalam setahun, akibat ketidakhadiran bekerja atas faktor kesihatan dan hadir bekerja walaupun tidak sihat.
“Daripada perspektif perniagaan, secara purata setiap organisasi di Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM2.27 juta setahun kerana dua faktor ini. Punca utama organisasi mungkin tidak menangani isu kesihatan pekerja kerana mereka tidak memahami tentang kepentingannya selain mungkin tidak mempunyai data yang mencukupi untuk membantu mereka bertindak,” katanya.
Dr Wee berkata, bagi menggalakkan tabiat berhenti merokok, pihak pengurusan syarikat boleh memperketatkan polisi larangan merokok di tempat kerja atau organisasi masing-masing.
“Jadikan tempat kerja sebagai kawasan bebas asap rokok dengan meletakkan notis yang jelas bagi melarang merokok. Sesi ceramah mengenai isu merokok juga perlu dijalankan.
“Selain itu, sediakan kemudahan bagi mengalakkan mereka mendapatkan rawatan atau menjemput pakar berhenti merokok untuk menjayakan rawatan berhenti merokok secara berkumpulan di tempat kerja,”katanya.
Perkhidmatan klinik berhenti merokok adalah penting untuk meningkatkan sokongan dan kadar kejayaan berhenti merokok. Ia membantu perokok menamatkan ketagihan nikotin dan boleh dilakukan dengan gabungan rawatan farmakoterapi serta kaunseling modifikasi tingkah laku.
“Perokok yang menggunakan bantuan ubat-ubatan untuk berhenti merokok, mengurangkan risiko kembali merokok sebanyak 30 peratus berbanding tanpa bantuan. Perokok yang ingin berhenti merokok tanpa sokongan klinik berhenti merokok pula hanya mencatatkan kejayaan yang rendah iaitu lima peratus.
“Perokok yang ingin berhenti merokok akan mempunyai dua kaedah untuk berhenti iaitu secara serta-merta ataupun secara beransur-ansur. Hasil penemuan terbaru mengenai faktor penentu kejayaan berhenti merokok yang dijalankan oleh saya, menunjukkan berhenti secara serta merta adalah kaedah berhenti merokok yang lebih berkesan,” katanya.
Punca kembali merokok atau Relaps
Relaps diertikan sebagai perokok telah berjaya berhenti merokok dan kemudian kembali merokok seperti biasa.
Relaps berlaku akibat ketidakstabilan sistem motivasi, bertembung dengan ‘detik-detik kelemahan’, kurang kawalan diri, keinginan dan keperluan yang kuat untuk merokok serta ketidakupayaan bagi menerima identiti diri baru sebagai bukan perokok.
“Kebanyakan perokok berjaya berhenti merokok selama sehari hingga beberapa tahun dan kemudian merokok kembali. Pengalaman ini boleh menjejaskan keyakinan diri untuk cuba berhenti sekali lagi.
“Kajian ini mendapati bahawa hampir semua relaps berlaku semasa tiga bulan pertama selepas rawatan dan separuh daripada mereka yang relaps menghisap rokok dalam tempoh 24 jam atau sebaik sahaja selepas rawatan. Kira-kira 75 peratus daripada perokok yang berjaya berhenti merokok akhirnya akan merokok semula selepas enam bulan,” katanya.
Trend Merokok Di Malaysia
Sebanyak 21.3 peratus iaitu seramai 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Bagi setiap dua orang lelaki, seorang adalah perokok yang mana perokok lelaki adalah 30 kali lebih tinggi berbanding wanita.
Merokok menyebabkan 27,200 kematian pramatang setiap tahun, tidak mengambil kira kehilangan produktiviti dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.
“Kira-kira 70 peratus perokok menyatakan mereka mahu berhenti merokok dan 30 peratus daripada mereka membuat percubaan untuk berhenti, hanya sekitar 5 peratus saja berjaya dalam percubaan mereka. Manakala hanya 2 peratus sahaja berjaya berhenti lebih dari setahun Perokok akan mencuba beberapa kaedah dalam proses berhenti merokok.
“Hanya 10 peratus perokok tampil untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan untuk berhenti merokok. Sebelum berjaya berhenti merokok, perokok telah membuat percubaan sebanyak enam hingga 142 kali. Faktor kesihatan menjadi faktor utama mengapa perokok ingin berhenti merokok dengan 8 peratus menggunakan rawatan farmakoterapi dan hanya 2 peratus mendapatkan kaunseling modifikasi tingkah laku bagi membantu mereka berhenti merokok,” katanya.
Dua langkah untuk berjaya berhenti merokok
Dr Wee berkata, perokok perlu menangani ketagihan nikotin dan tabiat yang menyelubungi rutin seharian mereka seperti merokok selepas bangun tidur, ketika kesunyian atau selepas makan.
“Apabila berhenti merokok, perokok tidak lagi mendapat nikotin dan mereka akan mengalami gejala tarikan nikotin seperti gangguan tidur, bertambah selera makan dan bertambah berat badan, perasaan tertekan, sukar memberi tumpuan, gelisah atau kurang sabar, bimbang, cepat marah dan kecewa.
“Pada masa yang sama, tabiat merokok sudah berakar umbi menjadi tabiat harian perokok. Bayangkan sekiranya perokok merokok sebanyak 20 batang sehari selama sepuluh tahun, maka ia mungkin sudah menjadi suatu kelaziman dan tindak balas automatik untuk merokok,” katanya.
Kanser peti suara, punca berhenti
Penolong Pegawai (Pendidikan Khas), Pejabat Pendidikan Daerah Bentong, Shamsul Rizal Ramli,46 tahun, berkata dia mula merokok sejak di sekolah menengah.
Ketika di tingkatan satu, Shamsul sudah mula berjinak-jinak dengan rokok dengan merokok untuk ‘main-main’ saja. Bagaimanapun tabiat itu semakin sebati dengannya apabila masuk ke sekolah asrama ketika di tingkatan empat.
“Masa di tingkatkan empat, saya semakin kuat pula merokok. Nak kata pengaruh kawan, mereka tak pengaruh sangat pun. Kawan-kawan pun, ajak-ajak ayam saja dan saya pun saja-saja nak cuba.
“Kali pertama merokok, rasa pening sangat dan tidak sedap pun. Masa itu terus rasa tak nak hisap rokok lagi sebab tidaklah seronok sangat merokok ni tapi bila dah cuba beberapa kali, baru rasa sedap.
“Tabiat merokok makin kuat bila saya bekerja di sebuah kilang dalam usia 20 an dan 30an. Saya tidak ingat berapa kos dikeluarkan masa itu tetapi saya ingat pernah mencecah dua hingga ke tiga kotak sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shamsul mengakui pernah beberapa kali cuba untuk berhenti merokok terutama ketika mula-mula mendirikan rumahtangga dan apabila anaknya dilahirkan.
Azamnya untuk berhenti merokok sentiasa ada tetapi semuanya tidak kekal lama. Katanya paling lama beliau berhenti adalah selama dua tahun pada 2009 tetapi malangnya tabiat itu kembali semula.
Tambahnya lagi, cabaran paling besar untuk berhenti merokok adalah faktor sekeliling dan kelemahan menahan nafsu sendiri. Namun, Shamsul terpaksa berhenti merokok sepenuhnya selepas disahkan mengalami kanser peti suara pada Ogos 2014.
“Selepas disahkan mengalami kanser peti suara, saya dinasihatkan oleh doktor untuk berhenti merokok sepenuhnya. Mahu atau tidak, saya harus kuatkan semangat untuk berhenti merokok. Kini, saya rasa lebih segar dan badan pun tidak berbau ketika masih merokok dulu.
“Saya nak nasihatkan perokok, tolong berhenti sebelum diuji dengan penyakit berat seperti saya. Memang kita rasa kita sihat tetapi kita tidak tahu bagaimana keadaan dalam badan kita. Asap rokok ini, dia makan organ-organ dalaman kita tanpa kita sedar tetapi semuanya sudah terlambat bila kita dapat penyakit,” katanya.
Faktor Penyebab Relaps
Ada beberapa faktor utama yang menyebabkan perokok relaps dan gagal berhenti merokok iaitu:
1. Pendedahan Kepada Isyarat Merokok
2. Kekurangan Alat Bantuan Berhenti Merokok
3. Tidak Berhasrat Untuk Berhenti Sepenuhnya
4. Mengalami Tekanan Hidup yang Tinggi
5. Hubungan Harian dengan Perokok Lain
6. Baru Gagal Percubaan Berhenti Merokok
7. Mempunyai Emosi Negatif
8. Tahap Motivasi rendah
9. Tahap Pendidikan yang lebih rendah
10. Kesediaan untuk berubah yang rendah
11. Keyakinan Diri dan Sokongan Sosial yang rendah
12. Kebergantungan Nikotin yang tinggi
13. Penggunaan Alkohol
14. Mengalami Penyakit Mental









