Bola sepak ubah nasib Darwin Nunez

Bola sepak ubah nasib Darwin Nunez

NUNEZ mula menemui sentuhan dalam dua penampilan terakhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Darwin Nunez tiba-tiba menjadi sebutan selepas melengkapkan perpindahan rekod kelab bernilai 85 juta pound (RM457.44 juta) ke Liverpool minggu ini.

Ibu Darwin, Silvia Ribeiro orang paling gembira dengan pencapaian bintang Uruguay itu kerana zaman kanak-kanak­nya tidak selalu manis, malah keluar­ganya bergelut mencari wang untuk menyaranya.

Darwin, 23, yang menandatangani kontrak dengan Benfica dari Almeria pada 2020, mempamer aksi mengagumkan sepanjang tempoh singkat di Portugal.

Selepas mengukuhkan tempat dalam pasukan musim lalu, dia terus menjadi penjaring terbanyak dengan meledak 34 gol dalam 41 penampilan di semua pertandingan.

 

IBU bapa Darwin banyak berkorban demi karier anak mereka.

Di sebalik kejayaannya di Eropah, perjalanan Darwin tidak mudah dan keluarganya bergelut mencari nafkah ketika dia masih kecil.

“Saya pernah tidur keseora­ngan dengan perut kosong tetapi orang yang paling banyak tidur dengan perut kosong ialah ibu saya. Dia pastikan saya dan abang makan dahulu.

“Ibu saya pernah tidur tanpa menyertai kami makan,” kata Darwin dalam temu bual bersama majalah sukan Marca.

Pada zaman kanak-kanak, Darwin seorang yang pendiam dan pemalu, namun di sebalik sikapnya itu dia memiliki keinginan tinggi untuk mengejar impian demi merubah nasib ­keluarganya.

Selepas bekerja keras di atas padang bola, Darwin mula melihat sinar apabila didatangi oleh wakil sebuah kelab terkemuka Uruguay, Penarol pada 2013 iaitu ketika dia berusia 14 tahun.

DARWIN Nunez bersama pasangannya, Lorena Manas dan anak mereka.

Begitupun, nasib Darwin tidak seindah diharapkan apabila Penarol tidak menandata­nganinya dan dia pulang semula ke rumah untuk tinggal bersama ibu bapa.

Pada usia 16 tahun, Darwin koyak ligamen cruciate dan tidak beraksi selama setahun setengah tetapi jurulatih Pe­narol, Leo Ramos membawanya masuk ke kelab itu sebaik sahaja dia sembuh.

Walaupun tidak ba­nyak kejayaan diraih bersama Penarol ekoran kecederaan yang dialami, ­Darwin berjaya menembusi pasaran Eropah dengan me­nyertai kelab Sepanyol, Almeria.

Ketika itulah dia berubah daripada seorang yang ‘tiada apa-apa’ menjadi antara ­penyerang terbaik di Eropah sehingga berjaya memikat ­Liverpool.

BERSAMA pasukannya ketika zaman kanak-kanak.

Kini, keluarganya tidak akan berlapar lagi kerana Darwin lebih daripada mampu untuk memberi kesenangan kepada mereka.

Dia dikatakan menikmati gaji sekitar 120,000 pound (RM645,800) seminggu di Liverpool.

“Saya tidak lupa dari mana saya berasal, keluarga yang rendah hati dan bekerja keras.

“Bapa saya bekerja lapan atau sembilan jam dalam pembinaan untuk membeli apa yang kami perlukan dan makan. Ibu saya sentiasa menjadi suri rumah dan akan keluar ke jalanan untuk mengutip botol untuk dijual,” ceritanya.

Musim lalu dia menjadi pemain muda yang menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada usia 22 tahun dan 264 hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×