Melakukan tujuh kerja pada satu masa, memang luar biasa dan mungkin tidak terjangkau dek fikiran, lebih-lebih lagi dilakukan seorang wanita.
Namun alah bisa tegar biasa, Nurul Fadzilah Kamaluddin mampu merealisasikannya.
Di samping sibuk mengendalikan tugas hakiki sebagai Peguambela dan juga Peguamcara serta Peguam Syarie, si manis berusia 33 tahun ini turut melakukan kerja lain seperti pensyarah sambilan, pengacara dan kerja-kerja sukarelawan serta aktiviti kemasyarakatan.
“Jadual saya padat. Rutin saya biasanya ke mahkamah mengendalikan kes-kes sivil, syariah dan banyak lagi. Saya banyak membantu wanita-wanita yang teraniaya keluar daripada masalah dan kes keganasan rumah tangga.
“Tidak dinafikan, ramai antara client tidak memahami profession guaman. Ini kerana ramai client yang masih salah anggap bahawa setiap proses kes itu hanyalah mudah dan senang. Namun ia memerlukan proses yang agak lama dan perlu memberi ruang kepada peguam untuk menyediakan urusan dokumen-dokumen tertentu.
“Pada masa sama saya juga seorang pensyarah sambilan. Saya akan meeting, kelas bersama pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengajar subjek perundangan untuk pelajar tahun akhir. Menjadi pensyarah menuntut saya untuk update juga dengan perkembangan semasa dalam bidang perundangan. Pada hujung minggu pula, saya sibuk dengan aktiviti kemasyarakatan dengan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya kepada Seri.
Pemilik firma guaman sendiri di Tetuan Fadzilah Kamaludin & Co. ini turut mencuri masa menyumbang bakat sebagai pengacara. Malah baru sahaja selesai mengendalikan 13 episod program bicara Fail Syariah di TV Alhijrah.
“Pengalaman menjadi pengacara menyeronokkan. Ia julung kalinya diadakan di bawah kelolaan Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), bertujuan membincangkan isu dan hal undang-undang syariah.
“Banyak yang saya belajar sepanjang menjadi pengacara dan ia satu pengalaman bermakna yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
BUKA FIRMA GUAMAN
Tidak terfikir untuk menjadi peguam apatah lagi membuka firma guaman sendiri. Cita-cita asalnya, ialah untuk menjadi pensyarah.
“Saya nak jadi pensyarah. Namun bila diterima sebagai salah seorang pelajar di UIAM dalam jurusan undang-undang, saya mencabar diri menjadi salah seorang pelajar yang boleh mendalami ilmu undang-undang,” katanya.
Usai pengajian, Nurul Fadzilah membuka langkah untuk memiliki firma guaman sendiri pada ketika usianya 27 tahun.
“Pada peringkat awal, keluarga tidak memberikan sokongan sebab saya muda dan tiada pengalaman,” katanya.
Namun Nurul Fadzilah bijak merencana percaturan.
“Sebelum membuka firma guaman sendiri, saya cari pengalaman bekerja dalam bidang guaman ini dari firma lain terlebih dahulu. Saya gigih kumpul pengalaman sebaik mungkin, belajar dan terus belajar ketika masih bekerja di bawah orang,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti kebangsaan Malaysia (UKM).
Pengurusan masa membantu dirinya membahagikan waktu dengan sempurna.
“Walaupun ada telefon pintar, saya kekal mengamalkan mencatat dalam diari. Malah diarilah peneman setia saya,” katanya.
Menariknya, beliau memiliki perancangan untuk dua atau tiga bulan ke hadapan, bukannya untuk seminggu dua sahaja.
WANITA TERANIAYA
Pahit yang harus ditelan. Begitulah apabila bergelar seorang Peguam Sivil mahupun Peguam Syarie, sudah tentu Nurul Fadzilah berdepan dengan ramai orang yang berbeza latar belakang dan mempunyai client yang banyak ragamnya tersendiri.
Namun katanya, pengalaman pahit yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila mengendalikan kes syariah kerana dapat melihat dengan mata sendiri bahawa ramai isteri yang didera emosi dan fizikal.
“Saya sendiri melihat kesan yang terjadi apabila anak guam teraniaya dan sering dibuli oleh suami sehingga mereka perlu mendapatkan nasihat kaunseling dan juga perlu berjumpa doktor psikiatri.
“Ramai antara mereka yang didera sehingga mereka mengalami anxiety dan trauma yang sangat teruk. Ada juga yang bercakap dengan saya sambil menggeletar malah menghubungi saya pada waktu tengah malam untuk mengadu dipukul suami.
“Tidak hanya itu, ada juga yang menghubungi saya dan pihak polis kerana didera oleh suami. Ini membuatkan hati saya luluh dan sedih kerana masih ada lagi yang tidak tahu menghargai wanita yang bernama ‘isteri’. Ia membuatkan saya tekad untuk membawa dan membantu wanita-wanita yang teraniaya ini keluar daripada masalah dan kes-kes keganasan rumah tangga. Alhamdulillah banyak kes dapat diselesaikan dengan jayanya,” katanya.
PUAS BANTU ORANG
Nurul Fadzilah turut terlibat aktif dengan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Gombak.
“Saya aktif dalam persatuan yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada golongan belia dan juga wanita muda khususnya di kawasan Gombak dan sekitarnya.
“Lazimnya aktiviti membantu orang ramai ini saya lakukan pada hujung minggu. Kami sangat aktif ketika pandemik melanda negara bermula 2020 sehingga kini,” katanya.
Antara program dianjurkan ialah Bakul Makanan dan Bakul Bayi Prihatin.
“Kecintaan dengan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan membuatkan hati saya sangat tenang. Ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan.
“Setiap pemberian yang diberi kadangkala ada di antara mereka yang selitkan doa untuk saya. Ketika itu rasa hati sangat tenang dan puas dapat bantu ramai orang.
“Sebab itu saya suka membantu ramai orang yang memerlukan bahkan bukan sahaja di kawasan Gombak malahan di kawasan yang lain juga,” katanya.
REDA TEKANAN
Berpegang pada kata-kata pepatah Arab berbunyi, ‘akal yang cerdas datang daripada badan yang cergas’ Nurul Fadzilah turut gemar beraktiviti.
“Ia berupaya menguatkan minda di samping dapat mengeluarkan toksik dalam badan melalui berpeluh,” katanya.
Membesar di rumah anak yatim
NURUL FADZILAH menjadi inspirasi sebagai seorang yang telah dibesarkan di rumah anak yatim Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP).
Menjejakkan kaki ke Darul Kifayah ketika berusia 12 tahun atas permintaan ibunya sendiri, Azimah Azuddin, 72, untuk melihat beliau berdikari dan berdisiplin.
“Saya dibesarkan dengan kasih sayang yang cukup daripada seorang ibu kerana ayah telah meninggal dunia ketika saya berumur lima tahun. Ibu adalah ayah dan mak bagi saya. Ibu seorang guru di sekolah agama yang menyara saya dan adik beradik lain seorang diri. Saya percaya setiap perlakuan dan kejayaan saya pada hari ini adalah hasil didikan dan doa makbul daripada ibu tercinta,” katanya yang tidak pernah sesekali melupakan asal-usul kerana itulah sumber kekuatan dan mengajar erti kehidupan.
Pengalaman berada di Darul Kifayah merupakan pengalaman paling manis dalam hidupnya.
Besar harapan Nurul Fadzilah untuk melihat anak-anak yatim dan asnaf yang lain akan terus maju serta lebih berjaya bagi mengubah nasib keluarga mereka selepas ini seperti dirinya.
“Saya kini merupakan salah seorang Ahli Majlis Jawatankuasa untuk Kompleks Darul Kifayah dan juga rumah perlindungan wanita, Kompleks Dar As Saadah. Sebab itulah saya sangat aktif terlibat dengan kedua-dua pusat ini di bawah kelolaan MAIWP.
“Saya berbesar hati membantu MAIWP dalam membangunkan kedua-dua pusat ini kerana bagi saya kedua-duanya adalah tempat ‘permata yang perlu digilap’ dan bakal melahirkan ramai pengubah nasib keluarga suatu hari nanti,” katanya.










