Gen-Z bakal ubah landskap politik?

Gen-Z bakal ubah landskap politik?

GENERASI Z kini memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU15. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOMENTUM gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyebabkan mana-mana parti politik kini berada dalam siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen. Hampir semua jentera kepartian kini memulakan gear ke arah PRU15.

Dalam pada itu, generasi Z kini memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU15. Statistik kependudukan menunjukkan terdapat 32.6 juta penduduk Malaysia.

Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus adalah Melayu diikuti Cina (23%) dan India (7%). Analisa menunjukkan generasi Z yang berumur 25 tahun ke bawah merangkumi jumlah besar dalam keseluruhan penduduk, iaitu 25 peratus. Kajian menunjukkan hampir 80 peratus generasi Z adalah Melayu, 15 peratus Cina dan lima peratus India.

Diikuti generasi Y merangkumi 26 peratus daripada keseluruhan penduduk dan berumur antara 26 hingga 41 tahun. Generasi Y menunjukkan juga hampir 70 peratus adalah Melayu, Cina 23 peratus dan India tujuh peratus.

Generasi X pula merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan penduduk, iaitu 60 peratus adalah Melayu diikuti Cina (30%) dan India (10%) yang berumur antara 42 hingga 57 tahun.

Daripada data kajian ini menunjukkan polarisasi politik generasi Z dan Y mempunyai jurang yang lebih besar berbanding generasi Y dan X. Walaupun begitu, paradigma perspektif politik sebahagian besar generasi Y adalah politik baharu manakala sebahagian generasi X adalah persaingan antara politik etnik dan politik agama. Ketiga-tiga paradigma perspektif politik ini masih berada dalam konteks politik bukan dalam pengaruh dunia pendigitalan..

Tetapi setelah pengenalan dunia pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam konteks politik negara ini telah memberikan satu perubahan radikal ke atas paradigma perspektif politik generasi Z. Generasi Z kini merupakan bilangan terbesar yang bakal menentukan momentum perubahan politik negara ini.

Kajian menunjukkan 52 peratus generasi Z adalah lelaki berbanding 48 peratus generasi Y adalah lelaki diikuti 45 peratus generasi X adalah lelaki. Situasi ini menunjukkan produk segmen politik generasi Z tidak lagi terikat dengan politik lama, iaitu politik etnik, politik agama dan politik baharu. Hampir 80 peratus generasi Z tinggal di bandar, mempunyai sekurang-kurangnya diploma dan pengalaman berhubung ekonomi gig.

Memang menarik, majoriti generasi Z hari ini lebih melihat kepada segmen produk politik rasional baharu yang terdedah dengan dunia politik media baharu. Tetapi sebahagian besar mereka kurang berminat dengan politik dan lebih kepada dunia tersendiri dalam berkumpulan media baharu. Tidak lagi terikat dengan dunia secara fizikal dan perbincangan apa yang berlaku di negara ini adalah lebih luas dan terbuka berbanding generasi Y dan X.

Bukan mudah untuk membawa satu nada yang seiring dengan pemikiran generasi Z dalam erti kata mempunyai persamaan sokongan ke atas parti tertentu. Masing-masing dalam generasi Z ini terarah kepada luahan sebagai netizen yang mampu membina sebuah dasar kerajaan tanpa disedari oleh ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli badan legislatif.

3G, 4G

Kerasionalan politik generasi Z ini juga tidak sama dengan politik rasional yang dihujahkan oleh para sarjana Barat. Ini disebabkan generasi Z mempunyai kepelbagaian pengisian rasional politik yang ada kalanya bercampur dengan politik konvensional. Percampuran ini membawa kepada satu lagi konsep baharu dalam politik rasional negara ini.

Sejak 2016, sebanyak 92 peratus penduduk Malaysia mendapat liputan internet 3G dan 64 peratus pula 4G. Pada masa kini, boleh dikatakan hamper 95 peratus menikmati liputan internet 4G ke atas. Generasi Z adalah generasi pertama yang mendapat kemudahan liputan internet 3G ke atas berbanding dengan generasi X dan generasi lain.

Malahan generasi Z mula diperkenalkan teknologi telefon android dan kemudahan liputan internet seawal usia kanak-kanak lagi. Pendedahan kepada telefon android ini hampir meliputi 99 peratus keseluruhan generasi Z dengan capaian internet melebih 95 peratus.

Ini menyebabkan keseluruhan generasi Z adalah pengguna tegar media sosial baharu seperti Facebook, TikTok dan Instagram. Buat pertama kali, boleh dikatakan keseluruhan kehidupan generasi Z adalah dalam dunia media sosial yang mempunyai kumpulan chatting tersendiri tanpa mengenal sempadan. Ini menyebabkan generasi Z merasai pengalaman perubahan politik yang berlaku antara zaman kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018 sehinggalah kepada pemerintahan zaman Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Generasi Z juga merasai kehidupan buat pertama kali pemerintahan kerajaan bukan di bawah BN dan melihat sendiri manifesto yang dijanjikan oleh PH sebelum PRU14.

Generasi Z mempunyai kesedaran isu politik negara terutama krisis politik, krisis ekonomi dan krisis kehidupan sosial yang berlaku sejak 9 Mei 2018. Generasi Z juga diberikan ruang untuk terlibat sebagai pengundi buat pertama kali selepas gazetnya Akta Undi 18 tahun ke atas (Undi18) dilaksanakan. Malah, Akta Pembangunan Belia dan Persatuan Belia juga dirombak yang mengumumkan golongan belia adalah berumur 30 tahun ke bawah. Ini bermakna keseluruhan umur generasi Z memainkan peranan amat besar dalam masa depan politik negara nanti.

Golongan generasi Z secara rumusan dipengaruhi oleh empat faktor iaitu keterlibatan dunia elektronik, berpendidikan, bersifat keusahawanan ekonomi gig dan mempunyai daya kuasa sebagai netizen yang proaktif. Sebarang aktiviti politik masa kini adalah secara realiti sebenar yang akan terpampang dalam dunia media sosial baharu di hujung jari. Maka Keluarga Malaysia perlu memperkasakan kepolitikan generasi Z yang merupakan aset tunjang utama masa depan politik negara ini. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×