Tiada guna 1,000 janji jika akhirnya gagal ditepati

Tiada guna 1,000 janji jika akhirnya gagal ditepati

JANGAN nanti ada pula pihak yang tergamak menyebut manifesto pilihan raya bukan kitab suci yang perlu dipatuhi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN cari kemenangan hanya bercagar kelemahan lawan. Cara begitu tidak menghasilkan rumusan tepat selain ada kecenderungan ‘mengkhianati’ harapan dan keyakinan rakyat yang membuat pilihan.

Mana-mana parti atau individu yang ingin menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya mesti bersifat jujur, bersedia memikul komitmen tinggi untuk berkhidmat serta tahu memenuhi tuntutan tugas sebagaimana diharapkan.

Hanya dengan berada di bawah sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dapat menterjemahkan apa yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya defisit keyakinan terhadap keupayaan negara dapat ditangani agar negara maju membangun dan bangkit semula di persada dunia.

Tidak perlu ada istilah mencuba atau sekadar mencari pengalaman. Elak mendendang 1,000 janji jika penghujungnya gagal ditepati. Ayat-ayat suci bukan begitu murah untuk dijual beli atau ditutur sekadar retorik memikat hati.

Sehubungan itu juga, tidak perlu memperbanyakkan penubuhan parti-parti baharu yang bersaiz kecil kerana tindakan sedemikian hanya boleh memecah kecil kesatuan bangsa dan perpaduan ummah. Tidak perlu disembunyikan sebarang muslihat untuk mencari jalan pintas atau mudah bagi meraih keuntungan peribadi.

Demikian antara elemen atau unsur yang tidak disukai rakyat menjelang setiap kali diadakan pilihan raya. Kerap sudah rakyat tertipu dan terpedaya dengan janji dan mainan kata-kata. Malah, adakala terdapat janji-janji yang ditabur tidak logik pun boleh dipenuhi.

Namun, malangnya ada yang tidak serik. Masih ramai kembali terpikat dengan mainan bahasa yang diucap, gaya aksi di hadapan khalayak oleh sesetengah pemimpin politik. Lalu mereka kembali terpesona memilih semula parti yang sepatutnya ditolak.

Padahal masih ditular video-video ucapan janji yang melambung tinggi tetapi gagal ditepati. Misalnya, “Hari ini menang, esok harga minyak turun!”, “Hari ini menang, esok hapus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)!”, “Hari ini menang, esok hapus tol!” dan bermacam lagi.

Lebih meresahkan apabila ada hal-hal bersifat privacy sebagaimana sudah termaktub dalam struktur kenegaraan cuba dicerobohi, sehingga bilangan penjawat pun mahu dikurangi.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, rakyat tentu lebih bersedia membuat pilihan tepat. Memilih hanya calon-calon dari parti atau gabungan yang benar-benar berupaya menterjemah mandat menunai tanggungjawab. Pastikan siapa atau parti apa yang dipilih bersifat realistik, bukan retorik.

Belajar daripada pengalaman, pungutlah iktibar daripada kesilapan. Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang lebih stabil. PRU15 perlu menentukan kerajaan yang bakal dibentuk nanti memiliki kekuatan majoriti dua pertiga.

Agar tidak lagi dilingkari sebarang unsur lompat melompat parti atau ‘ugutan ancaman’ menjatuhkan kerajaan.

KITAB SUCI

Agenda utama negara adalah untuk mengembalikan suasana ekonomi lebih segar dan terjamin demi masa depan rakyat. Agenda ini diharap dapat turut mewarnai suasana baharu kehidupan rakyat terutama selepas mengalami pandemik Covid-19.

Kerajaan yang bakal terpilih perlu memiliki cukup kuasa tanpa terganggu untuk merancang dan melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan negara.

Sesiapa atau mana-mana parti yang mahu bertanding biar ada pegangan, berani bertanding, berani tanggung. Ertinya, kesediaan bertanding dalam pilihan raya perlu diiringi kesanggupan melunas segala tanggungjawab dan harapan yang rakyat sandarkan. Rakyat tidak mahu sebarang alasan dicipta jika gagal.

Jangan nanti ada pula pihak yang tergamak menyebut, “Manifesto bukan kitab suci yang perlu dipatuhi.” Kata-kata begini menambah lagi kekecewaan rakyat. Seolah-olah rakyat begitu mudah diremeh dan dipermainkan perasaan.

Seperkara lagi, sudut yang kurang digemari rakyat ialah isu percaturan kepimpinan parti dan pilihan calon. Pemilihan calon-calon untuk bertanding perlu mengambil kira aspirasi rakyat.

Benar, pemilihan calon adalah hak prerogatif ketua-ketua parti tetapi demi menemui cita rasa atau ‘belago angin’ dengan rakyat, hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh pucuk pimpinan parti. Sedia maklum, yang akan membuat pilihan ialah rakyat.

Apa pun, rakyat Sarawak, Melaka dan Johor telah menghantar suatu isyarat positif ke arah mengembalikan kejernihan dan kestabilan politik tanah air.

Melalui pilihan raya di negeri-negeri berkenaan, isyarat jelas yang dipamerkan, “kami sudah faham, kami tahu menentukan pilihan, dan apa yang kami cari adalah kestabilan.”

Tidak kiralah sama ada lambat atau sudah berada pada tempoh terdekat PRU15 yang bakal diadakan, rakyat sudah tahu parti mana untuk diberi mandat. Negara perlu diberi hamparan suasana yang stabil dan aman untuk dibangun dan dimajukan demi kepentingan semua.

Parti yang bakal diberi mandat menerajui pemerintahan negara perlu bersedia meneruskan pendekatan tadbir urus berpaksikan konsep konsensus, sederhana, inklusif dan adil saksama.

Tentukan proses pilihan raya menepati matlamat. Politik adalah punca pemilikan kuasa. Sementara kuasa bergantung pada pilihan rakyat.

Jadi, biarlah kedua-dua pihak, yakni orang politik dan rakyat memainkan peranan masing-masing yang menjurus kepada pencapaian impian sama, matlamat serupa. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×