Menguruskan pesakit yang tidak mampu bergerak atau terlantar sememangnya amat mencabar mental dan fizikal penjaga.
Justeru, amat penting untuk menyediakan peralatan seperti kerusi roda yang mempunyai fungsi tambahan yang membantu pesakit menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.
Memahami keperluan itu, pelajar bidang Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mengambil inisiatif membaik pulih dan mengubah suai kerusi roda dengan ciri lebih dinamik.
Ia direkabentuk untuk pesakit yang bergantung kepada bantuan oksigen di mana kerusi roda ini dilengkapi dengan tempat penyimpanan tong oksigen, tempat penyandar penuh dan tempat kaki boleh laras.
Lebih menarik, hasil inovasi pelajar berjaya mencipta kerusi roda commode (tandas) khusus untuk pesakit terlantar di mana pesakit tidak perlu di angkat untuk didudukkan apabila ingin membuang air.
Kerusi ini boleh dibuka untuk mengambil pesakit dari kedudukan duduk di atas katil tanpa perlu diangkat. Ia mempunyai rekabentuk boleh disorong terus ke mangkuk tandas dan dilengkapi sistem kunci berkembar bagi memastikan pesakit selamat ketika menggunakannya.
Pengarah PSA Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, ada lima buah kerusi roda dan dua kerusi roda commode yang ditambah baik daripada segi fungsinya bagi kegunaan pesakit yang memerlukan hasil projek pelajar.
“Kami melihat banyak ruang dan peluang membantu dan bekerjasama. Lebih-lebih lagi bidang tujahan PSA adalah dalam bidang kejuruteraan elektronik perubatan.
“Kita juga ada banyak kepakaran dalam bidang teknikal khususnya untuk membantu membaik pulih peralatan yang rosak, membina laluan bagi OKU dan sebagainya.
“Usaha ini kita masukkan di bawah keusahawanan sosial PSA yang selaras dengan ekosistem keusahawanan yang diamalkan di PSA,” katanya selepas menyerahkan kerusi roda tersebut kepada Tabung Wakaf Khas Kesihatan-Tabung Medic Infak (TWKK-TMI) baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi TWKK-TMI, Ustaz Mohd. Najib Khairuddin.
Dr. Mohd Zahari berkata, kesedaran terhadap kepentingan wakaf dalam kalangan umat Islam khususnya generasi muda perlu disemarakkan kerana ia mampu memberi impak yang besar khususnya dalam membantu masyarakat dalam pelbagai perkara.
Sementara itu, Ustaz Mohd. Najib berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama komuniti termasuk daripada institusi pengajian tinggi dalam menggerakkan program wakaf.
“Kami di TWKK-TMI menyediakan peralatan kepada pesakit. Jadi sekiranya isu baik pulih dan selenggaraan peralatan dapat dibantu oleh pelajar yang ada kepakaran dalam bidang ini, ia dapat membantu kami menjimatkan kos agar lebih ramai lagi pesakit yang memerlukan dapat dibantu,” katanya.
Ketua Kelas, Muhammad Nur Iman Muhammad Affendi, 20, berkata antara nilai tambah diberikan ke atas kerusi roda berkenaan adalah kerusi roda yang boleh di laras menggunakan prinsip hidraulik, kerusi roda yang dilengkapi dengan meja boleh lipat, tempat penyimpanan ubatan dan beberapa ciri lain.
“Tidak semua kerusi roda dan kerusi tandas boleh diubah suai kerana terdapat beberapa jenis kerusi roda yang ciri rekabentuknya tidak boleh menampung ciri ubahsuai baharu.
“Kami mengambil masa dua hari untuk menyiapkan segala kerja penambahbaikkan dan pengubahsuaian. Idea ini adalah dari pensyarah dan juga pelajar yang bersama-sama membantu dalam proses penambahbaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerja ubahsuai itu menggunakan sepenuhnya sumber terdapat di politeknik untuk menjimatkan kos.
Tambahnya kesemua kerja dijalankan pada bulan Ramadan yang menjadikan ia lebih mencabar.
“Cabaran lain ialah mencari bahan ganti yang sesuai dengan reka bentuk yang diilhamkan selain memikirkan untuk mengaplikasikan idea yang diberikan oleh pensyarah dan juga pelajar untuk dijadikan satu idea yang bernas serta muktamad,” katanya.
Pihak Politeknik turut menetapkan misi memperbanyakkan kolaborasi bersama pusat khidmat masyarakat seperti menyediakan tempat tinggal sementara untuk mangsa banjir.
“Pengarah politeknik juga sangat mengalu-alukan untuk melakukan khidmat bantuan kepada masyarakat supaya dapat bersama-sama hidup harmoni seterusnya dapat melahirkan graduan prihatin,” katanya.










