Pernah ragu-ragu menjawab soalan ketika menghadiri satu temuduga mengenai berapakah rukun solat?
Soalan itu sekali gus menjadi titik tolak penulis siri komik Bestnya, Atiqah Mohamad bersama rakan kongsi, Irfan Ramli, menampilkan buku pendidikan interaktif yang memfokus kepada didikan solat dan doa.
Rentetan itulah juga menjadi kelahiran Siri Bestnya bertujuan menyampaikan kefahaman pelbagai subjek kepada kanak-kanak dan remaja menggunakan pendekatan komik dan infografik.
Kata Irfan selaku pelukis komik, Bestnya Solat dan Bestnya Doa boleh digunakan sebagai alat bantuan mengajar dalam kelas bagi menarik minat dan pemahaman kanak-kanak terhadap pendidikan Islam.
“Setakat ini lebih 20 sekolah menggunakan komik inovasi ini sebagai bahan bantu mengajar untuk program kem solat dan sebagainya. Kami turut menerima maklum balas positif,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Sejak di perkenalkan pertengahan tahun ini, lebih 40,000 naskhah sudah dicetak. Siri itu turut dijadikan sebagai bahan pengenalan di mana ia mempromosikan subjek terutamanya bagi membantu proses pembelajaran dalam kelas.
Komik ubah stigma
Menyifatkan komik itu sebagai inovasi pendidikan, Irfan berkata, naskhah diperkenalkan itu memiliki keistimewaan berbanding jenama lain kerana selain menawarkan pendekatan interaktif, ia turut diposisikan dalam dua pasaran iaitu pasaran buku pendidikan dan pasaran komik.
“Antara sebab lain mengapa kami tubuhkan siri ini kerana kami mahu mengubah persepsi masyarakat tentang pengaruh komik kepada anak-anak. Kebanyakan orang dulu-dulu membaca komik sekadar menghabiskan masa dan berseronok. Jadi ibu bapa juga tidak menggalakkan anak-anak membaca komik kerana dianggap sia-sia.
“Kami ingin ubah persepsi berkenaan dengan menghasilkan komik yang bukan saja seronok tetapi memberikan pendidikan kepada pembaca,” jelasnya.
Perkembangan itu katanya, turut menjadi penanda aras bahawa sudah tiba masanya komik diposisikan sebagai satu bahan bacaan bermanfaat daripada hanya sekadar wadah ringan.
“Saya kira komik kanak-kanak memiliki masa depan cerah, cuma sekarang cabarannya ialah mengubah stigma negatif terhadap komik kerana komik sering dikaitkan dengan kandungan berunsur lucah, berbahasa kasar dan sebagainya.
“Inisiatif ini kami ambil untuk meletakkan komik sebaris dengan buku pendidikan lain tetapi dengan cara lebih santai dan menarik yang akan membuatkan kanak-kanak terhibur dan ingin membaca berulang kali,” ujarnya.










