MUKADIMAH
BELUM pernah rasanya bekas pegawai tentera berpangkat jeneral bersuara lantang membangkitkan isu melibatkan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini.
Namun, salah seorang wira tragedi Bukit Jenalik, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said yang merupakan bekas Panglima Medan tampil bersuara dan menyatakan pendiriannya.
Malah, selepas hampir 21 tahun bersara, beliau yang juga penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) juga buat pertama kalinya mengulas pandangan yang tidak pernah dilontarkan kepada mana-mana pihak sebelum ini
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar AMIR KHALID menemu bual beliau bagi mendapatkan perspektif berhubung isu membabitkan veteran ATM.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat isu kebajikan veteran. Mengapa ia isu yang dilihat seperti tiada kesudahan?
ZAINI: Kita sebenarnya masih kurang diberi pengiktirafan sejak zaman British. Hebahan mengenai tugas tentera terutama sewaktu insurgensi pun masih tidak secara besar-besaran dalam kalangan rakyat terutama generasi selepas itu.
Dalam kalangan rakyat itu pula ada pentadbir, orang politik dan bermacam lagi.Jadi ada dalam kalangan mereka masih kurang mengenali jasa-jasa veteran ini. Mungkin sebab itulah apabila ada permintaan daripada veteran tentera, ia hanya dipandang sepi.
Sebab apa saya berkata demikian? Analoginya mudah. Saya tidak mengenali awak dan tiba-tiba minta macam-macam. Jadi adakah saya nak beri? Sudah tentu tidak. Kita perlu ingat dengan keadaan peningkatan kos sara hidup pada masa sekarang, sudah tentu ia bertambah mendesak.
Kalau kita lihat daripada ketiga-tiga tuntutan pun, ia semua berkaitan bebanan kehidupan pada masa kini yang semakin menekan. Harga barang naik beberapa kali dalam tempoh agak singkat. Kadar pencen pula tidak seimbang dan ada jurang antara yang berpencen sebagai sarjan pada tahun awal 2000 dengan sarjan yang baru berpencen dua atau tiga tahun lepas.
Begitu juga dengan askar yang tiada pencen. Mereka berhenti ada banyak sebab. Pengalaman saya dalam pemerintahan dulu pun ada beri nasihat supaya fikir betul-betul. Jika tidak dirancang sebaiknya untuk berhenti awal akan menyebabkan kesukaran pada masa hadapan. Duit ganjaran akan lebur begitu sahaja.
Tapi, kita perlu lihat semula jasa mereka dalam tempoh 10 tahun perkhidmatan. Tak mungkin tiada satu jasa langsung walaupun tamatkan perkhidmatan awal. Bayangkan askar yang perlu berjaga siang dan malam. Tinggalkan anak dan isteri.
Begitu juga dengan tuntutan untuk memberi pengampunan kepada mereka yang dikenakan akibat kesalahan. Cukup sekadar hukuman untuk tempoh tertentu, lima tahun contohnya dan bukannya berterusan. Awak bayangkan dalam rekod perkhidmatan ada tertulis ‘berhenti kerana tidak sesuai dengan perkhidmatan’. Bagaimana mahu minta kerja? Yang di-Pertuan Agong pun boleh beri pengampunan. Semua orang buat silap. Orang politik pun buat silap, tapi tidak hilang segala-galanya.
Tidakkah ia akan melibatkan jumlah peruntukan kewangan yang tinggi kepada kerajaan?
Ada formula yang boleh digunakan untuk tunaikan tuntutan tersebut.Sebagai contoh kalau anggota yang berhenti 10 tahun, pencen boleh dikira daripada tempoh perkhidmatan. Paling penting pemberian pencen wajar dan cuma jumlah itu perlu dinilai dan setimpal berdasarkan keadaan semasa. Kalau betul-betul hendak beri dan menjaga kepentingan veteran, ketiga-tiga tuntutan perlu diperlu diluluskan.
WAJIBKAN 21 TAHUN
Menteri Pertahanan sebelum ini yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada mencadangan supaya skim perkhidmatan anggota ATM diwajibkan sehingga selama 21 tahun. Pandangan Datuk Seri?
Kalau tetapkan 21 tahun perkhidmatan untuk dapat pencen boleh tetapi orang yang terpaksa berhenti atas sebab tertentu bagaimana? Sebab kesihatan contohnya. Imbuhan juga perlu diberikan. Begitu juga atas sebab disiplin. Perlu juga diberi imbuhan. Begitu juga kalau seseorang itu masuk askar tiba-tiba dia tidak minat.Pada ketika itu umur muda lagi baru 22 atau 23 tahun. Jadi perlu benarkan sebab dia masih ada peluang untuk belajar di luar sana berbanding beri dia berhenti ketika umur 30 tahun.
Perkara-perkara sebegini akan melibatkan banyak proses termasuk penggubalan Akta Angkatan Tentera 1972 di Parlimen. Cuma janganlah sampai berpuluh tahun. Semuanya bergantung kepada pemerintah dan ketepikan soal politik.Paling penting jangan pandang askar sampah atau melihat demi kepentingan tertentu. Seperti untuk dapatkan undi contohnya.
VETERAN JARANG BERSUARA
Amat jarang golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meluahkan perasaan secara terbuka kepada kerajaan. Adakah terdapat unsur lain termasuk politik?
Saya percaya mereka pun kalau boleh tidak mahu buat perhimpunan, tunjuk perasaan kerana kita berpegang kepada sumpah taat setia kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong. Malah ia sesuatu yang tidak manis. Kalau di negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) atau Thailand ia adalah petunjuk yang tidak baik kepada pemerintah negara. Sekarang kita tengok veteran semakin berani bersuara dan tampil ke hadapan. Jadi maknanya apa? Kita mahu menteri yang ada sekarang buka mata. Isu yang diperjuangkan ini bukan isu baharu, sebaliknya telah bertahun veteran bawa.
Sekarang ini saya mahu bertanya, adakah kerana veteran bukan lagi pemberi undi di satu-satu kawasan menyebabkan suara mereka tidak diendahkan? Jangan mengambil mudah dengan perkara sebegini.Kita dididik untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti sejak dalam perkhidmatan lagi.
Tuntutan dibuat oleh golongan veteran telah lama. Adakah ia merupakan kegagalan kerajaan menguruskan mereka yang pernah berjuang demi negara?
Kalau dalam bahasa kasarnya gagal lah. Mengapa? Mungkin tidak ambil peduli sangat dan hilangnya perasaan sayang terhadap veteran. Kita kena ingat veteran ini berapa ramai sangat yang tinggal dan masih hidup. Adakah sebab askar ini berpegang prinsip taat setia sampai orang tidak ambil kisah?
Selain tiga tuntutan yang dikemukakan, adakah terdapat perkara lain yang perlu dinilai semula oleh kerajaan?
Jumlah elaun penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) juga sebenarnya perlu dinilai juga.Begitu juga dengan penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang kadang kala dilihat macam sampah saja. Tiada apa-apa walaupun ia berbentuk pengiktirafan. Kalau ahli sukan boleh dapat ganjaran hampir berjuta mengapa tidak veteran tentera?
Lagipun, kami penerima pingat hanya tinggal beberapa kerat sahaja. Itu pun ada yang sudah terlantar sakit. Jadi saya mohon naikkanlah elaun tersebut.
ATM PERLU LEBIH TERBUKA
Adakah perlu ATM lebih terbuka kepada orang awam demi penghayatan masyarakat terhadap pengorbanan mereka?
Sangat perlu. Saya sendiri dulu lebih 30 tahun tidak pernah ditemuramah.Hanya selepas berlakunya insiden Bukit Jenalik. Apabila saya bercerita kepada media, baru saya sedar banyak orang awam yang masih tidak tahu aspirasi tentera, tekanan dan pelbagai lagi. Perkukuhkan komunikasi dan eratkan kerjasama dengan media terutamanya.
RASUAH
Rasuah dalam perolehan aset tentera. Adakah ia semakin membarah pada zaman sekarang berbanding dahulu ?
Ia sesuatu yang mengecewakan dan pada saya siapa yang salah perlu di tangkap. Masa saya berkhidmat lagi perkara itu sudah ada. Saya sudah 21 tahun pencen dan saya difahamkan ada aset yang masih tidak dapat lagi walaupun menjadi satu keperluan.
Pernah Datuk Seri menerima ‘wahyu’ daripada orang politik dalam aspek perolehan aset tentera sewaktu berkhidmat?
Saya tidak pernah berada di Kementerian Pertahanan dan tidak tidak terlibat dalam proses perolehan. Saya lebih banyak di lapangan. Tapi nak kata saya tidak tahu langsung itu bohong. Saya memang ada dengar dari dulu berkenaan ‘wahyu’ yang bertentangan dengan keperluan anggota. Akhirnya dapat aset yang tidak berprestasi tinggi.
ASET TENTERA
Bagaimana Datuk Seri melihat aset tentera pada masa kini?
Tidak memuaskan. Sejak saya berkhidmat lagi. Pada saya setiap aset perlu dikaji dan diteliti dengan mengikut kepada Dasar Pertahanan Negara. Daripada situ kepentingan yang perlu diutamakan perlu disegerakan. Contohnya, dalam aspek penjagaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), faktor ekonomi dan faktor geografi serta ancaman. Semuanya akan melakar atau merumuskan strategi ketenteraan.
Adakah Industri pertahanan tempatan kita tidak berkembang?
Masih kurang memuaskan tapi tidaklah sampai dikatakan gagal. Sepatutnya, pada hari ini kita sudah sampai tahap mampu berdikari dan tidak perlu banyak bergantung kepada sumber pertahanan luar. Kita tidak ada rekod pelaburan yang besar dalam proses kajian dan pembangunan pertahanan jika dibandingkan dengan jiran negara.
TRAGEDI SAUK
Selepas lebih 20 tahun tragedi Sauk. Adakah Datuk Seri sedia berjumpa dengan 13 bekas ahli Al-Maunah yang dibebaskan sebelum ini sekiranya dipertemukan?
Sudah tentu sekali saya mahu berjumpa mereka (bekas ahli Al-Maunah). Mengapa tidak. Takkan saya mahu terus berperang dengan mereka. Lagipun peristiwa itu sudah lama dan mereka telah dihukum. Saya akan katakan pada mereka kita semua perlu bersyukur diberi harapan kedua, ada di dunia ini dan terus diberi peluang berbanding mereka yang berada di tempat lain.
KONFLIK KETENTERAAN
Berkenaan isu pertikaian di Laut China Selatan. Berdasarkan pemerhatian Datuk Seri adakah ia boleh menimbulkan konflik ketenteraan?
Konflik ketenteraan boleh berlaku di kawasan pertikaian. Konflik mungkin dengan mana-mana negara yang secara berterusan bersikap agresif. Ini kerana kawasan tersebut sangat sensitif. Sebagai contoh tiba-tiba tentera China mendarat di Terumbu Layang-Layang. Kita hendak buat apa?
Sebab itu, saya katakan konflik ketenteraan boleh berlaku dan sebarang persediaan rapi perlu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada cara diplomasi. Kita hanya selalu sebut tentera, tapi kekuasaan sebuah negara turut bergantung kepada diplomasi, ekonomi dan akhir sekali barulah tentera. – Mingguan Malaysia










