Media-media sosial tidak kecuali Instagram (IG) sering dilemparkan tuduhan ibu segala penyakit sosial. Menyangkal tuduhan itu, IG melancarkan kempen #RealTalk. Ia dibangunkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencipta kandungan untuk bercakap mengenai isu kesihatan mental dalam usaha mengurangkan stigma penyakit mental dalam kalangan masyarakat.
Ketua Dasar Awam Instagram, Rantau Asia Pasifik, Philip Chua berkata, pihaknya mahu menjadi tempat di mana orang ramai dapat mencari maklumat boleh dipercayai.
“Ia dirangka bagi menyatukan pakar, pencipta dan komuniti untuk mengadakan perbualan mengenai kesihatan mental secara terbuka. Ia mewujudkan ruang selamat bagi rakyat Malaysia meluah dan mengatasi cabaran serta mendapatkan sokongan mereka perlukan pada masa sukar seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan panel bertajuk ‘Menormalkan dan mengurangkan stigma berhubung kesihatan mental dalam dunia digital’.
Ia turut disertai Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Naluri, Azran Osman-Rani, Pencipta kandungan video Slurpee Crank atau Muhammad Hafiz Hamzah dan Ariz Ramli (Caprice). Perantara majlis ialah selebriti tempatan, Che Puan Sarimah Ibrahim. Perbincangan diadakan sebagai perasmian kempen #Real Talk.

Anita berkata, kebanyakan orang percaya bahawa keadaan kesihatan mental adalah satu perkara jarang berlaku dan ‘hanya berlaku kepada orang lain’. Justeru sebilangan besar keluarga tidak bersedia menghadapi hakikat bahawa orang yang mereka sayangi menghidap masalah mental.
“Ia boleh memberi cabaran emosi dan membuat kita mudah terkesan dengan pendapat serta penilaian orang lain. Oleh itu kami amat menantikan kerjasama ini dalam meningkatkan tahap kesedaran tentang kesihatan mental, sekaligus mengurangkan stigma dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Azran berkata, kebimbangan terhadap kesihatan mental meningkat akibat tekanan pandemik Covid-19.
Namun katanya, kehidupan di era teknologi membolehkan sokongan profesional kepada orang ramai disalurkan lebih senang diakses dan mudah.
“Kami menyasarkan untuk mengakhiri stigma dan mendorong orang ramai untuk menyatakan apa mereka rasakan. Lebih penting lagi ialah mengenai bagaimana untuk meminta bantuan,” katanya.
Kajian Ipsos mendedahkan pandemik Covid-19 memberi impak kepada kesihatan dengan 44 peratus terjejas dengan kesihatan mental. Lebih 750,000 orang di Malaysia adalah ahli kepada 20,000 kumpulan Facebook yang aktif khusus bagi orang ramai ingin mendapatkan sokongan dalam menjaga kesihatan mental.
Kempen #RealTalk turut menampilkan panduan dan kandungan bersiri daripada penyokong kesihatan mental serta penaung Diraja Miasa, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah.










