Maybank: Polis soal siasat 23 individu - Utusan Malaysia

Maybank: Polis soal siasat 23 individu

WINDA EARL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pasukan Siasatan jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) sudah menyoal siasat 23 individu berhubung kes kehilangan duit milik atlet e-sukan, Winda Earl berjumlah 20 bilion rupiah (RM5.7 juta) dalam akaun Maybank.

Ketua Biro Penerangan Masyarakat Jabatan Perhubungan Awam Polis, Awi Setiyono berkata, 10 daripadanya merupakan petugas Maybank cawangan Cipulir, manakala 13 lagi merupakan individu dari pihak luar.

Ditanya mengenai keraguan terhadap siasatan yang dilontarkan oleh Maybank sebelum ini, Awi enggan mengulas lanjut.

Katanya, beliau tidak mahu memberi sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

“Apa yang disampaikan adalah berdasarkan meklumat siasatan. saya tidak akan beri maklumat di luar bidang saya, saya menghormati pasukan penyiasat dan biar mereka lakukan tugas yang sewajarnya,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.

Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan penyelidik akan menjelaskan mengenai kes tersebut dalam masa terdekat.

Kata Awi, satu sidang akhbar akan diadakan selepas semua siasatan selesai dilakukan.

Terdahulu, pihak Maybank melantik peguam terkenal, Hotman Paris Hutapea bagi mengendalikan kes tersebut.

Menurut bank tersebut, pihaknya bersedia menggantikan duit Winda yang hilang, namun polis perlu mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Pada Mei lalu, keluarga Winda membuat laporan polis selepas duit simpanannya dilaporkan hilang dalam akaun Maybank.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×