PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan kerjasama mewujudkan khemah besar dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, ini kerana fokus parti tersebut adalah untuk mengukuhkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani PRU-15.
“Fokus kami kukuhkan PKR dan PH (Pakatan Harapan) mendepani PRU15. Doa saya .. Semoga Allah merahmati Tun Dr. Mahathir dan diberi kesihatan yang baik,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak timbul isu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Dr. Mahathir berpegang pada janjinya sebelum ini.
Ujarnya, ini kerana perjanjian sebelum PRU14 sudah diputuskan dengan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh dan itu sudah ditunaikan.
“Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Parti Amanah Negara (Amana) yang terlibat tahu bahawa Tun (Dr. Mahathir) setuju sebagai Perdana Menteri interim. Tun tak setuju tetap tarikh untuk berhenti, tetapi setuju dua tahun untuk elak dilihat sebagai lame duck Prime Ministe. Ternyata Tun mungkir janji.
“Tun kemudian letak jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa sepatahpun bincang dengan pimpinan PH. Tun hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yang silap. Jika Tun akui kesilapannya, Tun akan lebih dihormati.
“Janji PKR dan PH (agar) Tun Mahathir jadi Perdana Menteri ketujuh kita tunaikan. Tun sendiri tidak tunai janji untuk serahkan (jawatan Perdana Menteri) kepada Anwar. PKR tidak pernah sokong Tun sebagai Perdana Menteri kelapan. Jika Tun tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, pimpinan pembangkang dijangka mengambil langkah untuk bersemuka dengan bekas Perdana Menteri berhubung isu khemah besar.
“Tanpa (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin kami sependapat. Kerana dia bukan pembangkang dan antara kepala pengkhianat.
“Tetapi tanpa (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pandangan kami berbeza. Namun perbezaan ini boleh diurus melalui perbincangan secara bertemu, bukan melalui media.
“Namun kesatuan pembangkang dalam nak hadapi Barisan Nasional (BN) adalah perlu dan saya yakin Tun (Dr. Mahathir) bersetuju,” katanya ketika dihubungi, semalam.- UTUSAN











