“AQILAH, awak di mana? Balik pejabat, tengok semula artikel yang awak hantar.” Itu antara arahan yang diterima ketika dalam tempoh tiga bulan pertama bergelar kadet wartawan.
Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan terpaksa berpatah balik ke pejabat selepas mendengar suara ‘petir’ seorang pengarang berita yang menghubungi saya. Sebaik sahaja tiba di pejabat, saya terus membaca artikel yang ditulis berulang kali. Rasanya lebih lima kali tapi masih tidak nampak apa yang silap.
Lantas terus ke meja penolong pengarang berita yang sudah ’membersihkan’ artikel itu untuk bertanyakan kesalahan saya. Rupa-rupanya kesalahan saya adalah tertinggal koma (,) dan itu adalah ‘pantang larang’ kerana membabitkan gaya penulisan syarikat.
Saya juga pernah dijerkah sehingga seluruh Jabatan Pengarang mendengarnya disebabkan penulisan tidak kemas dan tidak difahami. Rasa malu, sedih dan putus asa pasti pernah dirasai oleh setiap wartawan. Pernah juga air mata menitis kerana tidak tahan dengan suasana pekerjaan sedemikian.
Semasa di sekolah, guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu kerap memuji penulisan saya. Dia beritahu, saya boleh menjadi seorang wartawan yang baik sama seperti ayah. Namun, jawaban yang saya berikan – mustahil. Kerana saya tidak menyukai karier ayah yang sangat jarang ada di rumah. Jarang-jarang dapat bercuti bersama. Kami adik beradik membesar di bawah jagaan arwah datuk dan nenek. Ketika sekolah rendah, kami tinggal bersama mereka. Merekalah yang menyiapkan makan, minum, pakaian dan teman menunggu bas ke sekolah.
Pun begitu, selepas 10 tahun berlalu, tidak pula saya mengangkat kaki sebaliknya bertambah aktif dan bangga membawa nama Utusan Malaysia. Ramai sahaja kenalan bertanya – sampai bila saya mahu berada dalam industri yang semakin tenat ditelan era neo journalism dan citizen journalism? Kata mereka, maklumat boleh dapat dengan mudah dan cepat melalui media sosial. Benar, mereka boleh membaca laporan berita di media sosial tetapi adakah ia berasaskan fakta sedangkan penulis tersebut tidak berada di lokasi kejadian?
Sebenarnya tidak mudah menjadi wartawan apabila kerap kali disalahkan apabila laporan yang ditulis mencetuskan kontroversi dan kritikan ramai. Pernah juga saya berhadapan situasi dikatakan memutar belit fakta sedangkan seorang wartawan amat berpegang kuat dengan prinsip etika kewartawanan. Rupanya, artikel yang ditulis itu tidak berpihak kepadanya. Itu sahaja.
Ramai yang beranggap dunia kewartawanan adalah bidang glamor, kerana itu ramai anak muda mahu jadi wartawan. Maklumlah, berpeluang jumpa ramai orang daripada Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, ahli politik, artis hinggalah orang biasa selain berpeluang ke luar negara. Namun, mereka tidak melihat kesukaran dan cabaran setiap kali mahu mendapatkan bahan berita.
CABARAN
Menunggu tiga hingga empat jam untuk mendapatkan berita adalah perkara biasa. Ada masa makan sehari, ada masa terpaksa tunggu berhari-hari, ada masa pula pulang dengan tangan kosong dan kemudian dimarahi pengarang.
Dimaki, diherdik, dilarang membuat liputan, berpanas, berhujan, semua saya sudah rasa. Belum lagi cuti ditarik serta dibekukan kerana perlu membuat liputan khas seperti kehilangan pesawat MH370 dan MH17, pilihan raya umum, Perhimpunan Agung UMNO dan banyak lagi. Ini semua membuatkan seseorang wartawan semakin kuat dan kental. Malah saya pernah sahaja ‘kehilangan’ rakan disebabkan penulisan berita yang tidak berpihak kepada parti politik disokongnya.
Ada masa sampai terlupa waktu makan, pulang rumah lewat malam dan keletihan. Masa bersama rakan dan keluarga juga sering diabaikan demi tuntutan tugas tetapi itulah pengorbanan seorang wartawan yang sentiasa mahu memberikan laporan terbaik kepada pembaca.
Pernah ketika diberi tanggungjawab menemu bual anak kepada seorang pramugari yang juga mangsa pesawat MH17 di malam raya, saya bersama rakan penjawat, Adlinahani Khalil terkebil-kebil selepas remaja itu keluar dari bilik secara tiba-tiba sedangkan sebelum itu agak keberatan dengan kehadiran kami. Kemudian dia menyoal kami, “Salahkah saya bersedih atas kehilangan ibu? Saya tiada siapa lagi.” Kami diam dan tidak memaksa dia dengan soalan-soalan lain. Kami faham situasi yang dihadapinya. Kami biarkan dia menangis sepuas-puasnya. Hampir setengah jam kemudian barulah dia bersuara dan terbuka untuk ditemu bual.
Walaupun terikat dengan komitmen dan profesionalisme, namun kedua-dua kami tidak dapat menahan air mata ketika sesi temu bual itu. Kehilangan sesuatu yang abadi amat perit untuk ditelan, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
TUNAIKAN JANJI
Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang berlangsung pada 29 Mei lalu di Melaka, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain termasuk kerajaan bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.
Perkara ini sudah lama didambakan dalam industri dan harap ia ditunaikan kali ini. Jangan pula nanti apabila sesebuah artikel diterbitkan, ada sahaja panggilan yang diterima daripada mana-mana jabatan kerajaan mahupun parti politik yang menzahirkan rasa tidak puas hati, ada pula sehingga sanggup menghentikan langganan akhbar.
Tugas kami menyampaikan maklumat yang sahih berasaskan fakta selain menjadi platform semak dan imbang. Jadi, mereka juga harus berlapang dada menerima kritikan atau pujian dalam penulisan berita bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat di mata dunia.
Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional, rakan-rakan. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











