MUKADIMAH
MENYAMBUT kedatangan kami di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dengan senyuman, tidak terlintas di fikiran bahawa negarawan ulung ini baru sahaja diuji kesihatan membimbangkan.
Mencecah usia 97 tahun pada 10 Julai ini, TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD menganggap kehidupan yang dikecapi sebagai satu keajaiban, malah kesihatannya semakin baik.
“Tangga di yayasan ini saya boleh naik, ada 28 langkah, tak ada masalah, cuma penat sikitlah. Orang sihat turun naik tangga pun penat. Saya ‘cuma’ 97 tahun.
“Saya sudah pulih. Saya tak kata 100 peratuslah. Tapi mungkin 90 peratus. Saya tak bolehlah nak lari, nak berjalan jauh-jauh, semua itu tak bolehlah. Tapi kalau buat kerja biasa, nak berjalan biasa itu boleh.
“Dari segi tubuh badan, saya sihat dan masih boleh fikir dan bercakap, berhujah, berbahas dan lain-lain dan saya masih ingat apa yang telah berlaku supaya bila bercakap, saya boleh rujuk kepada apa yang berlaku dahulu,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ASLINDA NASIR bersama jurufoto, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR serta juruvideo, MOHD. FIKRI PADIL, baru-baru ini.
UTUSAN: Tun jaga makan?
DR. MAHATHIR: Saya selalu pesan kepada orang, mak saya nasihat saya bila makanan itu terlalu sedap, berhenti makan. Saya pun tak faham kenapa dia suruh macam itu. Tetapi apabila saya pi belajar ilmu perubatan, saya dapati sebabnya ialah kalau kita makan lebih kerana sedap, perut kita jadi besar. Bila perut jadi besar, kita kena makan lebih nak rasa kenyang. Jadi, orang yang makan lebih daripada sepatutnya akan jadi gemuk. Kalau gemuk, jantung kita terpaksa kerja lebih kuatlah. Dan sebab itu orang gemuk dia jarang dapat umur panjang, saya jaga saya punya berat, tak naik.
Sekarang berapa berat Tun?
62 kilogram (kg). Memang kekal sejak muda lagi. Selama 30 atau 40 tahun berat saya lebih kurang 60 hingga 70 kg.
Masih ligat dalam politik, kenapa Tun?
Ya, saya masih lagi orang datang minta pendapat dan saya masih lagi menjadi Penasihat, Pengerusi kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Dahulu saya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dan tiap-tiap minggu kita adakan dua mesyuarat, satu mesyuarat jawatan kuasa politik dan satu lagi mesyuarat Majlis Eksekutif Pejuang. Saya mempengerusikan kedua-dua mesyuarat itu. Majlis itu kalau bermesyuarat kadang-kadang tiga jam.
Saya pun nak juga rehat. Tapi banyak orang datang jumpa. Minta pendapat, minta tolong. Jadi, setakat yang saya boleh, saya cubalah.
Ramai berpendapat Pejuang tidak boleh ke depan kalau Tun tak ada nanti, apatah lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku kekalahan besar Pejuang. Komen?
Kekalahan besar kerana masa bertanding di Johor, kita baru didaftar lima bulan. Sebelum didaftar, kita tak boleh susun parti kita pasal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tak bagi. Jadi, lepas ROS dah daftar baru kita boleh bergerak susun parti dan cuba nak sampaikan matlamat Pejuang kepada pemimpin-pemimpin dan ahli.
Kita tak ada masa dalam lima bulan nak terang secara terperinci matlamat perjuangan Pejuang. Sebab itu ramai orang walaupun mereka tahu ada Pejuang tapi untuk apa? Apa matlamat perjuangan? Sekarang saya dapati ramai orang datang jumpa. Boleh kata tiap-tiap hari ada kumpulan-kumpulan datang jumpa kerana kita tak boleh ada perjumpaan besar-besaran kerana Covid-19. Jadi, saya jumpa 20 atau 30 orang sekali, hampir tiap-tiap hari. Kadang-kadang dua kali sehari. Dan perjumpaan itu mengambil masa kadang-kadang sampai tiga jam, saya terangkan apa dia perjuangan Pejuang ini.
Bukan saja saya beri penerangan tetapi mereka boleh soal, saya jawab, saya buat keterangan. Selepas saya buat itu, nampak mereka lebih faham tentang perjuangan Pejuang.
Jadi, untuk hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pejuang boleh bergerak sendiri?
Itu bila nak dekat pilihan raya kita fikirlah. Kita fikirlah sama ada sendiri ataupun nak ada pakatan, tapi kita tak akan ada parti campuran. Kita cuma nak kerjasama dengan parti-parti yang sama haluan dengan kita.
Adakah termasuk Bersatu kalau kemungkinan menubuhkan satu khemah besar bersama parti pembangkang lain?
Pada masa itu kita akan kaji tentang pendirian mereka. Kita dapati banyak parti politik yang ada sekarang tak langsung beri perhatian kepada masalah negara. Mereka cuma beri perhatian dan ambil tindakan terhadap politik diri mereka sama ada mereka boleh pimpin parti, jadi calon ataupun jadi wakil rakyat, jadi menteri, itu tumpuan mereka.
Sebabnya ialah kerana duit. Wakil rakyat, dapat duit. Orang ini tak kerja. Dia tak ada kerja lain. Tak ada punca pendapatan lain. Dia harap dia jadi calon dan dia menang pilihan raya jadi wakil rakyat. Mungkin juga jadi timbalan menteri ataupun menteri ataupun perdana menteri. Itu yang perhatian mereka. Tentang masalah dalam negara, saya dapati tak banyak perbincangan antara mereka.
Buat masa ni Tun lihat parti mana mungkin boleh bekerjasama dengan Pejuang?
Ada dua tiga parti yang juga dalam kajian yang kita tak berani buat keputusan lagi. Kita nak tengok pendirian. Pasal Pejuang ini satu daripada perjuangannya ialah untuk lawan rasuah. Kalau orang itu, parti itu nampak terlibat dengan rasuah, kita tak bolehlah nak kerjasama. Ataupun kita dapati mereka sedar tentang masalah negara.
Bagaimana dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin boleh bekerjasama dengan beliau?
Itu pun kita akan kajilah kemudian. Setakat ini kita dapati walaupun dia mendakwa kononnya dapat sokongan banyak, tapi tiap kali dia buat dakwaan itu sebenarnya dia tak ada sokongan.
Ada ahli politik lain seperti Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih lagi berhubung dengan Tun?
Tak banyak. Mereka berhubung dengan orang-orang Pejuang mungkin, tapi bukan dengan saya. Cuma sekali saja Muhyiddin datang jumpa saya atas permintaan dia, dia jumpa saya, dia nak saya sokong dia jadi perdana menteri kali kedua.
Isu lompat parti. Tun sokong Akta Anti Lompat Parti?
Lompat ni dia lebih kompleks daripada biasa. Umpamanya kalau satu orang lompat dari satu parti ke parti yang lain, itu salahlah kerana dia dilantik oleh rakyat untuk pegang jawatan dalam parti itu. Itu janjinya. Bila dia lompat bermakna dia tidak menunaikan janjinya kepada rakyat yang memilihnya. Itu satu kesalahan, orang macam itu patut hilang dia punya jawatan. Tak jadi lagi wakil rakyat.
Dengan ketidakstabilan politik hari ini, perlu diadakan PRU15 sekarang?
Waktu sekarang tak sesuailah. Pasal soal lompat-melompat ini pun belum selesai dan kita dapati bahawa nak dipercepatkan ini ialah kerana UMNO percaya dia kuat waktu ini dan parti lawan tak kuat. Jadi, itu nak ambil guna kekuatan politik nak tentukan pilihan raya. Pilihan raya yang semacam itu bukanlah pilihan raya sebenar. Patutnya kita bagi masa semua pihak bersedia untuk bertanding. Pada masa itu rakyat boleh pilih.
Maksudnya sehingga tamat penggal?
Ya. Sebaiknya ya.
Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu baru-baru ini. Sekiranya Tun berada di tempat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adakah kedudukan Zuraida dikekalkan?
Kalau keluar (parti), orang itu keluarlah. Tapi dia kata belum keluar lagi, dia tak dapat surat lagi. Parti Bangsa Malaysia bukan sebahagian daripada perikatan. Parti baharu kena minta kebenaran daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertainya. Tapi itu belum dibuat, belum diterima. Macam mana Zuraida nak duduk dalam Kabinet? Jadi, sewajarnya kedudukan dia perlu diganti dengan sesiapa sajalah sama ada daripada UMNO ataupun Bersatu ataupun Pas.
Setakat ini Ismail Sabri minta supaya Zuraida dikekalkan. Komen?
Itu dia punya hak nak minta tapi tak ikut peraturan. Sepatutnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semak, tengok dia punya undang-undang, dia punya perlembagaan sama ada boleh ataupun tidak. Pendapat saya ialah dia tak boleh.
P
emilihan PKR baru-baru ini, kita lihat yang menang rata-ratanya berusia 40 tahun, maksudnya golongan muda. Jadi, adakah ini signal kepada yang berusia untuk berundur dari politik?
Yang masalahnya orang muda bila dia jadi tua, dia tak mahu undur. Saya masuk politik umur 25 tahun, mudalah. Tapi sekarang saya 97 tahun, orang masih suruh bekerja.
Orang muda ni bila kita angkat jadi ahli Dewan Negara, sepatutnya bila cukup tempoh, keluarlah. Ni tak mahu, nak duduk situ juga. Kalau jadi wakil rakyat kadang-kadang sampai lima kali pilihan raya, duk jadi wakil rakyat situ. Saya kata bagilah orang lain sama. Sebab itu saya berhenti.
Saya bila berhenti, 22 tahun, 21 tahun sebenarnya saya nak berhenti nak bagi chance kepada orang muda. Tapi banyak yang lain tak mahu berhenti. Kalau berhenti, marah. Kalau berhenti, tanya pula, I boleh jadi duta ke tak? Pasal nampak duit. Jadi, saya berhenti. Saya tak nak balik, tapi orang datang suruh kita lagi.
Maksudnya Tun masih aktif sebab orang suruh bekerja lagi?
Saya dah berhenti dah. Tahun 2003 saya berhenti dah. Saya ingat dia orang jalanlah, tapi apa yang dia orang (pemimpin) lakukan itu tak baik.
Siapa pemimpin yang boleh dibawa ke depan?
Saya fikir ada orang yang muda-muda pun berbakat tapi tak diberi peluang. Sama ada kita suka, tak suka, kita kena uji mereka. Saya dulu pun bukan orang kenal sangat, tapi dia bagi peluang saya dapat, boleh tahu apa yang saya boleh buat. Tapi kalau tak bagi peluang, mana kita nak tahu dia boleh buatkah, kaki rasuahkah, kita tak tahu.
Jika diberi peluang sekali lagi untuk jadi Perdana Menteri, Tun terima?
Saya dah tua. Walaupun ada orang yang kata Tun patutlah, boleh lagi, boleh berjalan, boleh bercakap, apa semua. Saya cakap saya boleh bagi nasihat sahajalah. Tapi tak tahulah. Orang saya ni marah sangat kalau saya kata tak hendak bertanding.
PRU14 Tun boleh pecahkan dominasi UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan kemunculan Tun dalam Pakatan Harapan (PH). Sekali lagi kalau nak pecahkan dominasi BN, maksudnya kena ada khemah besar?
Tapi PRU14, bukan saja saya, orang semua benci kepada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak. Orang nak buang dia. Jadi walaupun saya ada sama, mungkin saya punya contribution ada jugalah. Tapi kebencian orang kepada Najib menyebabkan mereka undi nak bagi jatuh Najib. Bukan undi untuk saya.
PRU15 macam mana?
PRU15 ini Najib tak lagi dipandang hina oleh orang. Ada penyokong dia sampai cium tangan. Ada dia cerita konon dia tak salah walaupun mahkamah kata dia salah. Ada orang yang masih kata dia tak salah.
Maksudnya Tun percaya perlu juga ada khemah besar?
Ya, kalau boleh ada khemah besar, pasal negara kita ini menghadapi banyak masalah terutama orang Melayu, orang Melayu banyak masalah. Orang Melayu lebih miskin sekarang dari dulu. Habis tanah orang Melayu semua dah jual. Saya naik kapal terbang dua hari sudah, saya tengok estet besar-besarnya bukan Melayu punya. Sebab tak ada duit, dia juallah. Ini masalah dia. Kalau lama-lama kita jual, macam negara kita milik orang lainlah.
Ada dibuat perbincangan ke arah khemah besar dengan mana-mana parti politik?
Tak. Dalam Pejuang kita sedar tentang masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Dan kita punya tumpuan ialah untuk memperbaiki keadaan. Pasal kita parti Melayu kerana kita sedar orang Melayu masih lemah dan rata-rata mereka miskin dan tak pandai urus wang. Wang bagi mereka bukan capital untuk dilabur. Wang bagi mereka ialah tukaran, benda yang kita boleh tukar dengan apa yang kita nak beli, apa khidmat yang kita hendak. Jadi bila kita sikap macam itu, kita tak tak boleh jadi kaya. Kita akan terus miskin. Orang kampung akan miskin.
Kita tahu macam mana nak buat, tapi mereka kena ikut. Kalau mereka tak ikut, kita pun tak boleh nak buat apa dah. Kita ada idea, sebenarnya saya dah buat perancangan ini. Semasa saya jadi Perdana Menteri ketujuh. Saya dah buat perancangan nak tingkatkan pendapatan orang-orang kampung supaya mereka juga tak ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum lain dalam bandar.
Kita dah buat perancangan itu. Dan perancangan itu pun diambil alih oleh kerajaan sekarang. Tetapi kerajaan sekarang mengambil alih dasar dan pelan tapi tak tahu macam mana nak buat. Kalau kita tak tahu macam mana nak buat, dia tak jadi. – UTUSAN











