KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memberikan bantuan kewangan langsung kepada golongan B40 dan menghentikan subsidi kepada penternak ayam dalam usaha membantu rakyat terkesan paling teruk dengan kenaikan harga.
Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM720 juta kepada penternak ayam bagi memastikan harga ternakan itu kekal rendah dan mampu dibeli sebahagian besar rakyat. Bagaimanapun subsidi itu gagal mengekang kenaikan harga barang makanan yang paling popular di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai 1 Julai kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi kepada penternak ayam, sebaliknya menyalurkan wang berkenaan kepada golongan B40.
“Apabila kerajaan tidak apung harga ayam, mungkin ketika ini naik RM12 sekilogram. Bagi memastikan tidak naik kita beri subsidi agar harga terus kekal RM8.90.
“Bagaimanapun ramai penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan. Jadi bermula 1 Julai wang yang beri kepada penternak akan diberikan terus kepada rakyat memerlukan.
“Tujuan ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan barangan dan tidak terlalu dirasai melalui sumbangan tunai ini,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Sambutan Barisan Nasional (BN) Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengumumkan secara terperinci keputusan terbaru itu.
Ismail Sabri berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah drastik dengan membatalkan kelulusan kuota import (AP) beberapa makanan dalam usaha bagi memastikan bekalan dan harga kekal stabil dan menangani kegiatan manipulasi harga oleh orang tengah.
“Kerajaan akan memperkenalkan kembali Jihad Memerangi Orang Tengah yang telah saya laksanakan sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2014,” katanya sambil menambah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jihad ini.
Beliau berkata, tabung agromakanan negara sebanyak RM500 juta dalam bentuk pinjaman mudah selain mengenal pasti pertubuhan peladang dan koperasi yang harus dibantu dari segi kewangan.
Kerajaan juga tegas Ismail Sabri, akan mewujudkan stok penimbal bagi ayam, daging dan ikan.
“Kerajaan juga menyekat eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor ayam sebulan kerana yang penting adalah rakyat kita,” katanya.
Sejak bulan lalu, kerajaan menghapuskan permit import pelbagai makanan termasuk gandum, menggalakkan aktiviti pertanian tempatan, mengambil tindakan di bawah undang-undang bekalan, melarang eksport ayam dan memberi subsidi langsung kepada penternak dalam menangani krisis harga makanan dan bekalan.
Pengguna sebelum ini merungut mengenai kenaikan harga ayam yang naik mendadak sejak sebelum Ramadan.
Beberapa pihak mendakwa kenaikan itu dilakukan kartel yang mahu mengaut keuntungan.
Bagaimanapun, penternak menafikan dakwaan itu, sebaliknya memberi alasan kenaikan harga dedak dan makanan ayam sebagai punca kenaikan itu. UTUSAN










