Segerakan RUU Lompat Parti sebelum PRU15

Segerakan RUU Lompat Parti sebelum PRU15

FATHUL Bari Mat Jahya beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Dewan 2020, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menghentikan budaya yang memalukan itu berlarutan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, budaya wakil rakyat lompat parti ibarat mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, isu lompat parti yang semakin menjadi-menjadi itu sepatutnya diselesaikan lebih awal dengan menyegerakan pembentangan RUU tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sewajarnya kerajaan segerakan RUU Lompat Parti ini. Secara umumnya pengundi memilih berdasarkan parti selepas melihat dasar dan manisfesto yang dibawa parti politik masing-masing bukan kerana individu terbabit.

“Hendak tinggal parti itu terpulang, namun tinggalkan parti dalam keadaan memegang jawatan dalam parti untuk mendapatkan jawatan lain, ia sangat memalukan.

“Kalau lompat parti ke parti lain sebelum pilihan raya dan menang, itu mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi apabila menang atas tiket parti lain, namun parti tersebut tidak dapat membentuk kerajaan dan menyertai parti lain yang membentuk kerajaan seterusnya diberikan jawatan, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Dewan 2020 di sini, semalam.

Sejak 2018 sehingga kini, seramai 39 ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti.

Terbaharu, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini sekali lagi meninggalkan parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, Undang-undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti bakal dilaksanakan tahun depan jika RUU itu dibentangkan di Parlimen Julai ini.

Bagaimanapun, RUU tersebut boleh berkuat kuasa September ini sekiranya dibentangkan pada Sidang Khas Parlimen yang turut dicadangkan oleh pelbagai pihak agar diadakan bulan depan.

Wan Junaidi berkata, berhubung sidang khas Parlimen pada Jun itu, terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menentukan tarikhnya dengan melihat pelbagai aspek memandangkan 14 hari notis perlu diberikan.

Dalam perkembangan lain, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar mengucapkan tahniah kepada Rafizi Ramli yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

Katanya, diharapkan dengan kemunculan semula itu akan ada sesuatu yang lebih kukuh dibawa oleh Rafizi dalam mewarnai politik negara dan bukan lagi sekadar melontarkan persepsi serta budaya hasut menghasut. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×