Saya mahu orang lupakan kisah itu – Lia Aziz - Utusan Malaysia

Saya mahu orang lupakan kisah itu – Lia Aziz

Penyanyi lagu Kucu Kuca ini menyifatkan nama Lia belum dikenali ramai lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaikan rezeki terpijak, nama pendatang baharu ini semakin mewangi selepas dirinya diberi kepercayaan untuk membawa runut bunyi (OST) bagi drama popular 7 Hari Mencintaiku 3.

Berpeluang pula berganding dengan penyanyi terkenal tanah air, Khai Bahar juga adalah salah satu langkah bagi bakat baharu, Lia Aziz lebih dikenali dalam industri muzik tempatan.

Malah, secara tidak langsung dapat menepis mulut-mulut nakal netizen yang menyifatkan peserta program realiti Big Stage 2022 ini tidak boleh menyanyi selepas tersingkir awal daripada rancangan tersebut.

“Bila dapat tahu saya nyanyikan lagu untuk runut bunyi drama popular, saya sangat teruja dan ini adalah peluang yang besar untuk diri saya juga.

“Ia kerana masa itu pun saya baru tersingkir daripada program Big Stage. Sebenarnya banyak ‘kata-kata’ yang diterima sewaktu penyingkiran itu.

“Tetapi Alhamdulillah, inilah masanya yang saya mahu tunjuk semula siapa Lia sebenarnya yang orang di luar sana masih tidak nampak lagi,” katanya.

Dedah Lia, dia akui dirinya mengalami sedikit rasa kesedihan apabila ada segelintir yan menggelarkan dirinya seorang anak seni yang tidak boleh menyanyi, selepas peristiwa penyingkiran tersebut.

“Masa tersingkir itu, nak kata sedih tidaklah berasa sedih sampai duduk di bucu katil. Saya sedih kerana sejak dulu lagi hendak masuk program ini.

“Jadi bila terkeluar dan dapat pula orang kata yang saya tidak boleh menyanyi dan sebagainya, masa itulah saya berasa sedih sedikit,” dedahnya.

Tanam hasrat mahu keluar dari stereotaip kurang enak itu, penyanyi muda ini mahu membuktikan dirinya masih layak dan relevan sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun, inilah masanya saya nak tunjuk dan buat yang lebih baik untuk melakukan persembahan secara langsung dengan lebih bagus lagi.

“Mungkin peluang berduet dengan Khai Bahar dapat membuka ramai lagi mata kerana sedia maklum pengikut penyanyi itu ramai.

“Jadi dari situ mungkin orang ramai dapat mengenali saya bukan hanya sahaja seorang peserta tersingkir Big Stage, saya mahu orang lupakan kisah itu,” ujarnya panjang.

Saya dikenali? Tidaklah
Sedar dirinya masih bertatih dalam industri muzik, walau lagunya tular malah dihafal oleh rata-rata remaja dan kanak-kanak kerana bait-bait liriknya yang agak catchy dan mudah tersemat di minda.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kucu Kuca ini menyifatkan namanya belum dikenali ramai lagi.

“Nak rasa saya sudah stabil dan dikenali itu tidaklah, memang tidak stabil lagi kerana saya pendatang baharu dalam industri ini.

“Mungkin orang kenal lagu itu sahaja, tetapi Lia Aziz, siapa. Jadi pendapat saya, nama Lia ini masih belum dikenali ramai lagi,” kongsinya.

Pernah berada di tahap dirinya mengalah untuk meneruskan bidang ini. Namun kecintaan dan jiwanya terhadap seni, figura berumur 19 tahun ini masih cekalkan diri berada di sini untuk terus berkarya.

“Sememangnya, saya tidak meletakkan harapan tinggi lagu Kucu Kuca itu dapat pergi jauh.

“Apabila saya rasa mengalah untuk berhenti menyanyi, saya akan berfikir jika kenapa lagu ini boleh kenapa lagu lain tidak boleh. Rezeki Allah itu kita tidak tahu kan,” tuturnya.

Mula kenali hati budi?
Sebelum ini, ada desas desus dan gosip ringan yang menyatakan bintang ini sedang dalam proses berkenalan dengan seseorang.

Menurut tuan badan, walaupun masih belum mengakui namun dia memberitahu ada sahaja berkongsi di media sosial tetapi agak jarang, namun tidaklah sampai berahsia.

“Saya ada sahaja berkongsi tetapi orang tidak nampak sangat, untuk saya sendiri memang kurang kongsi tetapi tidaklah sampai berahsia.

“Insya-Allah, peminat saya doakan yang terbaik ya. Seorang selebriti, itu hak masing-masing untuk berkongsi apa sahaja.

“Bagi saya, saya sendiri tidak gemar merahsiakan siapa pasangan waima mengenai keluarga kita. Kadang kala, orang pun perlu tahu yang kita mempunyai keluarga dan pasangan,” katanya.

Tambah Lia, tidak dinafikan ada yang kurang senang melihat kebahagian kita, maka ada batasnya dan berpada-padalah dalam berkongsi sebuah hantaran di media sosial.

“Apabila kita merahsiakan perkara itu, mungkin tanpa disedari telah kecilkan hati pihak sana.

“Bagaimanapun, apabila terlalu kerap berkongsi tidak bagus juga nanti orang tidak suka pula.

“Hantar apa yang patut, berpada-pada dan sekadar orang tahu. Bukan setiap masa berkongsi,” ujarnya.

Walaupun seperti sudah berkenalan dengan si jejaka misteri itu, namun ada juga kriteria yang diletakkan penyanyi ini jika mencari teman hidup.

“Saya suka lelaki yang lebih tua kerana saya tidak boleh dengan lelaki yang muda atau sebaya.

“Selain itu, apa yang dia lakukan, apa sahaja kariernya saya tidak kisah. Janji dia seorang yang okey. Saya seorang yang sempoi sahaja sebenarnya. Tidak kisah dia siapa,” dedahnya.

Mungkin, kriteria yang diberikan ini sudah ada pada jejaka istimewa itu kan. Siapa tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×