Sokong pengantarabangsaan BM

Sokong pengantarabangsaan BM

SEBAGAI bahasa kebangsaan Singapura, bahasa Melayu bukan sahaja digunakan ketika majlis rasmi negara malah menjadi pilihan pemimpin pembangkang, Chee Soon Juan bagi meraih sokongan pengundi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI saat Singapura mencapai kemerdekaan pada 9 Ogos 1965, kedudukan bahasa Melayu telah terjamin dengan pengiktirafannya sebagai bahasa kebangsaan bagi negara sekular, yang berbilang bangsa ini.

Ia termaktub dalam Perlembagaan negara republik Singapura, bukan tercatat di bawah undang-undang biasa. Selain dari itu, lagu kebangsaan negara Singapura juga dalam bahasa Melayu. Arahan-arahan dalam kumpulan seragam seperti polis dan tentera dilaungkan dalam bahasa Melayu.

Ketiga-tiga Perdana Menteri Singapura fasih dalam bahasa Melayu, dari mendiang Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong sekarang ini.

Mereka selesa menggunakan bahasa Melayu termasuk apabila menyampaikan taklimat di majlis-majlis rasmi dan juga apabila memberikan amanat kepada seluruh negara semasa menyambut Hari Kemerdekaan, rapat umum tahunan serta semasa berkempen pilihan raya.

Ramai juga para menteri yang bukan berbangsa Melayu tetapi mahir bertutur dan berucap dalam bahasa Melayu.

Beberapa dasar pemerintah serta inisiatif-inisiatifnya diperkenalkan dengan tujuan untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura.

Sokongan padu yang diberikan oleh pemerintah Singapura dalam hal ini dialu-alukan masyarakat Melayu. Para pemimpin Melayu dari parti pemerintah diberikan blank cheque atau kuasa penuh untuk melakar hala tuju demi mengukuhkan bahasa Melayu.

Dalam pada itu, guru bak lilin – menerangi keliling walau membakar diri. Dalam apa-apa bidang pengajian, perlu adanya guru-guru yang berilmu dan bertauliah. Sebelum tahun 1990-an, ramai guru bahasa Melayu tidak mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda. Pada waktu itu saya ke Kementerian Pendidikan Singapura sebagai setiausaha Parlimen.

Sebagai bekas guru yang mengejar ijazah dari Universiti London, United Kingdom, setelah bekerja beberapa tahun, saya memahami sangat kepentingan kertas segulung yang digenggam untuk kejayaan atau pencapaian yang lebih tinggi.

Dari pengalaman yang penuh cabaran itu, maka tercetus idea untuk menghantar sebilangan guru bahasa Melayu ke Universiti Malaya (UM) di bawah satu skim khas dari awal 1990-an. Saya telah membincangkan hal ini dengan Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Sulaiman Daud.

Ramai guru bahasa Melayu di Singapura mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda (BA) di UM. Skim ini memastikan mutu para guru bahasa Melayu supaya dapat menyampaikan suatu sistem pembelajaran yang lebih berkesan.

Sekali gus memastikan pengukuhan bahasa Melayu dalam kalangan para pengguna dari mereka di bangku sekolah lagi.

Kami memperkenalkan Bulan Bahasa pada 1988 dengan tujuan untuk menggalakkan masyarakat Melayu menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian mereka. Bulan Bahasa merupakan satu inisiatif Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Generasi demi generasi, pusaka penting ini, bahasa Melayu, telah dipusakai oleh kita, bangsa Melayu, pewaris mutlaknya dengan segala kesedaran, keinsafan, pengorbanan darah dan air mata pejuangnya dari segenap lapisan masyarakat. Mereka telah melunaskannya sehingga wujud semacam kerapian terutama Pendeta Za’aba dan mereka yang sezamannya.

ANGLOPHILE

Peranan kongres demi kongres sehingga terwujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah menyemarakkan perkembangannya di Malaysia ini tanpa meninggalkan peranan Singapura dengan permulaan keputusan pemerintah mewujudkan Jawatankuasa Ejaan Bahasa Melayu yang kemudian dilebarluaskan ruang lingkup usahanya sehingga terwujud MBMS.

Kesedaran kemerdekaan negara tidak terlepas dengan peranan bahasa terutama bahasa ibundanya. Lalu termaktublah bahasa ini sebagai bahasa rasmi negara, khususnya di Malaysia dan Singapura apatah lagi Indonesia.

Semangat kerjasama kerantauan telah berakhir dengan kerjasama yang kental dengan terbentuknya MABIMS, iaitu Majlis Bahasa Melayu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, yang akhirnya dilengkapi oleh kehadiran Singapura. Klimaksnya adalah bahasa baku termasuk sebutannya sebutan baku seperti yang sedang kita lakukan ini.

Arah tujunya kita harap penerimaan istilah bahasa Melayu itu sendiri, bukan bahasa Malaysia, bukan bahasa Indonesia atau istilah seiras lainnya.

Insya-Allah jagat akan menerimanya dan menganggapnya selaku keputusan intelektual yang positif, bahasa Melayu yang keramat ini yang kemudian barulah wujud istilah bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia.

Kini saya kira ia perlu dinobatkan kembali istilah bahasa Melayu, rumpun Melayu dan Melayu Nusantara; lalu Jambi, Demak, Riau, Lingga, tersambut dan terhayat kekentalan dan kewujudannya.

Adalah penting kita tentukan pula sejauh mana ekonomi memainkan peranannya dalam era kemajuan mata benda ini. Kita telah sedia ada lebih suku bilion penuturnya.

Tugas selanjutnya bagaimana unsur perniagaan disebatikan dengan bahasa kita ini agar semakin berkembang kepada manusia dunia seluruhnya.

Dalam hal ini, pertemuan di peringkat antarabangsa perlu dilakukan dengan agak kerap dan bersistematik sekali oleh pendukung individu yang masyhur dan negara unggul yang ulung.

Selaras dengan semangat yang tercetus dari Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di DBP pada 22-24 Mei lalu dan sikap tegas serta memandang ke hadapan yang manusiawi yang telah dilantunkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, waktu merasmikan pertemuan keramat ini, kita dengan penuh keinsafan dan ketegasan berikrar untuk melaksanakan langkah-langkah positifnya dengan kehalusan budi pekerti dan budi bicara.

Ini agar langkah kita itu mendapat perhatian yang lebih teliti dari negara dan penutur bahasa ini di negara-negara ASEAN khususnya dan masyarakat lain di persada dunia ini.

Momen ini perlu ditintaemaskan agar ia menusuk dan menyelinap ke tiap rongga penggunanya, khususnya masyarakat mudanya selaku pewaris masa muka bahasa kita yang keramat ini.

Semoga dengan ini, ia dapat menyelamatkan kita dari sebarang kecelaruan yang boleh menghambat momentum ini, termasuk kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah golongan Anglophile (pemuja Inggeris) di Malaysia yang mengejek usaha murni ini sedangkan ramai daripada kami di Singapura dan negara-negara ASEAN lain memberi sokongan penuh kepadanya. – UTUSAN

DATUK Seri Sidek Saniff ialah bekas Menteri Negara Kanan (Pendidikan) Singapura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×