PETALING JAYA: Penternak ayam lebih tertekan memikirkan harga siling ayam yang tidak naik seiring dengan peningkatan harga barang makanan lain berbanding memikirkan arahan kerajaan menghentikan sementara pengeksportan ayam.
Kata mereka, eksport ayam yang dihentikan oleh kerajaan mulai esok tidak memberi kesan yang besar kepada penternak kerana bekalan ayam di pasaran tempatan masih mendapat permintaan yang tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Persatuan Penternak Ayam Pahang memaklumkan, untuk mendapatkan jumlah pengeluaran ayam seperti dahulu, mereka memerlukan masa yang panjang bagi menstabilkan keadaan di ladang.
“Pengeluaran ayam negara sebelum pandemik adalah sebanyak 4 juta ekor sehari. Setelah pelbagai liku yang kami hadapi, kami masih perlukan masa lagi untuk mencapai tahap pengeluaran seperti dahulu.
“Selama dua tahun ketika pandemik, kami penternak bertahan tanpa menerima sebarang bantuan kononnya dianggap sebagai industri matang sehingga ada yang menutup perniagaan. Ia telah membunuh 40 peratus pengusaha ladang ternakan kecil,” katanya.
MUKA BAHARU
Beliau berkata, kemasukan ‘muka baharu’ dan penternak yang tidak berani untuk menambah jumlah ayam di ladang membantutkan proses pengeluaran ayam dengan banyak dan tidak capai standard seperti sebelumnya.
“Pengumuman membuka semula industri sepatut diberitahu dua bulan lebih awal, sekurang- kurangnya kami mampu bersedia untuk membekalkan jumlah ayam yang mencukupi, ditambah pula sambutan Aidilfitri, memang berlaku kekurangan ayam.
“Mereka yang baru perlu banyak lagi belajar tentang ternakan ayam ini..itu yang wujud masalah ayam tak cukup saiz, penternak kontrak tak berani masuk ayam dan mengambil inisiatif sewakan kepada ‘muka baru’,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan mengambil tindakan drastik dengan dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan mulai 1 Jun bagi mengatasi isu bekalan ayam dan kenaikan harga barang.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan, tidak logik untuk mengekalkan harga siling RM8.90 dibandingkan peningkatan harga makanan lain sejak kebelakangan ini.
“Tahun 2000, ayam sekilogram RM5.60, harga ikan kembung RM6 sekilo. Sekarang ikan kembung RM20 sekilogram, memang tak logik perbezaan harga ini, Malaysia antara harga ayam paling murah.
“Harga ayam wajar dinaikkan di samping kerajaan menentukan harga dedak dan beri subsidi kepada penternak kerana tiada siapa mahu membela ayam, majoriti orang lama yang mempunyai hutang bank kekal dalam industri ini,” katanya. – UTUSAN










