Aminuddin lebih tenang terajui Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Aminuddin lebih tenang terajui Negeri Sembilan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan tidak rasmi bagi Pemilihan PKR 2022 yang dikelu­arkan kelmarin, bagi peringkat Negeri Sembilan memberikan sedikit gambaran berhubung si­tuasi parti tersebut di negeri ini.

Berdasarkan keputusan itu, jelas menunjukkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kini berada dalam kedudukan lebih selamat dan terjamin untuk kekal sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu.

Apa tidaknya, tujuh daripa­da keseluruhan lapan buah Ca­bang PKR di Negeri Sembilan menyaksikan jawatan bagi Ketua Cabang telah dimenangi oleh individu yang jelas berada dalam ‘kem’ Aminuddin ataupun setidak-tidaknya dilihat menyokong Ah­li Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hanya Cabang Rasah menyaksikan penyandangnya ia­itu Datuk Ismail Ahmad yang merupakan ADUN Labu berjaya mengekalkan jawatannya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri antara nama yang dikaitkan berada dalam kumpulan yang mendesak supaya Aminuddin digantikan sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan dalam situasi yang mengejutkan suasana politik di negeri ini pada September tahun lalu itu.

Desakan

Turut dilaporkan berada da­lam kumpulan yang membuat desakan tersebut ialah, ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching.

Ravi yang merupakan Timbalan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan ditewaskan sendiri oleh Aminuddin bagi jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson dalam saingan empat penjuru itu.

Mohamad Rafie pula gagal dalam usahanya menduduki jawatan Ketua Cabang PKR Se­remban, beliau kalah kepada Muhammad Nazri Kassim yang merupakan Setiausaha MPN PKR negeri dan diketahui sebagai orang kepercayaan kepada Aminuddin.

Situasi yang berkedudukan 7 berbalas 1 itu jelas menunjukkan Aminuddin berada dalam keadaan lebih tenang tanpa ada lagi tekanan dan desakan dalam parti yang mempersoalkan ke­wibawaannya dalam memimpin parti di peringkat negeri.

Aminuddin dijangka segera menyusun semula kepemimpinan PKR di peringkat negeri bagi menguatkan kembali parti dalam usaha Pakatan Harapan (PH) kekal menjadi kerajaan men­tadbir Negeri Sembilan pa­da Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sekiranya PH berjaya dalam usaha tersebut, Aminuddin sudah pasti menjadi individu pa­ling layak untuk diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar Nege­ri Sembilan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×