Penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Disease (NCD) seperti penyakit kardiovaskular, diabetes atau kanser menyebabkan hampir 70 peratus kematian di seluruh dunia.
Di peringkat global, faktor risiko metabolik utama NCD yang dilaporkan pada 2018 ialah hipertensi atau tekanan darah tinggi yang juga merupakan antara penyakit utama di negara ini.
Biarpun terdapat rawatan yang dicadangkan dengan penggunaan ubatan sintetik, namun tidak dinafikan kaedah berkenaan mempunyai kesan sampingan yang mampu memberi kesan negatif kepada kesihatan pesakit.
Antara kesan ubat sintetik kepada pesakit tekanan darah tinggi adalah batuk kering, keletihan, dan ruam kulit.
Situasi itu dikatakan menjadi punca pesakit tidak patuh dengan arahan memakan ubat dengan betul hingga mengheret mereka kepada risiko mendapat darah tinggi yang tidak terkawal.
Bagi menangani isu itu, pensyarah yang juga penyelidik daripada Fakulti Perikanan dan Sains Pemakanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Norizah Mhd. Sarbon mengambil inisiatif menghasilkan makanan tambahan yang lebih sihat dan selamat untuk pesakit.
Katanya, inovasi yang dihasilkan adalah PeptACE: Fish Peptide merupakan suplemen kesihatan semula jadi yang berupaya membantu pengawalan tekanan darah secara sihat dengan menghalang aktiviti enzim perencat ACE atau Angiotensin Converting Enzyme (ACE) di dalam badan.
“Ia dihasilkan daripada proses hidrolisis protein ikan dengan enzim alkalase. PeptACE: Fish Peptide selamat untuk digunakan bagi yang mengalami tekanan darah tinggi tanpa kesan sampingan.
“Selain itu, ia juga menunjukkan potensi sebagai peptida yang mempunyai aktiviti anti-kanser,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Norizah berkata, perencatan enzim ACE dianggap sebagai kaedah yang berkesan untuk mengawal tekanan darah.
Kaedah itu juga mampu memberikan alternatif kepada pesakit dan tidak hanya bergantung kepada pengambilan ubat sintetik.
Oleh itu, Norizah dan kumpulan penyelidiknya berjaya mengenalpasti dan menulenkan peptida bioaktif dengan perencatan ACE daripada protein sisa ikan selayang.
“Paling utama dalam penyelidikan ini adalah kita mahu beri alternatif kepada pesakit darah tinggi untuk menggunakan makanan tambahan selain ubat sintetik kerana seperti diketahui ubat sintetik ada kesan sampingan yang membuatkan pesakit tidak tahan lalu tidak makan ubat.
“Sebab itu perlu ada peptida bioaktif yang berasaskan protein makanan tanpa kesan sampingan untuk pengurusan profil darah yang sihat.
“Daripada kajian ini, 85 peratus aktiviti perencatan ACE dan 88 peratus tahap hidrolisis telah berjaya diperoleh. Proses penulinan protein telah menghasilkan urutan sembilan asid amino yang bertindak sebagai perencat ACE yang kompetitif,” ujarnya.
Hasil penemuan yang telah dipatenkan itu akan mensasarkan penghasilan kapsul hidrolisat protein ikan dan kapsul peptida sebagai makanan tambahan untuk kesihatan umum.
Kepentingan hidrolisat protein ikan dan pembangunan peptida dalam bentuk kapsul adalah bagi menyediakan suplemen yang lebih mudah dimakan serta mesra pengguna.










