NEW YORK: Rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s bakal melancarkan menu terbaharu iaitu burger berasaskan sayur-sayuran, McPlant bagi memenuhi permintaan golongan pengamal diet vegetarian yang semakin meningkat.
Jenama tersebut jauh ketinggalan di pasaran berbanding pesaingnya, Burger King yang membuat penampilan pertama melancarkan menu versi vegetarian iaitu burger ‘Whopper’ pada April 2019 di Amerika Syarikat (AS).
Rangkaian restoran makanan segera lain seperti Dunkin atau Starbucks juga telah menerokai pasaran berasaskan makanan sayur-sayuran apabila ramai orang semakin mengambil kira mengenai gaya hidup sihat, impak penternakan terhadap alam sekitar dan hak haiwan.
McDonald’s telah menguji burger berasaskan sayur-sayuran di Kanada dengan kerjasama syarikat Beyond Meat yang menghasilkan ‘daging sayuran’.
Pengganti seperti soya sudah wujud sejak sekian lama tetapi syarikat baharu seperti Beyond Meat dan Impossible Burger telah membangunkan produk makanan yang lebih menyerupai daging dalam rasa, tekstur dan warna.
Menu baharu itu akan dihasilkan secara eksklusif bagi McDonald’s dan diperkenalkan di beberapa pasaran terpilih pada tahun depan.
Rangkaian restoran makanan segera bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada akan memperbaharui kerjasama dengan Beyond Meat.
McDonald’s hanya menyatakan bahawa syarikatnya akan menghubungi pembekal pihak ketiga seperti produk-produknya yang lain. – AFP










