Makanan kita di tangan orang

Makanan kita di tangan orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu kenyataan akhbar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu, India bukan pengeksport gandum ke negara ini. Kenyataan tersebut sebagai reaksi berkenaan langkah India menghentikan eksport gandum dengan serta-merta.

Sebaliknya menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 80 peratus keperluan gandum diimport dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine. Maksud daripada kenyataan itu ialah rakyat tidak perlu bimbang kerana import gandum tidak melibatkan India.

Tetapi hakikatnya, walaupun India bukan pengeksport gandum ke negara ini, pergolakan Russia dan Ukraine boleh menjadi faktor kekurangan bijiran itu di pasaran global.

Untuk rekod, Russia dan Ukraine membekalkan 30 peratus keperluan gandum global. Hal ini menyebabkan peningkatan harga gandum di pasaran global apabila permintaan lebih daripada bekalan. Pengguna gandum di negara ini akan menerima kesan secara langsung daripada keadaan ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonia Guterres memberi amaran bahawa pergolakan antara dua negara berkenaan akan memberi ancaman dan menyebabkan berjuta-juta penduduk dunia berdepan krisis keselamatan makanan. Sebelum ini Ukraine mengeksport sebanyak 4.5 juta tan hasil pertanian sebulan melalui pelabuhan negara itu. Bagaimanapun selepas tercetus pergolakan, pelabuhan Ukraine jatuh ke tangan Russia dan bertindak menutup urusan import eksport dari Ukraine ke pasaran global.

Barangkali ada yang bertanya, kenapa isu gandum menjadi besar di negara yang makanan asasinya adalah beras? Sebenarnya gandum sudah menjadi makanan asasi di Malaysia. Keperluan gandum dalam setahun mencatatkan 1.7 juta tan metrik berbanding beras hanya 1.6 juta tan metrik.

Tentulah suatu yang membimbangkan apabila kita terpaksa mengimport 100 peratus bijirin makanan asasi ini. Keadaan ini dengan sendirinya mengancam keselamatan makanan di negara ini. Malah pergolakan Russia dan Ukraine juga mendorong banyak negara mengambil langkah mengurangkan eksport bahan makanan terutama gandum.

Isu keselamatan makanan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan ad hoc, sebaliknya memerlukan pelan dan dasar yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang. Oleh kerana itu, isu sebenar bukan sekadar gandum tetapi kebergantungan yang tinggi terhadap bahan makanan yang diimport. Serba-serbi bahan makanan diimport walaupun negara ini mempunyai banyak tanah yang masih dibiarkan kosong.

Bagaimanapun, hakikatnya pengeluaran beras negara hanya mampu menampung 63 peratus keperluan domestik. Begitu juga dengan sayuran yang hanya menampung 44.4 peratus daripada keperluan. Buah-buahan pula mencapai tahap yang agak tinggi iaitu 78.2 peratus keperluan.

Bukan itu sahaja, malah dalam setahun Malaysia mengimport daging kambing bernilai RM879.4 juta, mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) untuk memenuhi keperluan domestik. Lebih 70 peratus daging kambing diimport dari Australia sementara mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport dari Thailand, Indonesia dan India.

DUIT ITU RAJA

Ini bukan lagi isu KPDNHEP. Sebaliknya tidak ada dasar khusus untuk mengurangkan kebergantungan yang keterlaluan terhadap makanan import. Daripada sebesar-besar hingga sekecil-kecilnya semua diimport. Tidak ada langkah proaktif ke arah mengecil, kalaupun tidak memenuhi sepenuhnya keperluan domestik.

Tentulah amat bahaya kalau bahan makanan termasuk asasi terletak di tangan orang lain. Walaupun ada pemimpin politik percaya bahawa duit itu raja (cash is king), tetapi tidak semua keadaan boleh diselesaikan dengan duit. Untuk membeli sokongan dalam pilihan raya mungkin benar duit itu raja. Tetapi untuk membeli bahan makanan dalam keadaan negara lain juga menjaga keselamatan makanan ketika berdepan konflik geopolitik dan perubahan iklim, ada duit belum tentu orang mahu menjual barang kepada kita.

Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, kita tidak boleh terlalu perasan dengan cash is king. Keadaan yang melingkari kita sekarang adalah amat membimbangkan. Pengeksport mempunyai kuasa dan tidak semua keadaan ada duit semuanya akan menjadi kenyataan.

Statistik tahun lalu mencatatkan import bahan makanan kita mencapai RM55.5 bilion dan eksport hanya RM33.8 bilion. Jumlah import yang lebih tinggi akan mewujudkan peningkatan defisit perdagangan produk makanan negara berjumlah RM21.7 bilion pada 2020, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dasar Pertanian Negara Ketiga 1998-2010 (DPN3) digubal dengan matlamat meningkatkan keselamatan makanan, pengeluaran serta menambahkan daya saing sektor pertanian dengan sektor lain.

Bagaimanapun, DPN3 macam terperap apabila semuanya hendak bergantung pada bahan makanan import. Hal ini menjadikan kebergantungan itu pada tahap yang serius. Kalau banyak bergantung dengan bahan import, susahlah hendak bercakap tentang keselamatan makanan. Sebabnya keadaan memang tidak selamat kerana bahan makanan kita berada di tangan orang lain.

Matlamat DPN3 sememangnya cukup bagus. Tetapi realitinya sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun daripada 13.5 peratus pada 1995 kepada 7.1 peratus (2010). Itu statistik 10 tahun lalu, sekarang mungkin semakin kecil.

Kemudian lancar pula Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) kesinambungan fasa pertama dasar yang sama dari 2011 hingga 2020. Melihat perkara-perkara yang digariskan dalam dasar ini, kalau dizahirkan dengan jayanya pasti dapat mengurangkan bahan makanan import.

Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 1974 sebenarnya satu isyarat penting untuk mengekang kebergantungan terlampau terhadap bahan makanan import. Rancangan Buku Hijau adalah satu gagasan penting mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan peri pentingnya sektor lain terutama industri.

Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin selepas Abdul Razak memahami hasrat Perdana Menteri ketiga itu dalam konteks keselamatan makanan? Malah ada pemimpin yang teruja menjadikan Malaysia negara industri hingga meminggirkan sektor pertanian.

Maka tidak hairanlah kalau ketika ini diibaratkan duit di tangan kita, tetapi makanan di tangan orang. Kalau orang tidak mahu menjual, kebulurlah kita jadinya. Konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu perlu difahami falsafahnya. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×