PETALING JAYA: Tiga projek lebuh raya baharu bakal dibina di Lembah Klang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dialami lebih lima juta penduduk di kawasan itu pada masa kini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga projek tersebut yang telah mendapat kelulusan berprinsip adalah projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya – Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).
Beliau tanpa mendedahkan kos ketiga-tiga projek tersebut berkata, bagi projek PJD LINK, kerja-kerja penilaian sedang dilaksanakan dengan melibatkan kerajaan negeri, penduduk serta agensi berkaitan.
“Syarikat juga perlu melaksanakan penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian kesan trafik (TIA). Projek ini hanya akan dimulakan sekiranya mendapat sokongan penduduk melalui SIA serta laporan yang memberangsangkan bagi EIA dan TIA.
“Bagi projek PBE, ia dalam fasa terakhir rundingan kos sebelum diteruskan dengan rundingan draf perjanjian konsesi serta apendiks teknikal manakala bagi KL-NODE, penjajaran belum ditentukan dan dalam penilaian,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, terdapat 19 lebuh raya di Selangor dengan membabitkan tempoh konsesi berbeza-beza.
Sebelum ini, Fadillah yang menyandang jawatan itu semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan tiga pembinaan lebuh raya di Selangor adalah rasional demi kepentingan rakyat.
Lebuh raya tambahan itu dapat menyelesaikan masalah trafik yang tidak boleh ditampung lebuh raya sedia ada.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, sebanyak RM63.72 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan pemberian tol percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus serta 30 peratus selama empat hari dalam tempoh musim perayaan.
Katanya, perbelanjaan tersebut ditanggung dengan melibatkan dua pihak iaitu kerajaan dan syarikat konsesi.
Menanggung
“Kerajaan menanggung sebanyak RM16.11juta manakala bagi syarikat konsesi adalah sebanyak RM47.61 juta.
“Pemberian ini dilaksanakan syarikat konsesi menerusi program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang biasanya diberikan sempena perayaan besar dan nasional negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerajaan tidak dapat memastikan sama ada pemberian tol percuma dapat dilaksanakan lagi atau sebaliknya selepas ini.
“Semuanya bergantung kepada prestasi kewangan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya kerana mereka juga perlu menanggung kos operasi serta penyenggaraan melalui hasil kutipan tol,” kata beliau.
Wawancara penuh 12 & 13 – UTUSAN











