Francissca Peter korban usia muda: Hidup serba kekurangan - Utusan Malaysia

Francissca Peter korban usia muda: Hidup serba kekurangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Francissca Peter bukan satu nama yang asing dalam industri seni tanah air. Dia antara bintang yang bertahan, seangkatan legenda lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Nasir, Jay Jay dan ramai lagi.

Sebanyak 10 album solo, dua album duo, 18 album kompilasi dan 13 single. Itu antara kejayaan yang diraih anak jati Klang, Selangor ini sebagai legenda tersohor.

Dalam pertemuan tempoh hari, penyanyi berusia 60 tahun ini menceritakan pengalaman, suka duka kehidupan sebelum dan selepas bergelar artis rakaman.

Membesar dalam kehidupan miskin dan serba kekurangan, Francissca mengakui dia belajar menjadi matang pada usia muda. Sejak bapanya meninggalkan dia dan keluarga, hidup mereka bertambah sukar.

“Ibu bapa saya berpisah, namun mereka tidak bercerai. Selepas bapa tinggalkan kami, ibu tak mampu bayar sewa dan tampung perbelanjaan sekolah kami adik beradik. Kami, adakalanya bergantung kepada bantuan keperluan asas seperti gula, tepung, roti dan sebagainya yang disumbangkan pihak gereja.

“Miskinnya kami, sampai ibu saya terpaksa bermain ‘kutu’ dengan jiran tetangga. Selalunya, jiran lain akan membenarkan ibu terima hasil kutipan terlebih dahulu kerana pada mereka, keluarga kami terlalu miskin dan lebih memerlukan.

“Kerana itu, saya nekad untuk bekerja demi membantu ibu meskipun usia saya pada ketika itu baru 16 tahun,” katanya.

Bercerita lanjut, Francissca berkata, dia memberitahu ibunya dia bercita-cita untuk menggunakan kebolehan nyanyian bagi menjana pendapatan.

Katanya, demi membantu mengurangkan beban ibu, dia rela melupakan keseronokan zaman remaja dan keluar bekerja pada usia muda.

“Saya beritahu ibu, saya ingin mencari wang dengan menyanyi. Jadi kami sama-sama mencari peluang kerja menerusi keratan akhbar. Kebetulan, terdapat sebuah agensi yang ketika itu sedang mencari bakat baharu untuk diketengahkan.

“Kami pergi ke pejabat agensi tersebut yang terletak di Federal Hotel Kuala Lumpur. Saya ingat lagi, kami pergi menaiki bas ke sana.

“Kerja pertama saya adalah sebagai penyanyi di sebuah pub terkemuka di ibu kota, The Shack. Bayaran diperoleh adalah sekitar RM400. Bagi saya ketika itu, nilai tersebut sudah terlalu besar. Sebelumnya, saya tidak pernah memegang wang sebanyak itu,” ujarnya.

 

Terima kasih Sudirman

Francissca berkata, dia pernah menyanyi dekat sebuah coffee house sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.

Katanya, tempat tersebut sering dikunjungi penggiat industri seni ternama antaranya, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

“Sudirman sering datang ke hotel itu untuk makan malam, sekitar pukul 10. Dia datang berseorangan. Adakalanya bersama pengawal keselamatan.

“Pada satu malam, arwah datang menyaksikan saya membuat persembahan. Ketika itu, lagu saya nyanyikan adalah yang dipopularkan Connie Francis berjudul Frankie. Sejak itu, Sudirman akan meminta saya menyanyikan lagu yang sama setiap kali dia datang,” ceritanya.

Francissca mengakui, Sudirman ialah antara individu terawal yang membuka peluang kepadanya untuk bergelar artis rakaman. Justeru, dia amat berterima kasih figura tersohor itu.

“Satu malam, Sudirman datang dan tidak keseorangan. Dia hadir bersama seorang rakan yang dikenali sebagai Puan Bae.

“Puan Bae tertarik setelah melihat persembahan saya dan Royston Sta Maria atau Roy. Kemudiannya, tanpa diduga, dia tawarkan saya dan Roy bernaung di bawah EMI pada 1981. Dari situ, tertubuhnya Roy & Fran,” kongsinya.

 

Bertahan sebagai Roy & Fran

Royston Sta Maria dan Francissca mula menapak dalam industri seni dan pernah menjadi duo paling berjaya di Malaysia.

Roy & Fran merakamkan 10 lagu. Antara yang mendapat sambutan adalah Siapa Dia Sebelum Daku dan Bersama Pertemuan Ini.

Namun, kata Francissca, kerjaya mereka sebagai artis duo mula perlahan pada tahun 1983.

“Adakalanya, ada yang meminta saya menyanyi tanpa Roy. Begitu juga sebaliknya. Ada yang mahukan Roy tanpa saya. Keadaan itu amat sukar.

“Saya cuba bertahan sebagai Roy & Fran. Tetapi ada masanya juga, saya ingin melangkah keluar, meneroka lebih banyak peluang sebagai Francissca.

“Saya ambil keputusan untuk berehat daripada Roy & Fran. Melangkah keluar dan melakukan sesuatu yang berlainan. Itu adalah keputusan yang sukar,” kongsinya.

Tidak lama selepas meninggalkan Roy & Fran, Francissca kembali menyertai komposer tersohor, Michael Veerapen membuat persembahan di Hotel Hilton.

“Selepas enam bulan, Warner Music melamar saya. Mike Bernie Chin, yang menguruskan Jay Jay, Sudirman, Norkumalasari, Datuk Khatijah Ibrahim, membimbing dan juga menguruskan saya ketika itu.

“Saya mengikat kontrak bersama Warner Music dan pada 1984, single pertama saya, Komputer Muzik diterbitkan,” jelasnya.

 

Mengharapkan konsert besar-besaran

Disoal tentang perancangan masa depan, Francissca berkata dia berharap dapat membuat konsert besar-besaran untuk dihadiahkan kepada peminat yang selama ini menyokongnya.

“Saya berharap ada penaja yang sudi menaja untuk merealisasikan impian ini. Konsert yang besar adalah impian setiap penyanyi. Saya berdoa agar dapat melakukannya untuk peminat,” katanya.

Dalam masa sama, Francissca juga mengakui banyak menerima lamaran komposer muda untuk menyanyikan lagu-lagu mereka. Namun katanya, dia perlu menunggu kehadiran lagu yang sesuai dan memberi impak sebelum dihadiahkan kepada pendengar.

“Memang ramai yang meminta saya menyanyikan lagu mereka. Tetapi untuk mendapatkan lagu yang sesuai dengan saya, bukan mudah. Tetapi, saya tidak pernah katakan tidak. Mana tahu, satu hari nanti saya bertemu lagu yang baik. Kenapa tidak?” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×