Zura atau nama sebenarnya Zuhurah Zaibidi memiliki kelulusan dalam jurusan kejuruteraan telekomunikasi. Namun setelah sembilan tahun bergelumang dengan dunia itu, dia mula mengambil keputusan untuk berhenti kerja makan gaji.
“Saya bosan menjadi jurutera dan saya hendak cuba benda baru. Saya suka fesyen dan sebab itu saya mula menjahit dan mereka pakaian. Jenama Larney ini boleh dikatakan bermula di sebuah bilik di rumah saya yang terletak di Ampang.
“Nama Larney saya ambil daripada perkataan Amerika Latin yang bermaksud luxury. Perkataan ini sememangnya menepati DNA jenama kami dari segi fabrik ke kualiti pengeluaran dan secara keseluruhannya.
“Setelah berhenti kerja dan mula menjahit pada 2015, saya mengambil keputusan menjual pakaian di Instagram @larneyofficial. Pada 2016 saya mula menjual di platform Fashion Valet.
“Sungguh saya tidak sangka sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan. Apabila saya lihat ada banyak permintaan daripada pelanggan saya mula mengambil keputusan untuk all out dalam bisnes.
“Pada 2018 saya mengembangkan bisnes dengan membuka butik dan menjual di laman sesawang larney.com.my,” katanya kepada Seri.
Hasil kerja kerasnya hingga kini usahawan wanita ini telah memiliki tiga butik iaitu di Ampang, Setia City Mall dan Isetan KLCC. Selain itu, dia turut membuka pop up store yang diberi nama Larney & Locka Showcase di Shoppes, Four Seasons Place, Ampang.
“Saya wanita biasa yang gemar meluangkan masa bersama suami dan anak-anak selain melakukan aktif digemarinya iaitu yoga dan aktiviti lasak.
“Namun sejak jenama saya mulai dikenali dan mendapat permintaan tinggi, kehidupan saya mulai berubah dan kian sibuk,” katanya tersenyum.
Malah akuinya, dirinya lebih mahir mendapat inspirasi untuk menjadi penyelesai masalah berhubung pakaian untuk wanita melalui cara mengkaji khalayak sasaran dan apakah keperluan dan permintaan mereka.
“Saya selalu memberikan pandangan tentang fesyen. Saya mahu membantu wanita mendapatkan persalinan terbaik, selari dengan personaliti mereka,” kata anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini.
SUKA WANITA BERGAYA
Suka melihat wanita bergaya cantik. Tidak hairanlah beliau mampu menyesuaikan diri dalam dunia fesyen walaupun tidak ada pendidikan formal dalam kerjaya baharunya itu.
“Sebagai seorang wanita berkarier yang sentiasa mengikut perkembangan fesyen saya melihat persepsi yang lebih luas tentang bidang perniagaan fesyen. Saya suka melihat wanita moden yang bergaya dan berpakaian kemas serta cantik.
“Dari situ saya selalu akan berimaginasi dengan rekaan yang sesuai untuk wanita berkarier yang suka bergaya.
“Boleh dikatakan setiap idea yang saya dapat dalam rekaan pakaian adalah hasil imaginasi saya daripada apa yang wanita suka gayakan ketika berfesyen,” jelasnya.
Lantaran itu, beliau tidak pernah sesal meninggalkan kerjaya sebagai jurutera.
Sebaliknya apabila mengambil keputusan menjadi usahawan dan memiliki bisnes sendiri, ia sudah cukup memberikan kepuasan dalam dirinya.
SENTIASA POSITIF
Memiliki empayar perniagaan sendiri membolehkan Zuhurah berkarya tanpa had selain mencabar diri untuk melakukan yang terbaik untuk jenamanya itu.
“Untuk membina empayar fesyen sendiri seseorang itu kena sentiasa berfikiran positif, komited dan jangan mudah berputus asa.Lebih daripada itu, lantaran tidak memiliki pendidikan formal, setiap helai rekaan ditampilkan adalah hasil kerja keras dan usaha saya belajar sendiri,” katanya.
Zuhurah menambah ilmu dengan banyak membaca buku-buku dan menonton video tentang perniagaan dan fesyen.
“Daripada situlah saya mengambil masa untuk belajar tentang dunia perniagaan pakaian.
“Sasaran saya dalam bisnes adalah mahu jenama ini dikenali dalam kalangan masyarakat antarabangsa bukan sahaja sebagai jenama Malaysia untuk pakaian wanita. Tetapi untuk Larney dikenali berikutan kualiti jahitan dan fabrik yang kami gunakan,” katanya.
Sejauh ini perjalanan dalam dunia fesyen, antara kenangan tidak dilupakan Zuhurah adalah apabila terbabit dalam kempen Into The Light Larney.
Kempen penuh glamor sempena sambutan raya 2021 itu mendapat sambutan menggalakkan hinggakan akhbar di Singapura pun menulis tentang Larney.
“Saya bahagia dan puas. Tetapi bagi saya yang lebih memberi erti adalah bila apa yang saya usahakan selama ini memberi manfaat kepada orang sekeliling tidak kira pelanggan mahupun pekerja saya. Itu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Ujarnya lagi sebagai usahawan dalam bidang fesyen, dia mahu pelanggan menganggap produknya sebagai sistem sokongan bila mahu tampil ergaya.
“Saya mahu mereka merasa yakin dan cantik di dalam persalinan saya.
“Pada masa sama selesa dan berpuas hati dengan kualiti kami tampilkan. Sama ada daripada segi rekaan, jahitan mahupun fabrik yang digunakan. Itu keutamaan saya,” katanya.
SENTIASA BERWASPADA
Covid-19 telah membawa kesan terhadap ekonomi dunia dan Zuhurah juga tidak terkecuali.
“Pendemik memberi titik perubahan yang baharu dan lebih baik kepada bisnes saya.
“Memang pada mulanya saya terkejut dan panik memikirkan apa yang akan berlaku pada bisnes dan pakaian yang belum dijual.
“Namun hasil perbincangan bersama pasukan, kami mampu mengatasi dugaan itu. Jualan secara atas talian dan live yang dilakukan di media sosial banyak membantu bisnes kami.
“Penyelesaian lain kami lakukan adalah membuat promosi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Detik-detik kesusahan itu banyak memberi pengajaran terutamanya saya, untuk sentiasa berwaspada dan jangan terlalu selesa,” katanya.
Zuhurah mengekalkan momentum untuk tidak mendatar atau merudum dan sentiasa bersemangat untuk maju.
“Jika keadaan seperti itu kembali lagi, saya sudah bersedia. Namun saya kena sentiasa berwaspada dan pandai mengatur strategi,” katanya.










