Buli rosakkan maruah, silaturahim

Buli rosakkan maruah, silaturahim

DARIPADA kasih sayang, lahir sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah serta nilai-nilai positif lain. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES buli kembali mewarnai negara. Ironinya, ia bukan hanya berlaku di sekolah tetapi juga dalam kalangan profesional yang sering dihormati masyarakat iaitu pegawai perubatan.

Agak mengejutkan, lima pegawai perubatan yang didakwa sebagai ‘pembuli‘ di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut melibatkan doktor pakar, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Insiden buli itu ‘terbongkar’ ekoran seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, 17 April lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr. Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP.

Pada 6 Mei lalu, Khairy dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu.

Dalam kes berasingan, pada 13 Mei lepas, seramai 30 pelajar diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes pelajar tingkatan dua yang didakwa cedera dibuli pelajar senior dalam kejadian di sekolah agama berasrama penuh di Labu, Nilai.

Walaupun mangsa yang terlibat berbeza, ia membuktikan amalan buli masih berlaku dalam masyarakat. Lebih malang, sekolah berstatus agama turut tidak kebal daripada perlakuan buli.

Islam melarang dan menegah perbuatan mencederakan orang lain sesuka hati. Antara amaran itu adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat!”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun. (al-Kahfi: 49)

Kajian Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub mendapati faktor utama adalah si pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk ‘berseronok.’

Kajian itu juga mendapati kebanyakan mereka yang terbabit dengan buli tidak mempunyai hubungan kekeluargaan kukuh dan datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.

Barangkali ada benarnya dapatan kajian di atas. Kalau ikut Islam, umatnya sentiasa disuruh berkasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang. Kita lahir ke dunia ini kerana wujudnya kasih sayang Allah yang bersifat al-Rahman.

Lahirnya kita ke dunia ini juga disambut dengan kasih sayang keluarga dan saudara-mara. Perasaan kasih dan sayang ini merupakan fitrah yang diciptakan dalam diri setiap manusia.

Malah, golongan pembuli ini mungkin juga ada masalah mental atau kurang waras. Sebabnya, jika orang yang waras dan sejahtera akal fikirannya, bukan kata nak mencederakan manusia, mencederakan haiwan waima kucing pun tak tergamak.

FITRAH

Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang.

Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, anak serta sesama manusia.

Menurut Ibnu Qayyim: Kasih sayang adalah sifat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain dan bersedia bersusah payah mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan keburukan daripada mereka.

Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Golongan ibu bapa pastinya resah memikirkan apa nasib anak-anak di asrama dan juga di hospital ekoran kes buli ini. Sepatutnya institusi pendidikan adalah tempat selamat untuk anak-anak belajar. Demikian juga hospital yang biasanya selamat tetapi nampaknya tidak lagi selamat untuk segelintir doktor dan juga petugas perubatan yang lain.

Sesungguhnya atas sifat kasih sayanglah manusia hidup di dunia ini dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya tanpa mengenal bangsa dan keturunan.

Jika bukan kerana sifat kasih sayang, seorang ibu tidak mungkin sanggup berkorban melahir dan membesarkan anak-anaknya, seorang bapa tidak mungkin berpenat lelah dan membanting tulang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup keluarganya, seorang guru tidak akan bertungkus lumus mendidik pelajarnya dan seorang sahabat tidak akan bersusah payah menggembirakan sahabatnya.

Rasulullah SAW menerangkan perihal kasih sayang orang beriman dengan sabdanya yang bermaksud: Bandingan seorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila salah satu anggota badan itu sakit, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya). (Riwayat Muslim)

Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain.

Allah SWT juga telah mengharamkan manusia daripada melakukan kezaliman sepertimana Allah turut mengharamkan diri-Nya daripada sifat zalim.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar Al-Ghiffari r.a bahawa Nabi SAW bersabda melalui firman Allah SWT: Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku juga mengharamkannya dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim-menzalimi. (Riwayat Muslim)

Perbuatan buli menyebabkan rosaknya maruah diri seseorang, merosakkan hubungan silaturahim dan kedamaian sesebuah masyarakat.

Perbuatan membuli adalah salah satu dosa kerana ia menceroboh kehormatan diri orang lain bahkan boleh mencederakan anggota seseorang. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×