Kelahiran Rasulullah SAW disambut dengan penuh kegembiraan oleh ahli keluarganya. Walaupun Nabi SAW tidak sempat melihat ayahnya kerana meninggal dunia semasa dalam kandungan namun baginda dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh ibunya, Aminah dan datuknya Abdul Mutalib.
Selepas Abdul Mutalib meninggal dunia, Abu Talib, bapa saudaranya yang paling tua dan dihormati memelihara Nabi SAW sehingga dia diutuskan menjadi rasul.
Dalam surah al-Ahzab ayat 40 nama Nabi Muhammad SAW tertera, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Bukanlah Nabi Muhammad itu dengan sebab ada anak angkatnya menjadi seorang bapa yang sebenar bagi seseorang lelaki kamu tetapi ia adalah Rasulullah dan kesudahan segala nabi. Dan ingatlah Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Sebelum ayat di atas, Allah SWT menceritakan kisah perkahwinan Nabi SAW dengan Zainab bintu Jahsyin r.ha. Pada mulanya Zainab berkahwin dengan anak angkat Nabi SAW iaitu Zaid Ibn Harithah. Satu-satunya nama para sahabat yang disebut dalam al-Quran ialah Zaid Ibn Harithah.
Zaid mempunyai dua keistimewaan. Pertama, dia adalah anak angkat Rasulullah SAW. Ketika usianya lapan tahun, Zaid yang berasal dari kabilah Bani Qudha’ah ditawan dan dijual di pasar Hubasyah berhampiran Mekah.
Hakim Ibn Hizam membeli Zaid bagi pihak Khadijah bintu Khuwailid r.ha yang kemudiannya menghadiahkan Zaid kepada Rasulullah SAW.
Keluarga Zaid amat rindu kepadanya dan mencari di manakah Zaid berada. Akhirnya mereka mendapat tahu Zaid berada dengan seorang lelaki yang bernama Muhammad di Mekah. Ayahnya
Harithah Ibn Syarahbil dan bapa saudaranya Ka’ab Ibn Syarahbil bergegas ke Mekah untuk menebus Zaid ke pangkuan keluarganya.
Setibanya di Mekah, mereka bertemu Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai cucu Abdul Mutalib, keturunan Hasyim, wahai anak ketua kaum, kamu adalah penduduk kota Mekah al-haram, pemurahnya kamu dalam memberi makan kepada tawanan. Sesungguhnya kami datang kepada-mu kerana anak kami berada bersama kamu maka bagilah dia kembali kepada kami. Dan berilah kebaikan kepada kami untuk menebusnya”.
Rasulullah SAW menjawab permintaan tersebut dengan memberi hak kepada Zaid memilih siapakah yang beliau suka untuk bersama.
Ayah dan bapa saudara Zaid amat yakin keputusan Zaid sudah tentu akan memihak kepada mereka. Namun alangkah terkejutnya mereka, Zaid berkata: “Sesungguhnya aku tidak akan memilih seorang pun melebihinya iaitu baginda SAW. Kamu (Rasulullah SAW) adalah ayah dan bapa saudaraku”.
Terkejut dengan pilihan Zaid, ayahnya berkata: “Celaka kamu wahai Zaid, adakah kamu sanggup memilih kehambaan lebih daripada kebebasan dan boleh bersama dengan ayah, bapa saudara dan keluarga kamu”? Zaid menjawab dengan tenang: “Betul, sesungguhnya aku melihat lelaki ini iaitu Nabi SAW dan amat tahu keadaannya maka aku tidak akan melebihinya daripada mana-mana manusia pun”.
Ketika Nabi SAW melihat prinsip Zaid dan pilihannya lalu baginda membawa Zaid ke Kaabah. Bersaksikan orang ramai ketika itu baginda SAW membuat satu penyaksian bahawa Zaid adalah anaknya yang boleh mewarisi hartanya. Sesudah itu Zaid dikenali dengan Zaid Ibn Muhammad.

DIBINKAN SEMULA KEPADA AYAH
Namun, selepas diturunkan ayat kelima surah al-Ahzab, maka panggilan Zaid di‘bin’kan semula kepada ayahnya iaitu Zaid Ibn Harithah. Beliau syahid semasa mengetuai peperangan mu’tah pada tahun 8 Hijrah.
Sebab kedua kenapa nama Zaid disebut dalam al-Quran ialah kerana Nabi SAW mengahwinkan Zaid dengan sepupunya Zainab Binti Jahsyin. Seorang wanita yang baik budi dan rupa parasnya. Zaid dibebaskan daripada hamba dan Zainab pula adalah bangsawan Quraisy yang mempunyai kehormatan dan kemuliaan.
Sebelum mereka bercerai, Allah SWT menjelaskan kepada Nabi SAW bahawa Zaid akan menceraikan Zainab dan baginda SAW akan mengahwini Zainab. Namun setiap kali Zaid menceritakan masalahnya bersama Zainab, baginda menjawab: Jagalah isteri kamu dan bertakwalah kepada Allah.
Nabi SAW menyembunyikan apa yang Allah SWT khabarkan kepadanya bahawa akan berlaku perceraian antara keduanya dan baginda akan mengahwini Zainab. Itulah yang dinyatakan oleh sekumpulan ahli tafsir termasuk Qatadah, Ibn Zaid dan Tabari.
Al-Zuhaili menyatakan perkara ini tidak layak bagi makam kenabian dan tidak menepati realiti kerana jika nabi hendak berkahwin maka sudah tentu nabi berkahwin dengannya semasa Zainab perawan. Ini kerana Zainab adalah sepupunya iaitu anak kepada ibu saudaranya, Umaimah binti Abdul Muttalib.
Sehinggalah satu ketika, Nabi SAW datang ke rumah Zaid dan hanya Zainab yang ada ketika itu. Nabi SAW berkata: Subhanallah yang membalik-balikkan hati. Sekembalinya Zaid ke rumah, Zainab menceritakan kehadiran Nabi SAW dan ucapan tasbih baginda SAW. Zaid pergi ke rumah Nabi SAW mohon keizinan untuk menceraikan Zainab.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan ingatlah wahai Muhammad Ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Islam iaitu Zaid: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah sambil engkau menyembunyikan dalam hati-mu perkara yang Allah akan menyatakannya. Dan engkau pula takut kepada cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Selepas Zaid habis kemahuannya terhadap isterinya dengan menceraikannya Kami kahwinkan kamu dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka apabila anak angkat menceraikannya. (al-Ahzab: 37)
Selepas beberapa ketika, Zaid meminang Zainab bagi pihak Nabi SAW. Anas Ibn Malik berkata: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW membuat jamuan perkahwinan berbanding isteri yang lain lebih daripada jamuan perkahwinannya dengan Zainab. Baginda SAW menyembelih seekor kambing (Riwayat Muslim)
- Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.










