HANOI: Ada kejutan, kekecewaan dan kegembiraan.
Itulah rumusan untuk keseluruhan aksi gimnastik artistik pasukan Malaysia di Sukan SEA Vietnam yang telah menutup tirai semalam di Pusat Gimnasium Quan Ngua, Hanoi dengan membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa.
Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen paling mencuri tumpuan apabila mencipta kejutan buat kem negara selepas menyumbang dua emas dalam acara palang bertingkat dan batang titian.
Lebih manis, dia membuktikan mampu menggalas tanggungjawab negara dalam sukan itu meskipun pada suatu ketika dia berdepan ‘mimpi ngeri’ yang memaksa berehat selama dua tahun susulan kecederaan lutut yang serius.
Bagi jurulatih negara, Ng Shu Wai penantian dia menunggu Rachel disifatkan berbaloi meskipun mengakui kehilangan bekas ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi masih terasa.
“Sebelum datang sini saya kurang yakin sebenarnya tetapi apa yang telah ditunjukkan Rachel adalah satu kejutan. Dia pernah cedera kedua-dua lutut dan tidak berlatih selama dua tahun tetapi hari pertama dia turun bersama kami, ia buat saya tersenyum.
“Saya nampak potensi dan kesungguhan dia, jadi saya sudah buat perancangan untuk dia menyerlah dalam pertandingan yang disertai. Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan gimnas negara pada Sukan SEA kali ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan skuad gimnastik artistik negara selepas ini, Shu Wai menjelaskan bahawa mereka akan berehat sementara sebelum kembali menjalani latihan untuk persiapan ke temasya seterusnya.
“Kita akan berehat dan berlatih semula, perancangan itu ada tapi pertandingan seterusnya belum pasti. Kalau dapat ke Sukan Komanwel atau tidak belum tahu tetapi jika tidak ke sana maka kita dapat berehat.
“Saya mahu fokuskan kepada persediaan Sukan SEA tahun depan dan juga Sukan Asia. Saya nampak Rachel ada potensi untuk memberikan sesuatu di sana (Sukan Asia).
“Dalam kepala saya juga sudah ada beberapa nama gimnas baharu yang akan dilatih untuk persediaan tahun depan tetapi saya perlu bincang dahulu dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan yang lain,” jelasnya.
Tambahnya, tentang sasaran melayakkan gimnas negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Shu Wai mengakui ada perancangan tersebut.
“Ada perancangan tetapi kita tunggu dan lihat,” jelasnya ringkas yang menyaksikan skuad gimnastik lelaki menyumbang satu perak dan satu gangsa menerusi Tan Fu Jie dalam acara kuda berpelana dan gangsa dimenangi Muhammad Sharul Aimy. – UTUSAN










