Sebaik sahaja menerima jemputan ke tayangan perdana Tiga Janda Melawan Dunia, pada fikiran saya, ah satu lagi karya klise sedia ada. Apa yang menarik?
Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana melihat pada poster iklan sahaja kurang menarik minat. Tetapi, disebabkan pelakon legenda yang dibarisi oleh Khatijah Tan, Rosnah Mat Aris dan Raja Azura, saya duduk dan cuba mengikuti perkembangan filem ini.
Secara ringkasnya filem ini berkisarkan tentang tiga orang janda yang tinggal di kampung yang perlu mencari duit untuk pergi ke konsert terakhir artis idola mereka.
Oleh kerana tiket konsert terlalu mahal dan eksklusif mereka perlu melakukan pelbagai usaha yang melucukan bagi merealisasikan impian mereka.
Menerusi filem ini, dua hal yang menarik minat saya adalah konsep muzikal dan skrip yang segar serta sarat dengan komedi. Tambahan lagi, para pelakon melakonkan watak masing-masing dengan bersahaja.
Konsep muzikal saya suka kerana produksi telah melengkapkan selingan babak yang membabitkan drama dan konfik. Bahkan menyuntik elemen muzik tradisi dan rap.
Dalam saya terhibur, agak mengejutkan apabila menyaksikan satu babak pelakon Norman Hakim membelanja sosok tubuh kekarnya. Secara tidak langsung membuatkan saya terfikir adakah itu strategi menarik peminat yang menyanjung kecantikan tubuh Norman?
Seperkara yang ingin saya sentuh adalah berhubung kandungan yang mungkin kelihatan bagus inisiatif mesejnya tetapi seakan-akan menggalakkan remaja dan khalayak untuk mencuba elektronik rokok (vape).
Saya faham corak kekuatan plot dalam penyampaian mesej dikukuhkan dengan jelas. Contoh, perisa vape yang dihasilkan mendapat sambutan hangat termasuk kaki dadah. Ini kerana perisa vape mereka boleh menghentikan ketagihan dadah.
Cuma saya merasakan dan bimbang kalau-kalau anak muda generasi kini salah tafsir.
Variasi pelakon sama rata
Di sini saya tidak mahu menyentuh bakat legenda, usah dipertikaikan. Tidak dinafikan memang makanan mereka.
Namun saya puji pihak produksi apabila memberi sepenuh kepercayaan kepada pelapis baharu tempatan. Ada seorang dua yang saya kenal bakal menyinari arena hiburan lakonan dengan baik.
Dengan peluang seperti itu, saya harap pihak stesen televisyen membuka mata untuk memberi peluang dan kepercayaan kepada bakat-bakat baharu.
Kalau bukan stesen TV siapa lagi mahu berikan peluang untuk tatapan umum yang sudah kebosanan dan jelak dengan pelakon sama sahaja? Rajinkan diri juga tonton filem untuk mengintai dan perhatikan wajah baharu.
Para pelakon pembantu dan turut membantu khususnya mereka tidak menghampakan. Saya percaya pengarah dan produksi telah menjalankan tapisan uji bakat untuk watak dan perwatakan sesuai dengan bakat mereka, bukan rupa paras.
Antara barisan pelakon baharu meningkat naik berjaya melengkapi karya ini terdiri daripada Abbas Mahmood dan Ellyza Azizi.
Turut menghidupkan babak sedih ketika watak Ani sebelum bergelar janda ialah watak Amar, lakonan Matz Burhanuddin. Kagum melihat lakonan Matz dengan Raja Azura yang bersahaja.
Saksikan filem terbitan Space Record My, penulis skrip oleh Nazri Vovinski dan penulis skrip bersama serta selaku pengarah iaitu Hyrul Anuar ini di pawagam berhampiran anda.











