Tunggu SPM: Cari kerja atau ikuti kursus kemahiran? - Utusan Malaysia

Tunggu SPM: Cari kerja atau ikuti kursus kemahiran?

SPM merupakan fasa penting dalam menentukan hala tuju hidup seseorang yang memerlukan perancangan teliti. – Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Merdeka! Itu ayat yang sering dilaungkan oleh pelajar-pelajar tingkatan lima yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Manakan tidak, dengan berakhirnya peperiksaan tersebut maka tamatlah kehidupan mereka sebagai pelajar sekolah sekali gus menjadi penanda aras bahawa mereka sudah semakin menginjak ke alam dewasa.

Namun realitinya, selepas SPM merupakan fasa penting dalam menentukan hala tuju hidup seseorang yang memerlukan perancangan teliti.

Malah, tempoh masa menunggu keputusan peperiksaan besar itu juga perlu diuruskan dengan terancang dan rapi supaya masa yang ada digunakan sebaiknya.

Kebiasaannya, pelajar-pelajar akan mengambil kesempatan untuk berehat sementara menunggu keputusan atau ada juga yang bekerja untuk mencari pendapatan.

Tidak dinafikan, ada juga yang masih tidak pasti dan tercari-cari aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa terluang semasa menunggu keputusan SPM.

Pegawai Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Muniroh Mohd. Yusoff berkata, banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang tempoh masa menunggu yang agak lama itu.

Antara yang disyorkan adalah memperkemaskan diri untuk mempelajari kemahiran yang akan membantu ketika memasuki Institusi pengajian Tinggi (IPT).

“Perkemaskan diri dengan kelas Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab sebagai persiapan untuk memasuki universiti kelak. Tidak terkecuali juga untuk manfaatkan masa yang ada dengan mendalami ilmu agama.

“Lebih penting, buat sedikit pembacaan atau kajian berkenaan IPT yang dipilih serta peluang kerjaya bagi bidang pengajian yang dipilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perancangan dan pengetahuan awal mengenai universiti dan subjek yang bakal diambil dapat memberikan gambaran awal kepada pelajar untuk menentukan hala tuju kelak.

Paling utama adalah mengetahui peluang pekerjaan untuk kos yang dipelajari bagi mengurangkan risiko pengangguran dan ketiadaan peluang kerja selepas menamatkan bidang pengajian.

Tidak hanya itu, pelajar juga harus pertimbangkan subjek yang diminati kerana kebiasaannya pembelajaran yang disertai dengan minat akan membantu pelajar untuk belajar dengan lebih baik sekaligus mendorong pelajar untuk skor dalam setiap ujian mahupun peperiksaan yang dianjurkan.

Belajar kemahiran
Selain itu, pelajar juga disarankan untuk berjumpa dan meminta pandangan daripada guru kaunselor atau institusi yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya.

Pandangan serta cadangan daripada pakar terlibat dalam memberikan pencerahan kepada pelajar sebelum membuat satu-satu keputusan. Tidak hanya itu, ia juga mampu memberikan keyakinan kepada diri pelajar untuk melangkah ke alam universiti yang pastinya penuh dengan onak ranjau dan duri untuk bergelar seorang siswazah.

Muniroh berkata, pelajar juga boleh mengisi masa terluang dengan mempelajari kemahiran memasak atau membuat kek bagi memberikan nilai tambah dalam kemahiran individu.

“Gunakan peluang yang ada dengan mengikuti atau terlibat dengan aktiviti kesukarelawan dengan pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan diiktiraf.

“Program-program seumpama ini sebenarnya sangat bagus untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai dunia luar serta mendidik sifat ingin membantu dalam diri mereka,” katanya lagi.

Kerja sambilan
Bagi yang ingin mencari pendapatan pula, tidak salah untuk bekerja sambilan sementara menunggu keputusan diumumkan.

Bukan sahaja dapat pengalaman bekerja, malah pendapatan diperoleh boleh digunakan untuk melanjutkan pengajian di universiti yang sememangnya menuntut perbelanjaan yang agak besar terutama bagi golongan kurang berkemampuan.

“Bekerja sementara itu bukan semata-mata dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah namun ia merupakan antara persiapan daripada segi kewangan sebelum memasuki menara gading,” ujarnya.

Bagaimana pun, tegas Muniroh, setiap pilihan yang dilakukan mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Tidak ada salahnya sama ada pelajar mahu bekerja atau belajar kemahiran sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan asalkan niat sebenar menyambung pelajaran tidak terbantut.

Tempoh masa menunggu juga sebenarnya sangat baik kerana memberi peluang kepada pelajar mempersiapkan diri sebaik mungkin daripada segi fizikal, mental serta kewangan sebelum berhadapan dengan alam dewasa di universiti terutamanya untuk pelajar yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Pilihan di tangan adik-adik, ibu bapa atau waris bertindak sebagai penasihat, pembimbing dalam memandu anda ke arah hala tuju yang lebih bermakna dan menjadikan pelajar sebagai individu yang mampu proaktif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran sebenar dalam kehidupan.

“Pilihan begitu banyak kini untuk kalian nikmati, yakin lah persekitaran sosial individu sangat berperanan dalam mempengaruhi pilihan aktiviti anda, jadi tepuk dada, tanya selera!,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×