Wajib raya pertama di rumah cikgu

Wajib raya pertama di rumah cikgu

PENULIS (dua dari kiri) ketika di tingkatan dua bersama rakan-rakan sekolah mengunjungi rumah Cikgu Ibrahim (baris belakang, bercermin mata) semasa Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA dilahirkan di sebuah kampung baru Cina di Yong Peng, bahagian tengah Johor. Sungai Bekok mengalir merentas pekan saya. Kawasan kediaman di tempat saya dibangunkan bermula dari tebing sungai.

Mengikut kajian sejarah, pekan itu dibuka oleh seorang peneroka keturunan Teochew digelar Kangchu (pemimpin tepi sungai) seawal 1848 di bawah naungan Temenggung Johor, Sultan Abu Bakar. Pada waktu itu, tenaga kerja dibawa masuk dari China untuk mengusahakan tanaman gambir dan lada hitam secara komersial.

Peneroka awal memberikan nama Hoe Seng Kang kepada tempat itu. Namun, pada 1895, penduduk Teochew setempat menukar nama kepada Yong Peng membawa maksud kesejahteraan yang berkekalan.

Di pekan Yong Peng, majoriti penduduknya keturunan Cina khususnya suku kaum Hock Chew. Namun, tempat ini juga dihuni oleh orang Melayu dan India yang tidak kecil bilangannya sebelum kemerdekaan negara. Semua kaum hidup aman dan damai di sini. Yong Peng tidak pernah berlaku apa-apa konflik perkauman meskipun rusuhan kaum meletus pada 13 Mei 1969.

Ayah saya mengusahakan sebuah kedai runcit di pekan antara 1950-an dan 1960-an. Kedai beliau sering dikunjungi pelanggan-pelanggan Melayu yang peramah.

Hubungan mereka amat mesra dan rapat.

Sewaktu saya masih kecil, menjelang bulan Ramadan telah menjadi tradisi pekedai-pekedai runcit menghadiahkan telur ayam, gula dan tepung gandum kepada pelanggan-pelanggan Melayu. Sebagai balasan budi baik pekedai Cina, orang Melayu pula membawa biskut buatan sendiri ke kedai agar semua orang dapat menikmati kegembiraan bersama. Pada waktu itu, hati saya girang setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana itulah satu-satunya masa saya dapat menikmati beraneka jenis kuih raya yang dibawa pulang oleh ayah.

Di samping itu, ayah saya turut bergiat dalam politik dan kerja kebajikan di pekan. Beliau terpilih sebagai wakil rakyat dalam majlis tempatan pada 1960-an. Ibu saya pernah menceritakan bahawa ayah bertungkus lumus mempelajari bahasa Melayu pada usia lanjut agar dapat berkomunikasi secara baik dengan rakan-rakan pelbagai kaum dalam majlis tempatan.

Sewaktu saya menyambung pelajaran ke sekolah menengah, sekolah menengah kebangsaan (SMK) secara automatik menjadi pilihan saya. Saya dan rakan-rakan menyambut baik bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di SMK kerana itulah bahasa yang digunakan secara meluas antara penduduk pelbagai kaum di persekitaran kampung saya.

Kami anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran kampung baru lazimnya bertutur dalam bahasa Cina atau dialek dengan rakan-rakan sekolah yang sebangsa. Apabila berkomunikasi dengan guru-guru dan rakan-rakan Melayu atau India, sudah tentu bahasa Melayu diutamakan. Walaupun kadangkala kami kesempitan istilah untuk menyampaikan sesuatu maksud dengan tepat, namun kami tidak pernah rasa gentar dan menarik diri.

NASI HIMPIT, RENDANG

Pada waktu itu, sejajar dengan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan, banyak guru Melayu dihantar ke kampung baru Cina untuk berkhidmat sebagai guru sekolah menengah. Walaupun terdapat perbezaan budaya dan bahasa, kebanyakan guru Melayu menganggap murid-murid Cina bagai anak mereka sendiri. Mereka sangat mengambil berat dengan perkembangan rohani dan jasmani anak murid keturunan bukan Melayu.

Ketika itu, Hari Raya Aidilfitri menjadi perayaan tahunan yang sering kami nanti-nantikan. Kami membuat temu janji dengan guru Melayu kelas kami dan mengayuh basikal secara berkumpulan untuk mengunjungi rumah guru pada hari pertama hari raya.

Selain menyediakan nasi himpit dan rendang untuk menjamu selera anak murid, guru kelas kami, Puan Rogayah juga melayan dengan pelbagai kuih raya dan minuman sirap bandung.

Setelah 45 tahun berlalu, kenangan manis berhari raya di rumah guru Melayu bersama rakan-rakan sekolah masih terlintas jelas dalam ingatan saya. Sesungguhnya, kunjungan seperti itu banyak menyemai benih perpaduan yang amat diperlukan oleh masyarakat Malaysia.

Selepas tamat pengajian di universiti tempatan, saya bekerja di Pantai Timur selama dua tahun. Kebanyakan kawan dan rakan sekerja Melayu saya di Kelantan baik-baik belaka. Mereka mempunyai budi pekerti yang tinggi. Saya amat mesra dan selesa bekerja di sana. Saya juga sempat mencuba pelbagai makanan Melayu setempat. Saya memenangi banyak persahabatan dan memperoleh bantuan daripada mereka.

Ketika merantau di Kota Bharu, saya sangat kagum melihat orang Cina dan Melayu makan serta minum semeja di kedai kopi. Mereka bergaul mesra dan bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan.

Dalam perbualan harian orang Cina tempatan, di samping banyak menggunakan bahasa Hokkien dan Mandarin, lazimnya mereka gemar menyelitkan bahasa Melayu dalam perbualan untuk menambah kemesraan.

Mengikut statistik yang dikemukakan, 90 peratus anak-anak lepasan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) melanjutkan pelajaran ke SMK di seluruh negara. Ini jelas membuktikan kebanyakan ibu bapa dan pelajar keturunan Cina memang sedar akan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi baik dalam menuntut ilmu mahupun untuk berinteraksi sesama masyarakat berlainan kaum dalam kehidupan harian.

Kaum Cina tidak perlu risau akan sebutan bahasa Melayu mereka tidak setulen orang Melayu. Bahasa merupakan alat komunikasi. Ketekunan seseorang pengamal bahasa boleh mengatasi kekekokan dan kelemahan berbahasa pada peringkat permulaan. Nada berbahasa juga boleh diperbaiki dari masa ke masa.

Sesungguhnya, bahasa Melayu adalah kunci penting untuk kita berkomunikasi, berurusan dan mengendalikan segala aktiviti sosial dan perniagaan dengan sebilangan besar warga Malaysia. Maka, tidaklah wajar kita meremehkan dan mengabaikan kepentingan belajar bahasa Melayu. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×