PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat kepada 5.1 peratus pada Mac 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh tiga indeks iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks pembuatan naik 6.9 peratus, indeks elektrik (0.8 peratus) manakala indeks perlombongan (0.3 peratus).
“IPP berkembang 4.5 peratus pada suku pertama berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (6.3 peratus), indeks elektrik (3.7 peratus) namun indeks perlombongan menguncup 1.8 peratus.
“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 8.6 peratus disokong oleh pengembangan dalam kesemua komponen indeks,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, output sektor pembuatan meningkat 6.9 peratus pada Mac 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada Februari 2022.
“Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mac 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (18.6 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.6 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau (4.1 peratus).
“Pada masa sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (7.8 peratus) dan industri berorientasikan domestik (5.1 peratus).
“Peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan logam asas, selain prestasi sektor pembuatan juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan tumbuh 8.5 peratus berbanding Februari 2022 yang dipacu oleh kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain.
“Output sektor perlombongan berkembang 0.3 peratus pada Mac 2022 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan positif 5.7 peratus dalam indeks gas asli manakala indeks minyak mentah dan kondensat merosot 6.8 peratus manakala indeks perlombongan merekodkan pertumbuhan 7.2 peratus berbanding bulan lepas,” katanya. – UTUSAN










