
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam belanjawan bertema “Teguh Kita, Menang Bersama”, Perikatan Nasional membentangkan perbelanjaan negara buat kali pertama sejak menubuhkan kerajaan pada Mac lalu.
Belanjawan 2021 yang merangkumi cadangan perbelanjaan dan pendapatan negara yang dijangka pada tahun depan dibentangkan ketika negara menghadapi krisis terburuk sejak kemerdekaan.
Tidak pernah dalam sejarah manusia moden, seluruh dunia diletakkan dalam “lockdown”, ditekan akibat pandemik Covid-19, menjerumus hampir semua negara ke kemelesetan, memiskinkan ratusan juta penduduk dan menghambat manusia ke “ice age” ekonomi.
Dalam pembentangan selama 128 minit bagi belanjawan yang dimuatkan dalam 108 muka surat, Tengku Zafrul menggariskan pelan kerajaan untuk membantu rakyat, memulihkan ekonomi serta meletakkan negara dalam landasan yang sesuai.
Belanjawan ini dibentangkan ketika pendapatan negara seperti cukai merudum, sektor ekonomi mengundur, hasil minyak dan gas menipis, lebih 800,000 rakyat menganggur dan pandemik Covid-19 gelombang kedua pandemik mencatatkan rekod baru dengan 1,775 kes semalam dan kumulutif kematian mencecah 279 kes.
Belanjawan semalam adalah paling penting berikutan kesan Covid-19 memberi kepada setiap rakyat dan ekonomi negara. Ia belanjawan untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi.
Tidak hairanlah daripada 13,432 perkataan dalam ucapan belanjawan Tengku Zafrul semalam, perkataan “ekonomi” disebut 35 kali, Covid-19 dinyatakan 41 kali dan “rakyat” dinyatakan 49 kali.
Bagaimana untuk membantu ekonomi dan rakyat serta mengekang Covid-19? Kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara berjumlah RM322.5 bilion atau kira-kira 20% daripada keluaran dalam negara kasar.
Daripada jumlah itu RM236.5 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus atau 73%, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (21.4%) dan RM17 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang Covid-19 atau 5.3%.
Tahun lalu kerajaan Pakatan Harapan membentangkan Bajet 2020 berjumlah RM297 bilion yang mana perbelanjaan mengurus sahaja berjumlah RM241 bilion.
Apa yang dinyatakan oleh semua angka ini? Secara umum, lebih banyak wang disalurkan untuk membantu rakyat dan menjana pemulihan ekonomi. Tidak boleh dinafikan belanjawan ini berusaha membantu seramai mungkin masyarakat yang terjejas. Golongan B40 dan kumpulan tersasar mendapat sebahagian besar manfaat. Bagi merancakkan kegiatan ekonomi, kerajaan memberi lebih banyak wang dalam kocek sama ada secara langsung pemberian “one-off” atau insentif pengurangan cukai, sambungan pengurangan caruman dan moratorium tersasar kepada golongan tertentu.
Secara umum, kira-kira dua pertiga rakyat negara ini akan menerima tempias belanjawan sama ada secara langsung atau insentif tertentu.
Apa yang tidak diberikan secara keseluruhan adalah moratorium pinjaman dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun 1 kepada semua rakyat.
Ini dari segi ekonomi dan bukan politik. Tiada belanjawan yang mampu merangkumi kehendak dan impian semua rakyat daripada golongan termiskin kepada yang paling kaya. Ia mustahil dilakukan.
Seperti menguruskan perniagaan, perbelanjaan tidak harus lebih daripada pendapatan. Kos berubah harus mampu ditampung dengan hasil selain perbelanjaan tetap harus diurus untuk kelangsungan. Dalam aspek ini belanjawan 2021 berjaya menepati sasaran untuk membantu golongan tertentu yang terkesan akibat Covid-19.
Dua cabaran terbesar belanjawan 2021 ialah mencapai defisit fiskal yang diunjur 5.4 peratus daripada KDNK dan mencapai unjuran hasil kerajaan sebanyak RM236.9 bilion tahun depan.
Pendapatan kerajaan tahun ini sahaja mengalami penguncupan hampir RM18 bilion daripada unjuran asal RM244.5 bilion. Dengan kegiatan semua sektor ekonomi utama seperti pelancongan, runcit, dan PKS terus hampar serta penutupan lebih banyak syarikat, kutipan cukai korporat diunjurkan lebih rendah sedangkan cukai syarikat adalah penyumbang terbesar kepada hasil kerajaan.
Kerajaan berdepan cabaran bagi menampung pengurangan pendapatan kecuali negara kembali seperti suasana pra Covid-19 dan vaksin ditemui. Lebih penting belanjawan terbesar dalam sejarah negara harus mewujudkan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi kerana pemberian bantuan tunai ke dalam kocek bersifat sementara.
Seperti peribahasa Cina, beri ikan kepada seseorang anda memberinya makan untuk sehari, ajar orang berkenaan untuk memancing, anda memberi makan kepadanya sepanjang hayat. Cabaran kerajaan untuk menyediakan peluang bagi “peluang” mencari makan sepanjang hayat.
Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.











