PETALING JAYA: Kos pilihan raya meningkat dua kali ganda dan mencecah RM1 bilion sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secara berasingan antara Pusat dan negeri.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM400 juta dan jumlah itu dijangka bertambah jika ada negeri enggan menyertai Pusat mengadakan PRU, di samping kos tambahan pengurusan prosedur operasi standard (SOP) virus Covid-19.
Malah RM420 juta dibelanjakan bagi empat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor pada 2020 hingga Mac lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, langkah mengadakan pilihan raya berasingan mengundang pelbagai implikasi termasuk dari segi kewangan dan tenaga apabila terpaksa melakukan banyak kali kerja menguruskan proses penamaan, pengundian serta pengiraan kertas undi.
Menurut beliau, walaupun negeri-negeri berhak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya, namun perkara itu sangat merugikan negara bukan sahaja dari segi wang tetapi tenaga dan masa.
“Kalau pilihan raya asing, SPR kena buat banyak kali kerja. Mula-mula PRU15 untuk memilih Kerajaan Pusat namun tidak lama kemudian PRN. Jadi perkara ini memberikan implikasi kewangan amat serius.
“Selain itu, rakyat akan muak untuk keluar mengundi. Sudahlah mereka kena mengundi di peringkat Parlimen, namun tidak lama kemudian pilih ADUN pula,” katanya.
Kerajaan Pas
Sebelum ini, enam negeri di bawah kerajaan Pas dan Pakatan Harapan (PH) iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dikatakan tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Empat negeri pula baru mengadakan PRN iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang mana dijangka tidak membubarkan DUN kerana baharu menerima mandat rakyat.
Dalam pada itu, Wan Ahmad mengesa pemimpin politik berfikir matang dan mengambil kira keperluan kewangan negara sekiranya mahu mengadakan pilihan raya berasingan antara Pusat dan negeri.
Kata beliau, mereka wajar menyertai langkah Pusat mengadakan pilihan raya bersama kerana langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan malah tidak membiarkan negara berada dalam keadaan tidak stabil dan rakyat berpolitik sepanjang masa.
“Kalau Pusat bubar Parlimen pada Ogos manakala enam negeri pula enggan kerana menunggu sehingga Mac dan April 2022 sedangkan jarak tempoh tidak jauh beza. Jadi alang-alang, elok diadakan PRU15,” katanya.
Pada sama sama, pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, enam negeri terlibat tidak perlu bimbang berdepan PRU15 sekiranya mereka yakin mendapat sokongan rakyat.
Kata beliau, PRU15 sesuai dilakukan pada Ogos, September atau Oktober ini bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil agar proses pembangunan semula Malaysia pasca 2018 dapat diletakan di landasan betul.
“Negeri yang tidak mahu melaksanakan PRU tidak perlu bimbang kerana sekiranya kerajaan negeri yang memerintah tersebut telah melakukan pembangunan maka rakyat akan pilih mereka,” katanya.- UTUSAN











